Followers

Sunday, April 15, 2018

Lagi Kawasan FELDA Berpotensi Menyokong HARAPAN



Felda Bukit Tangga 'Hidup' dengan kehadiran Dr M

Terletak di pedalaman Kubang Pasu, 109km dari Pulau Pinang, perjalanan ke Felda Bukit Tangga malam tadi ditemani suasana sepi dan gelap, kerana tidak ada lampu jalan di sepanjang perjalanan itu.

Tetapi tanah rancangan Felda di Bukit Kayu Hitam itu menjadi 'hidup' malam tadi dengan kehadiran pemimpin BERSATU, terutamanya pengerusinya Tun Dr Mahathir Mohamad, yang sedang dalam jelajah "Selamatkan Felda, Selamatkan Malaysia", sekitar Kedah minggu ini.

Tidak kelihatan bendera BERSATU walaupun para pemimpinnya memakai pakaian merah seragam parti itu, tetapi bendera mata biru PKR berkibar di tempat ceramah itu.

Sekutu HARAPAN termasuk AMANAH dan DAP telah memutuskan untuk menggunakan bendera biru PKR selepas BERSATU dibubar sementara oleh Pendaftar Pertubuhan, dan sekaligus mengakhiri hasrat mereka untuk menggunakan satu logo HARAPAN.

Persoalan yang timbul ialah mengapa tanah rancangan itu telah diabaikan selama enam dekad walaupun Dr Mahathir, bekas ahli Parlimen mereka adalah perdana menteri selama 22 tahun dan anaknya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir menjadi menteri besar Kedah dari 2013 hingga 2015.

Tetapi penduduk yang serba sederhana itu nampaknya tidak pernah berkecil hati dan menyambut meriah pengerusi Pakatan Harapan itu, isterinya, Tun Dr Siti Hasmah Hashim, dan Mukhriz dengan sorakan kuat ketika mereka tiba di ceramah itu selepas pukul 9 malam tadi.

Mengiringi ketiga-tiga mereka ialah bekas pemimpin PAS, Datuk Amiruddin Hamzah, yang keluar parti Islam itu untuk menyertai BERSATU tahun lepas dan ahli jawatankuasa pusat parti itu dan bekas pembantu pengerusi Felda, Zahid Md Arif.

ADUN Derga dari DAP Tan Kok Yew dan penyandang Ahli Parlimen Alor Setar dari PKR, Gooi Hsiao Leung adalah antara yang hadir.

Hadirian kebanyakannya orang Melayu campuran peneroka Felda lama dan muda, keluarga mereka dan orang luar, yang datang dari Alor Setar dan Perlis.

Hadirian sekitar 2,000 orang tekun mendengar ceramah hingga selesai dan turut memberi respons kepada penceramah yang mengghujani kritikan terhadap Perdana Menteri sementara, Datuk Seri Najib Razak.

Mereka bergemuruh melaungkan mengikut Mukhriz yang menyebut "Pakat aleh bagi elok".

Mereka bersorak apabila Dr Mahathir menegaskan bahawa HARAPAN akan menghapuskan GST sekiranya dapat menewaskan BN dalam pilihan raya ke-14.

Mereka ketawa ketika Mahathir menyindir Najib yang didakwanya cuba membodohkan rakyat dengan berbangga bahawa ekonomi negara berada dalam keadaan yang baik, sedangkan menurutnya, telah menjadi pengetahuan umum bahawa negara menanggung hutang.

Malaysiakini bercakap dengan  beberapa orang penduduk yang datang untuk melihat "Tun" dan ramai yang gembira beliau kembali aktif dalam senario politik negara, namun ada yang asangan menyuarakan kebimbangan sama ada Dr Mahathir dan sekutunya boleh dipercayai.

Hashinah Umar, yang datang ke ceramah itu, bersama anak perempuannya dan cucunya berpendapat Dr Mahathir mampu memimpin pembangkang untuk mencapai kemenangan dalam PRU14.

"Kami akan menyokongnya seperti yang kami lakukan bertahun-tahun yang lalu...," kata suri rumah berusia 60 tahun itu yang berpakaian baju kurung dan bertudung hitam.

Ditanya mengapa dia memutuskan untuk tidak menyokong Najib, Hashinah menjawab: "Saya tak suka dia, saya tak pernah nampak dia di sini."

