Followers

Saturday, January 19, 2019

Pertama Dalam Sejarah, Putrajaya Saman Kelantan Demi Orang Asli

  

Sekumpulan Orang Asli di Pejabat Perdana Menteri pada Ogos tahun lepas. Putrajaya hari ini mengumumkan saman terhadap kerajan Kelantan.

Putrajaya memfailkan saman terhadap kerajaan Kelantan yang ditadbir oleh PAS kerana pencerobohan penempatan-penempatan Orang Asli, yang pertama oleh kerajaan persekutuan melibatkan hak tanah pribumi.

Ia juga memohon injunksi menghalang syarikat-syarikat swasta menceroboh tanah pribumi untuk menjalankan aktiviti komersial.

“Penerima manfaat dalam saman ini adalah Orang Asli. Litigasi ini adalah percuma,” kata Peguam Negara dalam kenyataan hari ini.

Saman yang difailkan di Mahkamah Tinggi Kota Bharu menamakan kerajaan negeri, pengarah tanah dan galian negeri, pengarah perhutanan negeri dan 5 entiti swasta.
Thomas berkata tindakan kerajaan persekutuan memulakan prosiding undang-undang bagi pihak Orang Asli adalah yang pertama sejak Merdeka, tindakan yang dilihat seperti Putrajaya mengiktiraf kewajipannya melindungi masyarakat itu.

“Orang Asli mempunyai sejarah yang kaya dan kuno. Mereka menjalani kehidupan yang damai dan lestari di hutan-hutang Tanah Melayu sejak zaman dulu,” kata Thomas.

Beliau berkata ekonomi dan budaya Orang Asli sangat bergantung kepada tanah nenek moyang mereka.

“Sememangnya seluruh warisan, tradisi dan kehidupan mereka bergantung kepada tanah nenek moyang dan sumber-sumber berkaitan,” tambahnya.

Thomas berkata hak asasi masyarakat itu sudah terlalu lama tidak diendahkan.

Kerajaan Kelantan dan agensi-agensinya baru-baru ini menganugerahkan lesen pembalakan kepada syarikat-syarikat swasta untuk memasuki tanah-tanah pribumi Orang Asli suku Temiar di Pos Simpor, berdekatan Gua Musang.
Kawasan-kawasan hutan dilapor dibersihkan untuk membuka laluan kepada ladang-ladang durian dan getah.

Thomas berkata tindakan itu menyebabkan Orang Asli suku Temiar kehilangan tanah pribumi dan sumber, dan menyebabkan hakisan tanah, pencemaran dan kerosakan pada ekonomi dan lanskap Pos Simpor.

“Kerajaan Kelantan tidak berunding dengan Orang Asli suku Temiar sebelum menganugerahkan lesen-lesen pembalakan itu atau menawarkan sebarang pampasan atas kehilangan tanah pribumi dan sumber,” tambahnya.

Beliau berkata walaupun kerajaan Kelantan mempunyai bidang kuasa berhubung tanah, perhutanan dan perlombongan, ia juga mempunyai kewajipan untuk melindungi dan memelihara kebajikan Orang Asli suku Temiar.

“Pembangunan komersial dan mencari keuntungan tidak boleh mengorbankan Orang Asli suku Temiar dan hak mereka ke atas tanah dan sumber yang secara tradisi dimiliki dan digunakan mereka,” katanya.

sumber...FMT
foto: FMT