Followers

Tuesday, November 22, 2011

UIA Gabra : Batal Majlis Tim.Menteri Pengajian Tinggi

Alasan ‘AUKU masih panas’, UIA batal majlis timbalan menteri Saifuddin Abdullah

KUALA LUMPUR, 22 Nov — Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah, yang popular dengan pendirian progresif menyentuh transformasi politik, kecewa apabila Universiti Islam Antarabangsa (UIA) membatalkan program yang sepatutnya beliau jayakan di kampus induk pusat pengajian tinggi itu di Gombak, malam tadi.

UIA didakwa membatalkan majlis itu atas alasan isu menyentuh Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) masih panas dan tidak mahu mewujudkan masalah.

Saifuddin (gambar) juga merupakan antara ahli politik yang lantang menyuarakan pendiriannya berkaitan dengan isu UIA menggantung tugas Prof Dr Abdul Aziz Bari ketika beliau disiasat universiti itu bulan lalu.

“Ya, saya kecewa. Ini kali pertama saya berhadapan dengan pengalaman ini, sepatutnya UIA tidak membatalkan majlis ini . . . ia cuma satu majlis membicarakan tentang buku saya,” kata beliau ketika dihubungi The Malaysian Insider malam tadi.

Mengikut jadual asal beliau sepatutnya berada di kampus UIA untuk menghadiri majlis membicarakan e-buku beliau bertajuk “Kalau Saya Mahasiswa” sempena program anjuran Persatuan Undang-Undang UIA.

“Tetapi, pada saat-saat akhir, program tersebut dibatalkan dan ditangguh sehingga ke tarikh yang lain,” kata beliau sambil menjelaskan bahawa “saya menerima maklumat pembatalan majlis saya sekitar pukul 5 petang tadi.”

“Saya difahamkan mengenai keputusan itu apabila pembantu saya ke UIA petang tadi (semalam) untuk meninjau persiapan akhir.

“Tetapi dimaklumkan bahawa majlis saya dibatalkan, dimaklumkan oleh Timbalan Rektor HEP UIA (Prof Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood),” katanya.

Saifuddin yang juga ahli Majlis Tertinggi Umno menambah, beliau mendapat maklumat daripada Nik Ahmad Kamal bahawa pembatalan itu adalah atas arahan rektor universiti tersebut Prof Datuk Seri Dr Zaleha Kamaruddin.

“Alasan pembatalan ialah kerana isu AUKU sedang hangat diperkatakan,” kata Saifuddin yang juga Ahli Parlimen Temerloh.

Ditanya sama ada beliau ada menghubungi pengurusan UIA mengenai soal itu, “tidak, malas (mahu bertanya). Kalau tidak mahu beri kebenaran, tak mengapalah.”

Di sebalik isu menyentuh Aziz, arena politik tempatan masih hangat dengan polemik berkaitan dengan AUKU dengan masyarakat berbelah bahagi dengan syor agar akta itu dimansuhkan ekoran keputusan Mahkamah Rayuan 31 Oktober lalu.

E-buku adalah buku kelima Saifuddin dan diterbitkan pada 2009.

sumber...TMi