Followers

Friday, February 8, 2019

RM90 Juta: SPRM Panggil Nik Abduh,Nasharudin Mat Isa dan Husam Musa




Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz, Ahli Dewan Negara, Datuk Husam Musa, dan bekas Timbalan Presiden Pas, Datuk Dr Nasharudin Mat Isa, dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk memberi keterangan, hari ini.

Mereka ialah antara empat individu disenarai awal oleh SPRM sebagai saksi penting bagi membantu siasatan berhubung dakwaan pemimpin PAS menerima RM90 juta dikatakan daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Nik Mohamad Abduh dijangka memberi keterangan di Pejabat SPRM Kelantan, manakala Husam dan Nasharudin pula di Ibu Pejabat Putrajaya, pagi ini.

Husam yang juga Naib Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) pernah mendakwa beliau ada butiran berkaitan dana RM90 juta yang didakwa ada kaitan dengan PAS.

April tahun lalu, Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli dalam akuan bersumpahnya mendedahkan Nasharudin yang juga bekas Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Gerakan Kesederhanaan Global (GMMF), menerima dana membabitkan 1MDB melalui akaun Datuk Seri Najib Razak.

Akhbar BH hari ini mendedahkan Nik Abduh akan dipanggil berikutan beliau adalah saksi penting kerana dikaitkan dengan video audio yang tular dikatakan membuat pengakuan menerima wang daripada UMNO.

Keterangan kesemua mereka adalah peringkat pertama dalam siasatan SPRM terhadap kes itu, seterusnya mendapatkan keterangan daripada pihak lain.

Sebelum ini, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki mengesahkan siasatan dimulakan mengikut bidang kuasa SPRM susulan laporan polis dibuat orang awam yang kemudian dirujuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) kepada suruhanjaya berkenaan.

Isu PAS menerima wang daripada UMNO timbul semula apabila Presiden PAS, Datuk Seri Hadi Awang pada 1 Februari lalu, membuat keputusan memuktamadkan penyelesaian di luar mahkamah dengan menarik balik tuntutan terhadap Editor Sarawak Report (SR), Clare Rewcastle Brown, berhubung artikel mengandungi tuduhan terbabit.

Keputusan itu dicapai menerusi Perintah Persetujuan di Mahkamah Tinggi London selepas Hadi meneliti semua aspek keseluruhan tindakan mahkamah yang difailkan terhadap Rewcastle Brown selaku defendan dan mempertimbangkan pandangan serta nasihat peguam.

Rewcastle Brown turut menarik balik tuntutan balas terhadap Hadi dan kedua-dua pihak bersetuju tiada perintah berkenaan kos. Kedua-dua pihak juga tertakluk pada persetujuan kerahsiaan mengenai terma berkaitan penyelesaian berkenaan.

Hadi memfailkan saman fitnah terhadap Rewcastle Brown di Mahkamah Tinggi London pada 21 April 2017 berhubung laporan SR pada 6 Ogos 2016 yang mendakwa Presiden PAS itu menerima dana RM90 juta sebagai usaha menarik sokongan parti itu terhadap Barisan Nasional (BN) dan UMNO.

Saman difailkan peguam Hadi dari firma Carter-Ruck bagi mendapatkan perintah injunksi dan ganti rugi berhubung artikel di laman web SR bertajuk ‘As Najib Denies All Over 1MDB, Let’s Not Forget His Many Other Criminal Connections’.