Followers

Monday, January 14, 2019

PRK Cameron Highlands: Nazri Akui BN Sukar Pertahan Kerusi



Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Nazri Aziz mengakui parti itu sukar mempertahankan kerusi Parlimen Cameron Highlands yang dimenanginya dalam pilihan raya umum ke-14 (PRU14) tahun lalu.

Katanya, kedudukan BN kini sama seperti Pakatan Harapan (PH) ketika menjadi pembangkang yang sukar memenangi pilihan raya kecil (PRK).

“Sekarang kita berada di pihak pembangkang, sepertimana semua tahu mana-mana PRK, ia sentiasa tidak memihak kepada pembangkang,” katanya kepada FMT hari ini.

Bekas menteri pelancongan dan kebudayaan itu mendakwa parti pemerintah akan menggunakan semua kelebihan yang ada, termasuk sokongan kementerian untuk membantu calonnya.
“Tetapi, tidak mengapa, kami akan hadapinya.”

BN menurunkan bekas pegawai kanan polis yang berasal daripada masyarakat Orang Asli, Ramli Mohd Nor untuk menentang calon PH, M Manogaran dan 2 calon bebas, Sallehudin Ab Talib dan Wong Seng Yee.

PRK Cameron Highlands akan diadakan 26 Januari ini, selepas Mahkamah Pilihan Raya pada November lalu membatalkan kemenangan calon BN, Datuk C Sivarraajh daripada MIC pada PRU14 lalu.

Sivarraajh memenangi kerusi Parlimen itu dengan majoriti 597 undi, selepas menewaskan pencabar terdekatnya, Manogaran dalam pertandingan 5 penjuru.

Cameron Highlands mempunyai 32,009 pengundi berdaftar, termasuk 247 pengundi awal dan 12 pengundi tidak hadir.

Kayveas sokong PH
Nazri tidak terkejut dengan tindakan Presiden MyPPP, Tan Sri M Kayveas menarik diri daripada PRK Cameron Highlands dan menyokong PH kerana parti itu sudah meninggalkan BN.

“Beliau merupakan antara pemimpin MyPPP yang meninggalkan BN, sudah tentu dia tidak menyokong BN.”

Nazri juga enggan menjawab spekulasi Kayveas mempunyai 3,000 pengundi di Cameron Highlands yang mampu membantu PH memenangi PRK itu.

“Beliau tidak boleh mengukur undi mengikut kawasan, sama ada kawasan ini mempunyai 3,000 atau 4,000 pengundi yang akan mengundi beliau, terpulang kepada beliau untuk bercakap, apa yang penting ialah keputusannya sebab kita tidak tahu.”

sumber...FMT