Followers

Showing posts with label ambank. Show all posts
Showing posts with label ambank. Show all posts

Thursday, July 30, 2015

Video: Muhyiddin Kata PM Akui RM2.6 bilion dalam Akaun


Satu rakaman video menunjukkan Tan Sri Muhyiddin membincangkan mengenai dakwaan bahawa wang jutaan ringgit dipindahkan ke akaun peribadi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menjadi perhatian hari ini.

Video sepanjang 53 saat itu menunjukkan bekas timbalan perdana menteri itu berbual dengan beberapa orang tetamu di kediamannya, antaranya Menteri Besar Kedah Datuk Mukhriz Mahathir dan bekas menteri, Tan Sri Kadir Sheikh Fadzir.

Sebahagian daripada rakaman itu tidak dapat didengar dengan jelas, namun secara umum, Muhyiddin dalam video itu nampaknya membangkitkan bahawa beliau sudahpun bersemuka dengan Najib berhubung dakwaan tersebut.

Ia berhubung dakwaan yang dilaporkan The Wall Street Journal pada 3 Julai lalu, bahawa penyiasat Malaysia mendapati wang sebanyak hampir AS$700 (RM2.6 bilion) juta dipindahkan ke akaun peribadi Najib.


 Susulan laporan WSJ, Najib menafikan menggunakan dana awam untuk kepentingan peribadi dan menuduh bapa Mukhriz, bekas PM Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi dalang untuk menjatuhkannya.

Dalam video itu, Muhyiddin memberitahu para tetamu bahawa beliau sudah bertanya mengenai sumber wang tersebut dan mendapat jawapan bahawa dana berkenaan diperolehi daripada seorang individu di Timur Tengah.

"Then saya kata kenapa masuk akaun you? Kenapa masuk akaun Najib Razak?," soal Muhyiddin.

"Dia mengaku. Jadi saya tanya: Mengapa letak dalam akaun peribadi sendiri?,” kata Muhyiddin lagi dalam bahasa Inggeris.

Ketika dihubungi, Abdul Kadir mengesahkan bahawa perbualan itu sememangnya berlaku namun menegaskan bahawa ia tidak sepatutnya dirakam.

Beliau juga enggan memberi pandangannya mengenai isi perbualan berkenaan.

"Saya tidak mahu komen mengenainya. Ia adalah perbualan tertutup. Ia tidak sepatutnya dirakam.

"Mukhriz sudah meminta hadirin supaya tidak merakamnya,” katanya kepada Malaysiakini ketika dihubungi petang ini.

Berikut adalah transkrip penuh perbualan:

Muhyiddin: I asked him (Najib) from whom? He did not mention siapa nama dia, from somewhere in the Middle East.

Berapa banyak? Lepas tu dia ..(tidak jelas)... susah nak kiralah. Dia kata 'a lot', 'a lot'.

Then saya kata kenapa masuk akaun you? ... (tidak jelas) ... kenapa masuk akaun Najib Razak? Duit berapa? 700 million US dollar. Kalau kali tiga point something... 2.6 billion that goes into his personal account.

Ini dia sebut. He admitted. So I said why did you put into your personal account?

[Baca berita asal]

Wednesday, July 8, 2015

Kes Rembat Duit: Najib Akan Dedahkan Akaun Peribadi ??



Tunjuk akaun bank kamu, kata Dr M pada Najib

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak boleh menangani segala dakwaan kontroversi bahawa beliau telah mengambil AS$700 juta (RM2.6 bilion) dana kerajaan, dengan hanya perlu menunjukkan akaun banknya, kata bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

"Apabila orang buat dakwaan terhadapnya tentang sesuatu, beliau berkata ia adalah satu komplot, karut, ia tidak benar.

"Buktikan bahawa ia tidak benar. Sangat mudah untuk beliau membuktikan ia tidak benar.