Hashinah, yang mempunyai enam orang anak, dan telah menetap di tanah rancangan Felda itu selama 60 tahun, menambah, begitu juga dengan anak-anaknya.

Bagaimanapun, Ong Somchai, seorang petani, menimbulkan kebimbangan mengenai penyertaaan Dr Mahathir dalam Pakatan Harapan, sambil berkata walaupun dia dapat menarik orang Melayu, tetapi tiada jaminan pemimpin BERSATU yang menang pilihan raya tidak akan melompat ke Umno.

"Ia ada dalam DNA mereka dan kami bimbang," kata Ong, yang tinggal di daerah utara negeri itu sejak sedekad lalu.

"Kami diberitahu kem lain hanya menunggu untuk membeli mereka, berapa ramai yang dapat menahan cabaran ini?" Dia tanya.

"Bagaimanapun, kami berharap ramai yang akan balik untuk mengundi supaya kita dapat melihat perubahan di negara ini," tambahnya yang berusia 40 tahun itu.

Manakala Ketua Wanita PKR Perlis, Fuziah Hamzah nampak yakin dengan kemampuan HARAPAN menawan negeri kelahiran Dr Mahathir itu - dengan meramalkan 70 peratus peluang untuk menang.

"Kami telah bekerja sepanjang masa dan gembira dengan sambutan akar umbi yang sangat menggalakkan," katanya.

Malaysia akan mengundi pada 9 Mei, manakala hari penamaan calon ialah 28 April.

[Baca berita penuh]

Wednesday, April 11, 2018

RoS Patut Isytihar Umno Haram 19 April


ROS patut isytihar Umno haram 19 April ,kata peguam doktor Mahathir

Peguam Haniff Khatri Abdulla berkata RoS kini dicabar untuk mengambil tindakan sewajarnya terhadap Umno, berhubung pemilihan parti yang diadakan kali terakhir pada 2013.

JIKA Pendaftar Pertubuhan (RoS) mengguna pakai standard yang sama terhadap Umno seperti dilakukannya kepada Bersatu, parti komponen paling dominan dalam Barisan Nasional (BN) itu sepatutnya diisytiharkan sebagai parti haram menjelang 19 April, kata peguam Dr Mahathir Mohamad.

Haniff Khatri Abdulla berkata RoS sepatutnya menggunakan penguatkuasaan yang saksama terhadap semua parti politik untuk mengadakan mesyuarat mengikut masa ditetapkan, seperti disyaratkan oleh perlembagaan mereka.

"Sepatutnya, Najib Razak tidak boleh mengangkat sumpah sebagai perdana menteri di hadapan Yang di-Pertuan Agong selepas 19 April," katanya kepada The Malaysian Insight.

Haniff mengulas kenyataan oleh Setiausaha Agung Umno Tengku Adnan Tengku Mansor pada Selasa bahawa pemilihan parti itu akan hanya diadakan sehingga 19 April tahun depan.

Tengku Adnan berkata RoS meluluskan permohonan parti itu untuk menangguhkan pemilihan parti itu selewat-lewatnya pada 19 April, 2019.

Bagaimanapun, Haniff berkata tarikh akhir untuk pemilihan peringkat bahagian dan majlis tertinggi Umno ialah 19 April tahun ini kerana kali terakhir Umno mengadakan pemilihan ialah 19 Oktober, 2013.

Mengikut perlembagaan Umno, ditetapkan di bawah Klausa 9.3, majlis tertinggi disyaratkan mengadakan pemilihannya dalam tempoh tiga tahun, atau sebelum 19 Oktober, 2016.

Lanjutan berikutnya 18 bulan dibenarkan di bawah Klausa 10.16 perlembagaan parti itu.

Menjelang 19 April tahun ini, jumlahnya ialah 54 bulan sejak Umno mengadakan pemilihan terakhirnya, had mutlak yang dibenarkan oleh perlembagaan parti itu.

"Sepatutnya bahagian Umno dan majlis tertinggi akan menyalahi undang-undang di bawah perlembagaan mereka, seperti dinyatakan di bawah Klausa 10.16,” kata Haniff.

"Najib Razak sepatutnya secara automatik berhenti jadi presiden Umno dan perdana menteri selepas 19 April tahun ini.

"RoS kini dicabar untuk mengambil tindakan sewajarnya.

"Adakah mereka akan menggunakan piawaian yang ketat terhadap Umno seperti yang dilakukan terhadap Bersatu, walaupun Bersatu mematuhi perlembagaannya?," katanya.

