Followers

Wednesday, January 30, 2019

Orang Pantai Timur Boleh Sujud Syukur...


Sumber: Kontraktor ECRL setuju kurangkan kos kepada RM40 bilion


China Communication Construction Co Ltd (CCCC) dipercayai sedang mencari jalan penyelesaian terbaik dengan kerajaan Malaysia untuk mengelakkan pembatalan projek Landasan Keretapi Pantai Timur (ECRL), lapor The Star.

Sumber industri mendakwa firma milik kerajaan China itu bersetuju untuk mengurangkan kos lebih rendah kepada sekitar RM40 bilion.

CCCC pada awalnya dikatakan bersetuju berkongsi kos operasi dan risiko kewangan selepas pembinaan projek berkenaan dan peranannya hanya terhad kepada pembinaan infrastruktur.
Oleh itu, gergasi pembinaan itu terkejut apabila kerajaan Malaysia mengatakan kos projek itu menjangkau RM81 bilion.

Ketika kerajaan menangguhkan ECRL pada Julai 2018, projek itu telah 15 peratus disiapkan.

Dalam proses rundingan semula kemudian, sumber mendakwa CCCC bersetuju membenarkan 40 peratus hingga 50 peratus penyertaan tempatan berbanding hanya 30 peratus pada asalnya.

Sumber mengatakan CCCC tidak akan mengambil mudah isu penamatan berkenaan.

Sementara itu sesetengah pihak percaya kerajaan kini sedang membuat pertimbangan secara diplomatik.

Sumber mengatakan, CCCC dalam suratnya, masih terbuka untuk menyelesaikan masalah itu dengan baik.

Semalam, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata pampasan bagi membatalkan kontrak ECRL jauh lebih rendah daripada hutang yang perlu dibayar kerajaan selama 30 tahun akan datang.

Beliau bagaimanapun berkata Malaysia masih berunding dan belum membuat keputusan muktamad.

Beberapa media membuat spekulasi bahawa kabinet memutuskan untuk menamatkan kontrak CCCC, kontraktor utama projek ECRL pada 24 Jan.

Sabtu lalu, Menteri Hal Ehwal Ekonomi Azmin Ali berkata kabinet telah memutuskan untuk menamatkan projek itu dalam mesyuarat kabinet dua hari sebelumnya.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng kemudiannya berkata beliau terkejut dengan kenyataan itu dan mengatakan Azmin mungkin tidak dimaklumkan mengenai perkara-perkara tertentu yang diputuskan oleh perdana menteri.

Bagaimanapun, Lim kemudian menjelaskan beliau hanya terkejut dengan masa pengumuman itu dan bukan kandungan pengumuman dibuat Azmin.

Tun berkata kedua dua menteri tersebut betul dan pengumuman rasmi dijangka akan dibuat tidak lama lagi.