Satu analisa kepada jawapan persoalan 'Bolehkah wanita menjadi Pemimpin' menurut para ulamak
Imam Al-Mawardi r.a (450 H) menjelaskan jawatan seperti Perdana Menteri atau juga menteri ketenteraan adalah tidak dibolehkan bagi wanita serta tidak sesuai dengan kemampuan sifat mereka terutama apabila melibatkan ketenteraan. Beliau juga menyenaraikan sifat ‘lelaki’ sebagi salah satu daripada 10 syarat kepada kepimpinan di peringkat ‘tafwid’ tetapi tidak di peringkat ‘tanfiz’. ( Al-ahkam as-sultaniyyah, hlm 22)
Menurut Imam Hasan Al-Banna, wanita tidak dibenarkan menjawat apa-apa jawatan di wilayah ‘ammah atau wazarah tafwid seperti kepimpinan ketenteraan (wilayah jihad), wilayah hisbah, wilayah kehakiman, wilayah haji, wilayah kharaj dan lain-lain bentuk umum. Selain dalil-dalil biasa Al-quran dan al-Hadtih, beliau juga berdalilkan ijma’ amali yang menunjukkan bahawa sejak zaman Rasul SAW, baginda tidak pernah melantik kepimpinan umum di kalangan wanita dan hal ini berterusan hinggalah jatuhnya empayar Islam Uthmaniyyah. Malah Rasul SAW dan para sahabat juga tidak pernah melantik ahli kenggotaan syura ( ahl al-hal wal aqd ) dari kalangan wanita.
Dr. Abd Qadir Abu Faris (Ahli Parlimen Ikhwan Muslimin Jordan sekarang) juga berpandangan seperti Imam Hasan Al-Banna. Beliau menguatkan pandangan Imam Hasan dengan membawakan persitiwa Bai’ah Aqabah Kedua dimana Rasul SAW telah memilih 12 org ketua dan tidak pun melantik wanita sekalipun mereka hadir berbaiah. Begitu juga ketika Rasul SAW menghimpun sahabat dalam memutuskan keputusan dalam peperangan Uhud, Ahzab, “Fath Makkah” , Perang Hunain dll, Rasul tidak pun meminta pandangan dari kaum wanita. Dr. Abd Qadir bukan sahaja tidak menyetujui kepimpinan wanita di peringkat tafwid malah juga pringkat tanfiz. (rujuk an-nizom as-siyasi fil Islam, hlm 335)
Dr.Yusoff Al-Qaradhawi dalam kitabnya Min Fiqh al-dawlah fil Islam, mempunyai pandangan yang berbeza, beliau berpandangan bahawa dalam konteks kepimpinan dunia hari ini, beliau lebih cenderung membenarkan wanita memegang kesemua jawatan termasuk Perdana Menteri atas alasan bahawa kepimpinan hari ini bukanlah bersifat Perdana Menteri yang memutuskan keputusan dengan kuasa vetonya tetapi mereka mempunyai kabinet atau majlis syura yang menentukan dasar, serta bukannya hak Perdana Menteri melakukan sewenang-wenangnya. Bagaimanapun tetapi alasan ini tidak boleh diguna pakai dalam sebuah negara komunis atau autokratik yang memberi peluang serta kuasa sepenuhnya kepada Presiden/Perdana Menteri.