RoS berkata ada perkara yang tidak kena sebagai alasannya untuk terus menyiasat Bersatu.

Pengarah RoS Surayati Ibrahim sebelum ini berkata siasatan dibuat berkenaan dakwaan mesyuarat agung tahunan Bersatu pada 30 Disember tidak sah dan melanggar perlembagaan parti. – 1 Mac, 2018.

Baca berita penuh di sini.

Tuesday, April 10, 2018

Saya Tak Sokong BN,kata Wardina Safiyyah



Saya tak sokong BN, kata Wardina Safiyyah

Personaliti televisyen Wardina Safiyyah tampil membuat kenyataan berani mengenai pendiriannya terhadap kerajaan sementara BN menjelang pilihan raya umum ke-14.

Tidak, saya tidak takut untuk menyatakan sokongan saya bukan kepada BN. Saya tidak perlu menjilat sesiapa untuk kerjaya atau berada di televisyen lagi.

BN tidak memiliki negara ini dan mereka sudah berkuasa terlalu lama,” kata selebriti 38 tahun itu, seperti dilaporkan Roketkini.

Akhbar web DAP yang memetik status di media sosialnya itu melaporkan Wardina menggesa rakyat bangun membuat keputusan terbaik untuk kerajaan baru yang bakal memimpin Malaysia tidak lama lagi.

“Saya mengakui terdapat orang yang baik dan jahat dalam parti. Terdapat juga orang yang begitu hebat dalam BN walaupun cuma sedikit….

“saya juga mengagumi beberapa individu daripada BN dan terdapat beberapa karakter yang saya sangsi dalam Pakatan (Harapan).

Malaysia, kita memerlukan pemimpin jujur. Mereka yang benar-benar mengambil berat...mereka yang mempunyai kelayakan.

Saya sudah penat dengan pemimpin bodoh. Dan cukup...cukuplah dengan korupsi dan menjadikan diri kamu kaya-raya. Menyampah,” kata pelakon yang terkenal dengan sitkom Spanar Jaya.

'Letih'

Sementara itu, gesaan Wardina itu turut ditujukan kepada penjawat awam yang baru-baru ini menerima kenaikan satu tangga gaji tahunan baru-baru ini.

Kepada penjawat awam, bantu kami melakukan perubahan, jangan ditakutkan. Semoga Allah mempermudahkan.

Harap tidak ada taktik kotor seperti membakar sentimen agama dan kaum serta fitnah melampau masa kempen.

"Letih,” katanya.

Saturday, April 7, 2018

BERSATU Haram: Piirraah, kata Mahathir


PRU14 | Belum sempat tempoh 48 jam selepas partinya dibubarkan sementara kegarangan Tun Dr Mahathir Mohamad tidak menunjukkan sebarang tanda menurun.

Sebaliknya pada malam ini pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) itu mencabar Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak supaya menangkapnya.

Berucap dalam ceramah Pakatan Harapan (HARAPAN) di Pasir Gudang malam ini Dr Mahathir berkata langkah Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS) membubarkan sementara BERSATU tidak akan menjejaskan mereka daripada terus melawan BN.

"Malam ni saya pakai baju Pribumi (BERSATU). Hey Datuk Najib, datanglah... Datang tangkap saya, tangkap semua orang," katanya disambut dengan tepukan dan ketawa kira-kira 4,000 orang yang memenuhi kawasan padang awam berkenaan.

Mengikut arahan ROS pembubaran sementara itu bermakna BERSATU tidak boleh menggunakan nama dan logo parti dalam mana-mana aktiviti.

Mereka juga tidak dibenarkan membuat sebarang aktiviti berkaitan parti berkenaan.

Perintah ROS itu dikeluarkan sehari sebelum Najib membuat pengumuman mengenai pembubaran parlimen.

Parlimen Malaysia dibubarkan secara rasmi pada 7 April.

SPR akan bermesyuarat untuk menentukan tarikh penamaan calon dan pembuangan undi tidak lama lagi. Mengikut perlembagaan PRU ke-14 mesti diadakan dalam tempoh 60 hari selepas parlimen dibubarkan.

Tidak cukup dengan itu Dr Mahathir yang dikenali dengan sifatnya yang bersahaja, sinis serta spontan kemudian menyatakan BERSATU tidak menghiraukan arahan ROS berkenaan.

