Followers

Friday, April 5, 2019

Kerajaan Komited Bantu Tabung Haji, Sedia Dana RM17.8 Bilion

MUJAHID menunjukkan agihan hibah selepas majlis Taklimat Prestasi Lembaga Tabung Haji dan Pengumuman Hibah bagi tahun 2018 dan turut bersama timbalannya Fuziah, Zukri dan Pengerusi Tabung Haji, Tan Sri Mohammed Nor Md Yusof di Kompleks Islam Putrajaya. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor.

Kerajaan komited membantu Lembaga Tabung Haji (TH) menerusi suntikan dana berjumlah RM17.8 bilion bermula tahun depan.

Ia dilakukan secara berperingkat dalam tempoh 10 tahun atau sehingga sukuk diterbitkan susulan pemindahan aset TH kepada syarikat tujuan khas (SPV), Urushartanah Jemaah Sdn Bhd (UJSB) berjaya ditebus semula sepenuhnya.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Seri Zukri Samat, berkata pembayaran pertama sebanyak RM500 juta akan dibuat pada tahun depan dan seterusnya sebanyak RM1.73 bilion setiap tahun selama sembilan tahun atau sehingga semua sukuk itu ditebus semula.

“Ini langkah kerajaan untuk menyelamatkan TH, tetapi angka ini iaitu RM17.8 bilion adalah jumlah maksimum kerana ia bergantung kepada prestasi UJSB, berapa banyak aset yang sudah kami pindahkan mampu dipulihkan SPV berkenaan.

“Seperti yang saya nyatakan awal, nilai aset yang kami pindahkan ke SPV ini berdasarkan nilai aset setakat Disember 2018 ialah RM9.7 bilion, sekarang sudah tentu nilainya sudah naik,” katanya pada sesi taklimat prestasi TH dan pengumuman hibah 2018 di sini, hari ini.


Turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof dan Timbalannya, Fuziah Salleh.



Sementara itu, Zukri berkata, kejayaan memulihkan TH dalam tempoh singkat iaitu selama enam bulan adalah susulan sokongan penuh kerajaan terhadap pelaksanaan penstrukturan semula pengurus dana itu dalam mengimbangi kedudukan kewangannya.


Katanya, ia membabitkan pemindahan aset yang mengalami kejatuhan nilai dan kurang berdaya saing kepada UJSB.

“Aset ini yang mempunyai nilai buku sebanyak RM9.7 bilion dipindahkan kepada UJSB pada harga RM19.9 bilion bagi membolehkan jurang defisit sebanyak RM10.9 bilion ditutup.

“Pemindahan ini akan dilaksanakan menerusi sukuk bernilai RM19.6 bilion dan tunai sebanyak RM300 juta. Transaksi pemindahan ini membolehkan TH mencapai dua matlamat iaitu menutup jurang defisit dan memulihkan kedudukan kewangannya.

“Kami yakin TH mampu mencapai prestasi lebih baik bagi tahun ini, dengan kedudukan kewangannya kembali kukuh selepas semua rosot nilai dibuat, TH kini lebih stabil untuk menjana keuntungan mampan dan mampu mengagihkan hibah yang menepati Akta TH,” katanya.