Dr. Yusoff Al-Qaradhawi berhujjah dengan dalil berikut :-
1. Kisah kepimpinan wanita di peringkat tertinggi iaitu Ratu Balqis, digambarkan sebagai seorang pemimpin wanita tertinggi negara yang berwibawa serta mampu membawa kaumnya kepada kebaikan dunia akhirat. Firman Allah SWT:
قالوا نحن أولوا قوة وأولوا بأس شديد والأمر إليك فانظري ماذا تأمرين (النمل :33)
قالت رب إني ظلمت نفسي وأسلمت مع سليمان لله رب العالمين (النمل: 44)
Mafhum : Berkatalah kami (lelaki) yang mempunyai kekuatan, sesungguhnya kami serahkan urusan ini kepdamu ( ratu balqis) …” berkatalah Balqis “ Demi Tuhanku sesungguhnya aku telah berlaku zalim terhdp diriku nescaya kini aku akan beriman kepada Allah bersama Nabi Sulaiman” ( An-Naml 33 dan 44)
2. Menolak sifat umum pada hadith riwayat Bukhari tadi dengan hujjah :
a. Beliau menyatakan bahawa perkara menggunakan umum hadith untuk melarang kepimpinan dari kalangan wanita adalah tidak disepakati sepenuhnya. Selain itu, sekiranya ia diambil dengan pengertian umum lafaz sahaja maka akan bertentangan dengan kisah tawladan Ratu Balqis sebagai pemimpin tertinggi yang berjaya. Ratu Balqis digambarkan oleh Allah sebagai berkata :
قالت ياأيها الملأ أفتوني في أمري ما كنت قاطعة أمرا حتى تشهدوني(32)
Mafhum : “Wahai pembesar berikanlah pandangan kepadaku dalam urusan ini, aku tidak pernah memutuskan sesuatu perkara sebelum kamu hadir memberi pendapat dan mempersetujuinya” ( An-Naml 32)
b. Mengambil kaedah fiqhiyyah العادة محكمة dan bersandarkan kepada fiqh waqi’ , reality hari ini kebanyakan wanita menyumbang kebaikan yang banyak untuk negara malah adakalanya lebih daripada lelaki, bahkan mereka juga ada yang lebih berkelayakan dari pelbagai sudut berbanding lelaki. Ini bermakna , perlu memahami hadith dan sunnah fi’liyaah Rasulullah SAW berdasarkan ‘mulabasat’ atau suasana zaman dan kemampuan wanita ketika itu. Maka seolah-olah Qaradhawi cuba memberi isyarat di sini, isu hukum kepimpinan wanita adalah isu furu’ yang boleh berubah menurut peredaran zaman. Yang penting adalah syarat KEMAMPUAN DARI PELBAGAI SUDUT tanpa menjadikan JANTINA SEBAGAI PUNCA PERBEZAAN UTAMA DAN KELAYAKAN.
3. Hadith tadi juga memberi kefahaman bahawa tika wujudnya Khilafah Islam, wanita memang kelihatan amat kurang sesuai menjadi imamah uzma iaitu khalifah walaupun di ketika zaman ini. Hal ini sememangnya disepakati larangannya, tetapi selepas ketiadaan khilafah tahun 1924 M, sebahagian ulama’ telah meng ‘qias’ kan kepimpinan ratu Balqis sebagai Presiden yang punyai kuasa dalam memberi persetujuan terhadap sebarang pelaksanaan dasar. Justeru, dalam ketiadaan khilafah, negara-negara umat Islam hanyalah bertaraf seperti Gabenor di wilayah yang terhad.
Dengan itu, wanita adalah boleh memegang jawatan menteri, Qadhi atau lain-lain.
4. Dalam masyarakat di bawah system demokrasi hari ini, apabila wanita dilantik ke jawatan kementerian, Parlimen, Pentadbiran atau lainnya, ia tidak bermakna ia memegang jawatan ini secara veto, hakikatnya ia adalah kepimpinan secara kolektif, yang mempunyai sebuah institusi dalam menentukan tindakan. Justeru, menurut al-Qaradhawi, ia tidak bertentangan dengan Hadtih walau menurut apa jua tafsiran.