"Kononnya Pribumi (BERSATU) diharamkan, tidak boleh ada apa-apa kegiatan pun sebab kita diharamkan.

"Tuan-tuan dan puan-puan, saya kata: Piraaah!

"Apa kami nak buat, kita buat juga. Tak boleh pakai baju, saya pakai juga baju, tak boleh mesyuarat (parti), semalam kami bermesyuarat. Tak boleh jumpa media, kita jumpa media.

"Apa yg dikatakan salah, tidak boleh dilakukan oleh Pribumi, kita akan lakukan beramai-ramai," katanya.

sumber...Zikri Kamarulzaman mKini

Friday, April 6, 2018

Mahathir Kini Lebih Popular Berbanding Najib



Majoriti responden yang terlibat dalam kaji selidik terkini Institut Darul Ehsan (IDE) memilih Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai calon perdana menteri mereka selepas pilihan raya umum (PRU) ke-14 ini.

Berdasarkan dapatan badan pemikir berpangkalan di Selangor itu 61 peratus daripada 4,920 responden memilih pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) itu berbanding 39 peratus yang mahu Datuk Seri Najib Razak dikekalkan sebagai perdana menteri.

"Secara keseluruhan orang ramai masih melihat era Dr Mahathir dan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai tempoh keemasan negara ini," kata Ketua Eksekutif IDE Prof Datuk Dr Redzuan Othman hari ini.

Beliau berkata demikian semasa membentangkan dapatan Kaji Selidik Malaysia 2018 di Shah Alam, Selangor hari ini.

Kaji selidik itu berlangung dari 23 hingga 26 Mac lalu.

Dari segi pecahan kaum, kata Redzuan, etnik Cina memberikan sokongan terbesar buat Dr Mahathir iaitu 72 peratus, diikuti India (61 peratus) dan Melayu (57 peratus).

Kata Redzuan di sebalik kritikan terhadap cara pentadbiran Dr Mahathir selama 22 tahun menjadi perdana menteri sebelum ini, kesannya lebih rendah berbanding populariti dirinya.

Menurut bekas kakitangan kanan Universiti Malaya itu beliau berpeluang menemu bual Dr Mahathir secara peribadi dan dimaklumkan, akan ada peralihan sokongan besar daripada pengundi Melayu untuk HARAPAN.

"Saya juga berbincang dengan Lim Kit Siang (pemimpin veteran DAP) dan beliau sangat yakin akan berlaku tsunami Melayu selepas parlimen dibubarkan," katanya.

Beliau juga menyatakan sokongan ketara pengundi kepada Pakatan Rakyat dalam PRU ke-12 pada 2008 hanya berlaku kurang dari seminggu sebelum hari mengundi.

[Baca berita penuh]

Wednesday, April 4, 2018

PRU14 Pada Pertengahan Minggu?


PILIHAN Raya Umum Ke-14 (PRU14) dijangka akan dijalankan pada pertengahan minggu, dalam masa sebulan selepas Barisan Nasional (BN) melancarkan manifestro pada 7 April, menurut beberapa sumber.

Difahamkan, Parlimen akan dibubarkan selepas persidangan di Dewan Rakyat dan Dewan Negara tamat pada 5 April.

Mandat yang diperolehi BN akan berakhir pada 24 Jun dan pilihan raya perlu diadakan dalam tempoh 60 hari selepas tarikh tersebut.

"Kami menjangkan pembubaran Parlimen menjelang 7 April. Kemudian tinggal kira-kira sebulan sahaja sebelum pilihan raya diadakan, sejurus sebelum bulan puasa yang akan bermula pada pertengahan Mei,” kata sumber kepada The Malaysian Insight.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berkuasa menentukan tarikh penamaan dan pengundian, namun secara lazimnya parti pemerintah akan mencadangkan waktu pilihan raya. Malaysia tiada undang-undang yang menetapkan tarikh pilihan raya.

Jumlah keluar mengundi mungkin merosot sekiranya PRU14 diadakan pada pertengahan minggu memandangkan pengundi di luar negara, terutama di Singapura, Hong Kong dan Australia biasanya pulang mengundi sekiranya ia dilakukan pada hujung minggu.

Kempen yang dijalankan oleh masyarakat sivil pada 2008 dan 2013 menyebabkan BN kehilangan majoriti dua pertiga yang membolehkannya meluluskan undang-undang dengan mudah.