"Beliau mempunyai akaun-akaun bank, apa yang beliau perlu buat ialah berkata: 'Anda periksa akaun saya, anda lihatlah," kata Dr Mahathir dalam temu bual dengan BBC UK yang disiarkan hari ini.

Jumaat lalu, Wall Street Journal (WSJ) melaporkan dakwaan bahawa AS$700 juta dana 1MDB telah didepositkan ke dalam akaun bank peribadi Najib di Ambank.

Najib telah menafikan bahawa beliau telah mengambil dana kerajaan untuk kepentingan peribadi dan menuduh Mahathir "bekerjasama" dengan pihak asing untuk mewujudkan satu krisis politik.

Beliau juga menuduh Mahathir mahu menjatuhkannya kerana beliau tidak memenuhi kehendak bekas perdana menteri itu.

Bagaimanapun, Mahathir berkata penafian semata-mata adalah tidak mencukupi.

"... Anda kata anda menafikannya, tapi marilah kita tengok akaun-akaun tu," katanya.

[Baca berita penuh/asal]


Tuesday, July 7, 2015

3 Akaun Najib Kena Beku,Biar Betul Bro ?



WSJ kemuka 'bukti' aliran wang ke akaun Najib

Wall Street Journal (WSJ) memuat naik dokumen yang mana didakwa perincian bagaimana hampir AS$700 juta (RM2.6 bilion) disalurkan ke dalam akaun peribadi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak.

Menurut WSJ, sumber dokumen-dokumen tersebut adalah daripada "Penyiasatan kerajaan Malaysia".

Beberapa butiran antaranya seperti lima digit terakhir bagi akaun AmIslamic Bank Bhd telah disunting.

Dokumen-dokumen tersebut boleh dilihat di sini.





Sumber: 3 daripada 6 akaun dibeku milik PM

Pasukan petugas khas mendedahkan bahawa ia telah membekukan enam akaun bank yang berkaitan dengan dakwaan bahawa RM2.6 bilion dana 1MDB telah dipindahkan ke dalam akaun peribadi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak.

Manakala pasukan itu tidak menyatakan pemilik akaun berkenaan, Malaysiakini difahamkan bahawa tiga daripadanya adalah milik perdana menteri.

Ini menurut sumber yang biasa dengan siasatan tersebut.

"Ya, tiga akaun kepunyaannya (Najib)," kata sumber itu dengan syarat tidak mahu namanya disiarkan.

Bagaimanapun, sumber itu enggan mendedahkan butiran mengenai tiga akaun lain.

Pembekuan akaun itu ekoran penyiasatan selama empat hari oleh empat badan yang terdiri daripada Bank Negara, polis, Jabatan Peguam Negara dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Ini dibuat selepas laporan Wall Street Journal (WSJ)mendakwa AS$700 juta (RM2.6 bilion) telah didepositkan ke dalam akaun peribadi Najib. 

Pada hari Sabtu, dilaporkan bahawa Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail mengesahkan pasukan petugas itu juga membuat serbuan ke atas tiga buah syarikat pada hari Jumaat dan merampas dokumen dari pejabat mereka.

Tiga syarikat itu ialah SRC International Sdn Bhd, Gandingan Mentari Sdn Bhd, dan Ihsan Perdana Sdn Bhd.

Perdana Menteri telah menafikan dakwaan tersebut dan menuduh bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad di belakang sabotaj politik terhadapnya.

Beliau juga telah mengancam untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap pengkritiknya, dan sedang menimbang untuk menyaman WSJ.

WSJ mempertahankan laporannya, dengan berkata ia berdasarkan penyiasatan yang dijalankan oleh pihak berkuasa Malaysia.

[Baca berita penuh/asal]

Tuesday, November 12, 2013

'Pump Gun' Bunuh Norazita Ditemui



Menurut sumber Polis

KUALA LUMPUR: Polis pada Isnin menemui senjata api yang dipercayai diguna dalam pembunuhan pegawai Ambank ketika rompakan di bank itu bulan lepas.