Prof Dr. Mohammad Hashim Kamali (UIA) pula berpandangan wanita dibenarkan memegang apa-apa jawatan kecuali Perdana Menteri dan jawatan hakim. Manakala jawatan-jawatan lain seperti gabenor, wilayah hisbah, wilayah mazalim adalah perkara yang diperselisihkan antara ulama’. (Freedom, Equality and Justice In Islam, hlm 89)
Al-Imam As-Syawkani (1255 H) di dalam Nailul Awtar menyatakan selain hadith di atas yang menjadi dalil tidak harus wanita memegang tampuk tertinggi pemerintahan, fuqaha’ juga berdalilkan satu hadith lain iaitu Mafhumnya :
Dari Buraidah dari Nabi SAW : “Qadhi (hakim) itu tiga, satu di dalam syurga, dau darinya di dalam neraka, maka mereka adalah lelaki yang mengtahui kebenaran lalu menghukum dengan nya,…..” ( Riwayat Ibn Majah, Abu Daud, Tirmizi, Nasaie dan al-Hakim
Lafaz kalimah “Qadhi” ( kalimah khas untuk lelaki sahaja dalam bahasa arab) yang diguna di dalam hadith ini membuktikan jawatan qadhi dan hakim terhad hanya untuk kaum lelaki, demikian juga pemerintah.
KESIMPULAN
Demikianlah serba sedikit perselisihan ulama’ dalam menentukan kedudukan wanita di peringkat tertinggi, sebenarnya ia berlaku demi menjaga kemaslahatan manusia, sebagai kesimpulan :
1) Urusan pendidikan anak-anak, adalah terlalu amat penting sebenarnya. Ia hakikatnya satu medan yang sangat sesuai dengan fitrah wanita. Justeru sekiranya wanita yang berkelayakan ini memimpin institusi keluarga , dan lelaki yang berkelayakan memimpin sebuah negara beserta rakyatnya, maka inilah yang terbaik dan paling ideal menurut Islam, sunnah Rasul SAW dan hukum logik aqal. Tambahan pula lelaki secara semulajadi cukup sesuai untuk menanggung tugas tersebut jika diteliti dari sudut tenaga, mental dan fizikal mereka, manakala wanita pula sangat sesuai memimpin institusi keluarga yang menjadi rakyat bersendikan seni halus mereka, kemampuan fizikal yang terhad, serta maruah sbagi wanita yang sangat mudah tercemar, lalu amat sesuai kiranya difokuskan ke bidang tersebut. sekiranya salah satu gagal, maka akan sukarlah negara mencapai kebaikan.
Bidang institusi keluarga, pendidikan anak dan menjaga keamanan rumah tangga WAJIB TIDAK DIPANDANG REMEH, malah ia sebenarnya amat sukar, mungkin hampir menyamai kepimpinan sebuah negara. Pandangan remeh terhadapnya adalah kesilapan utama wanita moden zaman kini hingga terlalu berhasrat menjaga negara sedangkan anak-anaknya menjadi perosak negara!
2) Jika dilihat daripada umum lafaz hadith, menurut jumhur ulama’ usul fiqh kecuali ulama’ Hanafiah, umum lafaz membawa ‘dalalah zanniyyah’ , maka harus untuk berikhtilaf dalam menentukan hukumnya, ini bermakna pendapat ulama yang melarang tidaklah bersifat qat’ie (putus) (rujuk al-Syeikh Saifudin al-Amidi, al-Ihkam fi Usul al-ahkam)
3) Menurut pengamatan terhadap hujjah Dr Yusoff Al-Qaradhawi, ia kelihatan lebih utuh dan sesuai menurut suasana hari ini, di samping ternyata ia adalah hasil kefahaman mendalam terhadap RUH TASYRI’ serta tidak jumud di hadapan lafaz nusus. Antara syarat yang diletakkan oleh beliau adalah :-
One- Dr. Yusof al-Qaradhawi juga tidak lupa menyatakan syarat kepimpinan wanita, adalah mereka juga tidak gagal dalam mentadbir anak-anak hinggakan beliau meletakkan umur sekitar 45 ke atas adalah umur yang sesuai.
Two- Tiada pemimpin lelaki yang lebih layak untuk menyandang jawatan tersebut pada ketika tersebut.
Three- Pemimpin wanita ini mestilah tidak membuat keputusan secara peribadi dalam memutuskan hal-hal besar negara, bahkan mestilah membuat keputusan secara kolektif dan syura bersama pemimpin pelbagai peringkat.