Pilihan raya 2008 diadakan pada hari Sabtu dengan jumlah keluar mengundi 75.99 % dan pilihan raya umum 2013 pula pada hari Ahad yang menyaksikan 84.4 peratus keluar mengundi.
Kumpulan masyarakat sivil dan pemerhati pilihan raya Bersih 2.0 menyatakan bahawa pembangkang akan menang sekiranya lebih 80 peratus keluar mengundi.

Peluang kemenangan itu kini semakin sukar kerana sempadan baharu kawasan pilihan raya akan memberi kelebihan kepada BN dalam PRU14.

Walaupun pada akhir-akhir ini pilihan raya umum biasanya dilakukan pada hujung minggu, dua pilihan raya umum pertama – pada 1955 dan 1959 – diadakan pada hari Rabu.

Perdana menteri Malaysia yang paling lama berkhidmat, Dr Mahathir Mohamad, meraih mandat pertamanya dalam pilihan raya umum 1982.

Pilihan raya itu berlarutan dari Khamis, 22 April sehingga Isnin, 26 April ekoran masalah logistik di negeri-negeri Borneo, Sabah dan Sarawak.

Dr Mahathir kini memimpin gabungan pembangkang untuk PRU14, walaupun beliau menyokong Perdana Menteri Najib Razak dalam pilihan raya umum 2013.

Rekod menunjukkan pilihan raya umum pada 1995 dan 1999 juga diadakan pada hari Isnin.

Isu melibatkan masalah pengundi di luar negara menjadi perhatian susulan kritikan Timbalan Menteri Dalam Negeri Nur Jazlan Mohamed ke atas tawaran syarikat penerbangan Cathay Pacific yang menawarkan diskaun surcaj kepada pengundi yang mahu menukar tarikh penerbangan untuk pulang mengundi.

Nur Jazlan dalam kenyataannya di Twitter mendakwa, tawaran itu menununjukkan bahawa syarikat berpengkalan di Hong Kong itu menyokong usaha untuk menukar kerajaan.

Kenyataan itu seterusnya meraih kritikan para pengguna media sosial yang menganggap Nur Jazlan mendakwa warga Malaysia di luar negara lebih cenderung menyokong pembangkang.

Cathay Pacific juga menafikan dakwaan tersebut. Namun Nur Jazlan terus mendesak agar syarikat tersebut menyatakan sekiranya ia akan turut berbuat demikian untuk pengundi negara lain. – 29 Mac, 2018.

sumber ...https://www.themalaysianinsight.com/bahasa/a/695

PRU14: Anwar Hargai Pengorbanan Mahathir



PRU14 | Datuk Seri Anwar Ibrahim sekali lagi menyatakan pujian terhadap bekas seteru politiknya Tun Dr Mahathir Mohamad.

Dalam satu kenyataan media hari ini tokoh yang disebut-sebut sepatutnya menjadi perdana menteri ketujuh Malaysia itu berkata, Dr Mahathir kini sanggup mengorbankan masa dan tenaga untuk bersama sebahagian besar pembangkang demi menjala perubahan dalam negara.

"Saya ulangi penghargaan saya terhadap kesediaan Tun Dr Mahathir mengorbankan masa dan tenaga bersama Pakatan Harapan (HARAPAN) untuk menjana perubahan di dalam pilihan raya umum (PRU) ke-14," katanya yang membuat kenyataan itu semasa hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.

Bekas timbalan perdana menteri dan orang kepercayaan Dr Mahathir itu berada di mahkamah bagi menghadiri saman beliau terhadap TV3.

Anwar menyaman stesen televisyen berkenaan berhubung laporan mereka mengenai insiden pencerobohan rakyat asing di Lahad Datu pada 2013.

HARAPAN menamakan Dr Mahathir, 92, sebagai calon perdana menteri jika mereka dapat mengetepikan BN daripada kerajaan pada PRU akan datang.

Untuk tempoh berbelas tahun Dr Mahathir dan Anwar menjadi seteru ketat ekoran penyingkiran tokoh dari Cheruk Tok Kun, Pulau Pinang itu pada 1998.

Bersama selamatkan negara

Bagaimanapun kedua-dua mereka kembali berdamai atas dasar pakatan politik bagi menghadapi BN.Dr Mahathir ialah pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia yang baru ditubuhkan pada Sept 2016 dan menjadi pertubuhan paling bongsu dalam HARAPAN.

