Followers

Friday, August 22, 2014

Rozana Dedah Awie (Wings) Tidak Pernah Daftar Nikah Sejak Kahwin


 Rozana  (tengah) bersama peguamnya iaitu Rubiah Jaffar (kiri) dan Majdah Muda.

Rozana Misbun membuat pendedahan pernikahannya dengan Awie (Wings) selama lapan tahun di Thailand, rupa-rupanya masih belum didaftarkan di Malaysia.

 Isteri kepada penyanyi Awie iaitu Rozana Misbun hanya menyedari perkahwinannya selama ini yang telah mencecah lapan tahun tidak pernah didaftarkan di negara ini selepas dia merujuk masalah rumah tangganya di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) kira-kira dua bulan lalu.

Rozana, 36, berkata, suaminya pernah memberitahu kepadanya sebelum ini perkahwinan mereka di Songkhla, Thailand pada 20 Jun 2005 telah didaftarkan dan dia terkejut apabila diberitahu tiada sebarang rekod perkahwinan mereka berhubung perkara itu.

"Selepas tragedi 2 Jun lalu saya pergi ke Jawi dengan niat untuk mendapatkan khidmat kaunseling berhubung masalah rumah tangga kami dan apabila mereka semak surat perkahwinan kami di setiap negeri, ia tiada dalam rekod.

"Pada ketika itulah baharu saya mengetahui perkahwinan kami masih belum didaftarkan sepanjang sembilan tahun berkahwin," katanya kepada mStar Online.

Rozana ditemui pada satu sidang media khas yang diadakan di perkarangan Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan di sini pada Jumaat. Dia turut ditemani oleh dua peguamnya iaitu Majdah Muda dan Rubiah Jaffar.

Terdahulu Awie dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ampang pada 3 Julai lalu atas tuduhan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap isterinya di kediaman mereka di Ukay Bistari, Ukay Perdana, Hulu Kelang pada 2 Jun lalu.

 Awie bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas pertuduhan tersebut yang dibacakan di bawah Seksyen 325 Kanun Keseksaan.

Dalam pada itu Rozana berkata, sejak kejadian tersebut Awie tidak pernah menghubunginya untuk bercakap mengenai soal perkahwinan atau perceraian sebaliknya terus membuat permohonan untuk mendapatkan hak penjagaan anak-anak mereka.

Jelas Rozana, dia keliru dengan tindakan suaminya itu sedangkan status perkahwinan mereka tidak dibawa ke mahkamah untuk mendapatkan pengesahan.

"Kami belum pun bercerai dan dia sudah sibuk dengan soal hak penjagaan anak-anak kami sedangkan status perkahwinan pun belum disahkan dan didaftarkan di Malaysia.

"Saya sendiri tidak merebut anak-anak dengan dia tetapi dia yang membuat permohonan malah aduan yang saya lakukan sebelum ini langsung tidak melibatkan mahkamah syariah," jelasnya.

Sementara itu, Rozana berkata, dia akan mempertahankan haknya sebagai seorang ibu terhadap tiga anak-anaknya yang kini di bawah jagaan sementara suaminya.

Jelas Rozana, demi kembali bersatu dengan anak-anaknya dia tidak akan berdiam diri dan akan memastikan haknya sebagai seorang isteri dan ibu terbela di mahkamah.

 "Saya akui sebelum ini saya takut dan trauma dengan dia tetapi kini tidak lagi kerana saya akan melawan kembali untuk mendapatkan hak saya selepas dua bulan tidak bertemu dengan anak-anak.

Mengulas mengenai pelbagai cerita kurang enak yang disebarkan tentang dirinya, Rozana berkata, dia tidak mempunyai hak untuk menghalang sesiapa sahaja yang ingin bercakap mengenainya kerana hanya dia dan keluarga sahaja yang tahu keadaan sebenar.

"Tidak mengapa jika ada pihak yang ingin memburuk-burukkan saya dan kalau hendak balas setiap tuduhan itu memang susah dan Awie sendiri tahu bagaimana hubungan saya dengan anak-anak dan saya sememangnya tidak pernah meninggalkan mereka.

"Apa yang boleh saya katakan sekiranya seseorang tidak tahu situasi dan keadaan sebenar lebih baik jangan beri pendapat atau komen kerana hanya saya dan keluarga sahaja yang tahu cerita sebenar," jelasnya.

Dalam perkembangan lain, peguam syarie Rozana, Majdah Muda, berkata, pihaknya akan menfailkan jawapan permohonan bantahan awal bagi mengetepikan perintah hak penjagaan (hadanah) sementara yang difailkan oleh Awie 21 Julai lalu.

Jelas Majdah, pada 17 September baharulah mahkamah akan meminta kedua-dua belah pihak memberi hujahan dan kemudiannya membuat keputusan terhadap perkara itu.

Awie turut mengemukakan bantahan terhadap permohonan Rozana untuk membatalkan permohonan injunksi yang difailkan secara ex-parte (sebelah pihak) olehnya pada 16 Julai lalu untuk menghalang wanita itu daripada mendekati atau menghubunginya dan anak-anak mereka dalam apa jua cara sekalipun.

Pada 22 Julai lalu Awie berjaya mendapat hak penjagaan sementara ke atas tiga anak hasil perkahwinan mereka daripada Mahkamah Tinggi Syariah, di sini iaitu iaitu Putra Ahmad Merrah, 7, Putra Ahmad Rezzki, 6, dan Puteri Qasseh Antasha, 4.

Awie turut mempunyai dua lagi anak hadil perkahwinan terdahulunya dengan Arni iaitu Puteri Aleeya Antasha, 14, dan Puteri Aleefa Antasha, 12.

sumber...Mstar OL