Four- Wanita yang terlibat dalam hal kepimpinan sudah tentu akan berlaku percampuran yang banyak dengan kaum lelaki maka , menjadi kewajiban baginya untuk memelihara adab-adab Islam semasa keluar rumah seperti menutup aurat dengan sempurna, tidak berwangian berdasarkan hadith :-
“أيما امرأة استعطرت فمرت على قوم ليجدوا ريحها فهي زانية وكل عين زانية "
Ertinya : “Mana-mana wanita yang berwangian lalu keluar rumah dan lalu di hadapan satu kaum (lelaki) dengan sengaja untuk menarik perhatian mereka, maka dosanya adalah seperti dosa zina”
Five- Mendapat kebenaran suami untuk berbuat demikian.
Apapaun, kesesuaian persekitaran merupakan factor penting dalam menentukan keharusan wanita samada dalam menjadi pemimpin (bukan peringkat tertinggi dan bukan qadhi, hakim – menurut sesetengah ulama), calon, ahli parlimen dan sebagainya, kerana WALAUPUN IA BOLEH DIKATAKAN HARUS PADA ASASNYA, tetapi ia mungkin menjadi haram kerana sebab-sebab luaran yang mendatang, ia disebut ‘Haram Li Ghairihi’ di dalam ilmu Usul Fiqh
Adakah Mereka Boleh Berpolitik, keluar rumah dan seumpamanya?
Kesimpulan bagi isu ini adalah, menurut pandangan Al-Qaradhawi dalam Fiqh ad-dawlah, dibenarkan bagi wanita untuk keluar rumah (syarat dengan redha suami jika sudah bersuami dan ayah jika belum) dengan syarat menjaga adab dan malu, serta tidak memakai perhiasan seumpama golongan Jahiliyyah.
Ummul mukminin Saidatina A’isyah ra, selaku isteri nabi yang terfaqih dan terbanyak meriwayatkan hadith sendiri keluar dari rumahnya di Madinah bermusafir ke Basrah, mengetuai bala tentera yang bersamanya ramai sahabat termasuklah 2 orang sahabat yang dijanjikan syurga iaitu Talhah dan Zubair al-awwam, mereka berdua juga merupakan calon khalifah yang diletakkan oleh Khalifah Umar ra. A’isyah keluar dengan maslahat umat Islam, lalu tindakan ini sudah tentu menggambarkan betapa wanita dibenarkan berperanan tetapi dalam had-had yang dijaga. Maka dalam hal keluar dakwah, berpolitik untuk memenangkan Islam juga mempunyai alasan dan menepati maksud syarak yang penting.
Bab wanita menjadi calon, asasnya adalah dibenarkan sebagaimana hujjah-hujjah di atas. Dalam hal ijtihadi ini dan keadaan semasa yang mengizinkan wanita untuk menjadi calon, maka adalah sewajarnya wanita dapat memainkan peranan dalam bidang ini. Terutamanya dalam keadaan masa begitu ramai wanita-wanita terpelajar yang keliru dan ragu akan hak yang diberikan Islam terhdp kaum Hawa. Kita bimbang, kejumudan ijtihad serta taqlid hukum tanpa meninjau keperluan semasa dalam perkara yang termasuk maslahah mursalah akan menjauhkan manusia dari Islam.
Imam Al-Qarafi al-Maliki mengingatkan umat Islam bhw hukum ijtihadi bertukar menurut zaman dan masa, bersesuaian dengan masalahat untuk Islam di zaman tersebut, kejumudan akan membawa kesesatan dalam agama, lalu dengan berdalilkan ‘maslahat mursalah’, dan ‘maslahat muktabarat’ wanita seharusnya dibenarkan mengetuai sekelompok masyarakatnya dalam bentuk penampilan yang diterima syarak dan jalan pelaksanaan tugas yang dibantu oleh kaum adam. Hal perubahan hukum dengan perubahan maslahat juga ditegaskan oleh Imam Ibnu Qayyiman Az-Zaila’ie al-Hanafi.
Malah, di bidang pekerjaan juga wanita diberi hak untuknya, dalam syarat agar menjaga tatasusila sebagai sebagai seorg wanita muslimat serta tidak menyalahi syarak padanya.
sumber...i love Allah swt and Prophet Muhammad SAW