Sebelum ini Anwar adalah calon perdana menteri di kalangan hampir semua parti pembangkang. Ekoran pemilihan Dr Mahathir, HARAPAN turut menamakan Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon timbalan perdana menteri.

Kata Anwar HARAPAN menonjolkan Dr Mahathir sebagai pemimpin selepas mengambil kira pengalaman dan sumbangan beliau kepada negara.

Lebih daripada itu kata Anwar Dr Mahathir dipilih kerana kesediaan beliau menerima agenda perubahan yang dibawa HARAPAN.

"Selamatkan Malaysia daripada cengkaman pemerintahan autoktratik Umno dan BN," katanya.Anwar juga menjelaskan peluang yang ada kini adalah ruang paling baik untuk semua pihak bergabung dengan rakyat bagi mengubah kerajaan.

"PRU ke-14 adalah kesempatan terbaik untuk semua kekuatan rakyat digabung bagi meletakkan pemerintahan yang komited menentang rasuah, penyelewangan dan meletakkan Malaysia sebagai negara demokratik dan adil," katanya.

sumber...mKini

Tuesday, April 3, 2018

Sepupu Dakwa Kenal Sangat Suara Nik Abduh


Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (AMANAH) kawasan Pasir Puteh, Mohd Sabri Salleh menggesa PAS menyiasat audio yang dikatakan mirip suara anggota Parlimen Pasir Mas, Nik Abduh Nik Abdul Aziz.

Menurutnya, penafian dibuat anak kepada bekas mursyidul am PAS itu tidak cukup untuk memberi keyakinan bahawa suara itu bukan miliknya.

Sebagai seorang sepupu, katanya, beliau mendakwa sangat mengenali suara anggota jawatankuasa PAS pusat itu.

"Saya yakin itu suara dia, berdasarkan lenggok bahasa, pelat, cara dia ucap satu-satu perkataan," katanya kepada Malaysiakini, hari ini.

Sebelum ini, isu rakaman audio yang didakwa melibatkan pertemuan antara Nik Abduh dan seorang pemimpin muda PAS tersebar secara bersiri di media sosial sejak Februari lalu.

Bagaimanapun rakaman keseluruhan audio itu hanya didedahkan di Facebook sebulan kemudian.

Individu dalam rakaman itu mendakwa PAS meminta RM2 juta daripada Umno dan ia dibuat dengan pengetahuan seorang pemimpin kanannya.

Lebih mengejutkan, individu itu juga mengaku mempunyai hubungan dengan ejen Agensi Perisikan Pusat (CIA)
.
"Ana (saya) boleh bercakap dengan CIA. CIA Amerika tu ana kenal orang dia yang sentiasa berhubung dengan ana," katanya dalam rakaman tersebut.

Nik Abduh telah membuat penafian dan menyifatkan tuduhan itu sebagai "karut, mengarut dan fitnah" terhadap dirinya serta PAS.

PAS sebelum ini melalui naib presidennya, Datuk Mohd Amar Nik Abddullah turut menegaskan tiada keperluan untuk menyiasat perkara itu dan cukup dengan penafian Nik Abduh.

'Perang dingin Nik Abduh'

Sementara itu Mohd Sabri mendakwa, sebelum munculnya audio tersebut sudah berlaku perang dingin antara pihak Nik Abduh dan pemimpin itu.

"Apa yang menguatkan lagi dakwaan mengenai audio itu adalah perang dingin yang sudah pun wujud antara kedua-dua pihak yang terlibat sebelum ini.

"Ia adalah asas benda (perkara) ini, boleh jadi sokongan audio Nik Abduh," jelasnya yang juga adik kepada Setiausaha Majlis Syura Ulama PAS, Datuk Dr Nik Zawawi Salleh.

Tambah Mohd Sabri, tindakan PAS enggan menyiasat kesahihan audio itu sudah dijangka kerana kepimpinannya kini bukan lagi seperti dahulu.

"Sebabnya pimpinan sudah maklum mengenai perkara yang dibangkitkan itu.

"Kalau dalam kepimpinan PAS dahulu, saya yakin perkara ini akan disiasat. Jadi saya harap PAS sekarang telus," katanya yang mendakwa memilih untuk bersama AMANAH selepas melihat PAS tersimpang daripada perjuangan asal.

sumber...mKini

Monday, April 2, 2018

Najib Layak Jadi Tokoh Berita Palsu Asia



Najib layak jadi tokoh berita palsu Asia kata Datuk Dr Rais Hussin

ULASAN | Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak perlu berhenti membohongi rakyat kerana berdasarkan kenyataan-kenyataan beliau yang terkini beliau hampir layak menjadi menjadi tokoh berita palsu Asia.

