KUALA LUMPUR: Lima pelacur warga China bersama pasangan mereka rakyat tempatan lari lintang pukang dalam keadaan bogel apabila polis menyerbu sebuah pusat kesihatan haram di Bandar Puteri Puchong dekat sini, malam kelmarin.
Dalam serbuan bahagian risikan dan operasi Urusetia Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) yang diketuai Asisten Komisioner Aimmi Shah Fadhil, polis turut menahan lima lagi wanita China yang sedang memperagakan diri dalam keadaan separuh bogel sebelum dipilih pelanggan mereka.
Siasatan polis mendapati semua 10 wanita terbabit berulang-kali memasuki negara ini menggunakan pas lawatan sosial dan menawarkan khidmat seks dengan bayaran RM180.
Dalam operasi berasingan di sebuah pusat kecantikan di Pandan Indah, Ampang, setengah jam kemudian polis menahan 13 wanita warga negara Vietnam dipercayai bekerja sebagai pelayan pelanggan (GRO).
Mereka ditahan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Bukit Aman kerana disyaki menawarkan khidmat seks di premis dua tingkat berkenaan.
Hasil pemeriksaan polis mendapati premis yang berselindung di sebalik lesen pusat kecantikan itu dipercayai bergiat aktif menjalankan aktiviti maksiat dan pelacuran sejak dua tahun lalu.
Ketua Operasi, Cif Inspektor Wiranti Abdul Wahid memberitahu modus operandi premis ini adalah meletakkan wanita warga Vietnam yang berpakaian separuh bogel di dalam bilik cermin kaca khas untuk dipilih pelanggan.
Siasatan polis juga mendapati kadar yang ditawarkan adalah antara RM160 hingga RM180 untuk pakej urutan batin dan khidmat seks.
Semua mereka yang ditahan dalam kedua-dua operasi itu turut disiasat mengikut Akta Imigresen atas kesalahan menyalahgunakan pas lawatan sosial, manakala pelanggan mereka ditahan untuk proses dokumentasi.
sumber...BERNAMA