Followers

Thursday, February 21, 2019

SR Dedah Lagi: Dari Mana Deposit Pas Untuk PRU14 ?


'Deposit PAS untuk PRU14 dibiayai oleh Umno'


Deposit untuk PAS bertanding dengan rekod jumlah kerusi tertinggi pada pilihan raya umum ke-14 dibiayai oleh Umno, dakwa Sarawak Report.

Portal pendedah maklumat itu melaporkan seorang pembantu bendahari Umno, Salleh Said Keruak telah memasukkan wang tunai RM2.5 juta ke dalam akaun Bank Islam milik PAS.

"Sarawak Report mendapat pengesahan bahawa wang yang dibayar kepada PAS itu digunakan sebagai membayar deposit pilihan raya untuk calon parti yang bertanding dengan rekod jumlah kerusi terbesar.

“Kira-kira sejuta ringgit lagi juga dimasukkan secara tunai oleh Umno ke dalam akaun PAS pada masa yang sama dengan cara sama," katanya.
Salleh Said Keruak 
Sarawak Report berkata bukti-bukti berkenaan sepatutnya dikemukakan ke mahkamah London sebagai sebahagian daripada pembelaan editor Clare Rewcastle-Brown terhadap saman fitnah Presiden PAS Abdul Hadi Awang.

Walau bagaimanapun, PAS telah menarik balik saman tersebut atas alasan kosnya adalah terlalu mahal.

Abdul Hadi menyaman Rewcastle-Brown susulan dakwaannya bahawa Umno menyalurkan sejumlah RM90 juta kepada PAS dalam usaha untuk “melamar” parti itu menjelang pilihan raya umum ke-14.

Pada pilihan raya umum lalu, PAS bertanding di 155 kerusi, kerusi parlimen paling banyak yang dipertandingkan oleh mana-mana parti di negara ini.

Deposit untuk bertanding kerusi parlimen adalah RM10,000 manakala kerusi negeri pula bernilai RM5,000.

Malaysiakini sedang cuba mendapatkan reaksi Salleh dan PAS berkaitan dakwaan itu.
Sementara itu, Setiausaha Agung Umno Annuar Musa apabila dihubungi enggan mengulas berkaitan perkara itu.

"Saya tak terlibat. Saya tak boleh komen," katanya ringkas.

Sebagai rekod, Salleh Said adalah antara pemimpin Umno Sabah yang bertindak meninggalkan parti itu pada Disember tahun lalu dan berjanji untuk menyokong Pakatan Harapan dan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

sumber...mKini