Pada 30 Mac 2018, beliau dilaporkan berkata “Saya telah meneliti manifesto pihak sebelah sana (Pakatan Harapan). Manifesto mereka mengandungi 60 janji tetapi hanya 1 janji yang menyebut ekonomi Bumiputera. Itu pun janji nombor 30.”

Tuduhan ini ada satu kepalsuan yang berpunca daripada pemikiran sempit Najib. Beliau gagal memahami bahawa Buku Harapan keseluruhannya akan membawa faedah positif yang tuntas kepada warga Bumiputera di Malaysia.

Dalam Teras Satu Buku Harapan, kami menjanjikan 10 langkah untuk meringankan bebanan kehidupan rakyat. Ini bermula dengan penghapusan GST, iaitu suatu cukai yang membebankan yang diperkenalkan oleh Najib tiga tahun lalu.

Kami juga, antara lain, akan menstabilkan harga petrol, memberikan subsidi secara bersasar, menghapuskan kutipan tol, memperbaiki kualiti pengangkutan awam, mempertingkat jumlah rumah mampu milik dan mampu sewa, serta meringankan bebanan kos perkhidmatan kesihatan.

Semua langkah-langkah dalam Teras Satu Buku Harapan akan memberi faedah secara langsung kepada 19.7 juta warga Bumiputera di Malaysia.

Manfaat kepada bumiputera

Dalam Teras Dua Buku Harapan, kami menjanjikan 19 langkah untuk mereformasi institusi-institusi penting dalam pentadbiran negara.

Ini termasuklah memperkukuh agensi pencegahan rasuah supaya Najib dan kuncu-kuncunya tidak boleh terus bermaharajalela dengan wang rakyat, menyelesaikan skandal 1MDB, dan skandal-skandal yang dimulakan di bawah pentadbiran Najib dalam agensi-agensi Bumiputera seperti Felda, MARA dan Tabung Haji, memperkasa perkhidmatan awam yang majoriti anggotanya adalah Bumiputera, dan lain-lain lagi.

Semua langkah reformasi institusi yang akan kami laksanakan akan memberi faedah langsung kepada 19.7 juta warga Bumiputera di Malaysia hasil dari pentadbiran kami yang lebih telus dan adil.

Dalam Teras 3 Buku Harapan, kami menjanjikan 10 langkah untuk merancakkan pertumbuhan ekonomi yang adil dan saksama.

Langkah-langkah ini termasuklah tindakan spesifik untuk membantu pengusaha IKS yang majoritinya adalah Bumiputera, pelbagai program bantuan untuk mengantarabangsakan usahawan kita, menubuhkan Suruhanjaya Peluang Pekerjaan Saksama agar warga Bumiputera dapat bersaing dengan adil dalam pasaran pekerjaan, dan mewujudkan 1 juta pekerjaan berkualiti untuk membantu mobilisasi sosial masyarakat.

Semua langkah untuk merancak pertumbuhan ekonomi ini pasti akan memberi faedah langsung kepada 19.7 juta warga Bumiputera di Malaysia kerana golongan Bumiputera lah golongan majoriti dalam negara ini.

Teras Empat Buku Harapan mengandungi 9 langkah untuk melaksanakan status Sabah dan Sarawak berteraskan Perjanjian Malaysia 1963.

Langkah-langlah ini merupakan satu tuntutan oleh warga Sabah dan Sarawak yang telah mereka tuntut sejak berdekad lamanya tetapi tidak pernah dihiraukan oleh Najib. Di Sabah dan Sarawak, masing-masing mempunyai lebih dari 30 kumpulan yang mempunyai status Bumiputera di sana.

Dengan memenuhi tuntutan Perjanjian Malaysia 1963, maka kami akan memenuhi tuntutan dan kemahuan warga Bumiputera Sabah dan Sarawak yang sekian lama dipermain-mainkan oleh UMNO.

Ubah politik pecah dan perintah

Teras Lima Buku Harapan 12 langkah untuk membina sebuah Malaysia yang inklusif, moderat, dan gemilang di persada dunia.