Menurut sumber polis senjata api jenis 'pump gun' itu ditemui di dalam sebuah longkang di Jalan Subang 2, Taman Perindustrian Subang, tidak jauh dari lokasi kejadian.

Selain pump gun, polis juga menemui sekotak peluru, kata sumber itu kepada Bernama, di sini pada Isnin.

Katanya penemuan senjata api itu hasil soal siasat ke atas suspek utama yang diberkas oleh polis semalam.

Dalam kejadian 23 Oktober lepas, Norazita Abu Talib, 37, maut selepas ditembak di bahagian muka oleh suspek yang juga pengawal keselamatan bank itu ketika mangsa membuka peti besi di bilik kebal bank berkenaan.

Suspek kemudian melarikan diri bersama-sama wang rompakan berjumlah RM450,000.Lelaki itu diberkas oleh polis pagi semalam di Kota Tinggi, Johor.

sumber...Mstar OL

Sunday, November 10, 2013

Polis Cekup Pembunuh Pegawai Ambank Pagi Ini



Polis tahan pembunuh pegawai Ambank pagi ini

Polis menahan pengawal keselamatan yang menembak mati pegawai bank Norazita Abu Bakar dan melarikan wang sebanyak RM450,000 di cawangan Ambank di USJ Sentral, Subang Jaya di Johor pagi ini.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar (gambar) mengesahkan perkara ini akan tetapi enggan untuk mengulas lanjut  dan mengatakan kenyataan akhbar akan dikeluarkan hari ini.

“Syabas Team Ops Cantas BAman, telah berjaya tangkap pmbunuh/perompak kejam Ambank di JB pagi ini. TK Rakyat M'sia yg terus membantu@PDRMsia,” kata Khalid melalui akaun Twitter @KBAB51 hari ini.

Suspek dikenal pasti berasal dari Sabah, berumur 37 tahun dan dituduh menggunakan kad pengenalan palsu untuk mendapatkan pekerjaan sebagai pengawal keselamatan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Hadi Ho dalam satu kenyataan mengucapkan terima kasih kepada orang ramai di atas keprihatinan dan kerjasama mereka dalam kes ini.

“Pada jam 7.00 pagi 10 Nov 2013, bertindak atas maklumat, Pasukan Cantas Khas PDRM telah berjaya menangkap seorang lelaki di Kg Belungkor, Kota Tinggi, Johor yang dipercayai suspek utama dalam kejadian samun di Subang Jaya pada 23 Oktober 2013 yang melibatkan kematian seorang kakitangan Ambank.

“Pihak Polis percaya dengan penangkapan suspek utama ini, kes berkenaan telah berjaya diselesaikan,” kata Hadi dalam satu kenyataan yang dikirimkan kepada media sebentar tadi.

Dalam kejadian menyayat hati pada 23 Oktober itu, Norazita, 37, maut ditembak oleh suspek ketika beliau membuka peti besi di dalam bilik kebal bank berkenaan pada 6.20 petang, bersama-sama seorang lagi pegawai wanita.

Mangsa yang sudah berkerja selama 16 tahun di bank itu meninggal dunia di tempat kejadian susulan kecederaan parah pada bahagian kepala akibat ditembak dengan 'pump gun' oleh suspek.

Pada hari sama, polis menahan tiga ahli keluarga suspek di Subang Jaya dan berjaya mendapatkan kembali RM20,000 daripada keseluruhan wang yang dilarikan.

Dua yang ditahan juga bekerja sebagai pengawal keselamatan dan menggunakan kad pengenalan palsu.

Kementerian Dalam Negeri (KDN) kemudiannya mengumumkan lesen operasi syarikat keselamatan tersebut ditarik balik kerana gagal mematuhi peraturan ditetapkan.

Timbalan Ketua Setiausaha KDN Datuk Alwi Ibrahim mengatakan kesalahan utama syarikat keselamatan itu adalah kegagalan menyemak latar belakang suspek terlebih dahulu sebelum memberikan pekerjaan dan senjata.

sumber...TMI