Antara langkah yang akan kami laksanakan ialah menjadikan sekolah-sekolah kerajaan yang kini menjadi tumpuan warga Bumiputera sebagai sekolah pilihan terbaik untuk rakyat, mengembalikan wibawa universiti awam yang juga merupakan tumpuan para pelajar Bumiputera, menubuhkan Majlis Perundingan Keharmonian Rakyat agar kita boleh mengubah politik pecah perintah yang mengadu domba antara orang Bumiputera dengan Bumiputera, dan banyak lagi.

Semua langkah mengembalikan maruah negara melalui Teras Lima pasti akan memberi faedah langsung kepada 19.7 juta warga Bumiputera di Malaysia kerana kita akan boleh kembali berbangga mengenai negara ini, bukan terus malu akibat dituduh sebagai negara kleptokrasi yang dipimpin oleh perompak.

Kami juga mempunyai iltizam khusus untuk wara FELDA yang mana semua peneroka FELDA adalah Bumiputera. Ada 5 langkah khusus untuk kelompok Bumiputera di FELDA seluruh negara yang akan kami laksanakan untuk membantu mereka.

Najib perlu belajar mempunyai rasa malu apabila berakap bohong. Cukuplah dengan penyebaran Berita palsu yang dia lakukan setiap hari. Janganlah cuba membohongi rakyat, kerana Buku Harapan adalah sebuah manifesto yang komprehensif, yang mana setiap janji kami akan memberi faedah positif dalam membangunkan sosioekonomi Bumiputera di Malaysia.

Lebih penting lagi, Najib perlu keluar dari kepompong politik perkauman sempit. Ini adalah pemikiran ketinggalan zaman. Negara kita memerlukan pemimpin yang melihat struktur sosioekonomi masyarakat dengan eraca yang seimbang dan holistik, bukan dikotak-kotakkan mengikut neraca perkauman seperti politik pecah perintah tinggalan penjajah.

Di samping itu, Najib juga berkata “Paling kuat tuan-tuan dan puan-puan, mereka hanya berjanji membentangkan laporan di Parlimen mengenai jumlah pegangan ekuiti Melayu dan Bumiputera. Apa yang kaum Bumiputera dapat daripada perbuatan ini?”

Akaun bank Najib

Persoalan sebegini menunjukkan betapa Najib masih tidak faham nilai ketelusan dalam sebuah pentadbiran. Di bawah pentadbiran Najib, tiada siapa tahu jumlah dana yang digunakan untuk membantu Bumiputera berbanding jumlah yang dirompak untuk membeli kapal mewah, harta di luar negara, dan untuk membawa isteri dan keluarga melancong menaiki jet mewah.

Malahan, jumlah RM2.9 billion yang dijanjikan untuk membantu usahawan IKS Bumiputera adalah jumlah yang hanya lebih sedikit sahaja berbanding RM2.6 billion yang Najib terima ke dalam akaun peribadi beliau.

Tanpa ketelusan, kita akan terus tidak tahu sama ada perbelanjaan membantu Bumiputera adalah lebih besar atau lebih kecil daripada perbelanjaan membantu akaun bank Najib sendiri.

Kerajaan Pakatan Harapan mahu agenda memajukan ekonomi Bumiputera dilaksanakan dengan telus agar warga Bumiputera sendiri boleh menilai sejauh mana kami serius dalam menjalankan janji-janji kami.

Maka laporan tahunan yang kami janjikan adalah satu langkah penting untuk membolehkan rakyat sendiri menilai prestasi pentadbibiran Kerajaan Pakatan Harapan.

Najib juga perlu ingat kepada ucapan Tun Abdul Razak Hussein pada majlis sambutan ulangtahun ke-28 UMNO bahawa “Siapa-siapa yang menyeleweng dari kehendak rakyat akan dihukum oleh rakyat sendiri.

Jikalau sokongan rakyat dipermainkan dan taat setia mereka kita abaikan dan dinilai hanya dengan wang ringgit, ini akan merosakkan parti.”

Sedarlah bahawa Almarhum Tun Abdul Razak sendiri sudah mengingatkan kita bahawa sokongan bukan hanya dengan wang ringgit sahaja.

Datuk Dr Rais Hussin merupakan Pengerusi Biro Dasar dan Strategi, Parti Pribumi Bersatu Malaysia.
Tulisan ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian rasmi Malaysiakini.