Followers

Showing posts with label Johor Bharu. Show all posts
Showing posts with label Johor Bharu. Show all posts

Monday, April 29, 2013

Jom Tengok Ceramah Shahrir Samad "Bengang" Di Johor Bharu Semalam


Kelihatan kerusi yang kosong ketika Shahrir memberi 

ucapan di kawasan ‘sting garden’ di Johor Baru, 28 April 

2013. – Gambar The Malaysian Insider


JOHOR BARU, 29 April — Calon Barisan Nasional (BN) di kerusi Parlimen Johor Baru Tan Sri Shahrir Abdul Samad berucap dalam satu majlis dengan dewan yang hampir kosong apabila hanya kurang 100 sahaja penduduk Cina dari Taman Century  di sini yang hadir semalam.
Shahrir yang merupakan ahli Parlimen di kawasan yang dikenali sebagai “sting garden” oleh penduduk temapatan sejak enam penggal itu juga dilihat gagal menarik kelompok masyarakat Cina dalam program anjuran parti komponen BN, Gerakan.
Malah, bekas Timbalan Perdana Menteri Tun Musa Hitam, yang dijadualkan akan berada di sana, juga tidak muncul.
Program yang dijalankan di Dewan Persatuan Wushu Hua Tiong itu turut menyaksikan kerusi kosong gagal dipenuhkan walaupun penganjur turut menyediakan jamuan bagi hadirin.
Shahrir ketika berucap di hadapan majoriti masyarakat cina yang berusia itu turut menjelaskan kemasukan Pakatan Rakyat (PR), terutamanya DAP di Johor akan mengubah budaya masyarakat berbilang kaum di negeri kubu kuat BN itu.


“Orang luar datang kata Umno rasis dan tiada pandangan seimbang ... dan yang cakap ini DAP, mereka bukan mahu undi orang Melayu, tetapi mahu jadi suara orang Cina, itu pandangan yang racial,” kata Shahrir yang pernah memenangi kerusi Parlimen Johor Bahru atas tiket calon bebas selepas meletakkan jawatan sebagai protes kepada perdana menteri ketika itu Tun Dr Mahathir Mohamad pada 1988 malam tadi.
“Sebagai orang Johor saya ingin menyatakan kita diajar untuk membuat keputusan. Sama ada kita Melayu Cina, India ... cara sebagai orang Johor mahu kita teruskan atau orang seperti Kit Siang akan bawa keadaan lain,” katanya, merujuk kepada Penasihat DAP Lim Kit Siang.
Jelas Shahrir, cara yang dibawa pemimpin veteran DAP itu bukanlah cara masyarakat Johor, kerana rakyat berbilang kaum di negeri itu mengamalkan kaedah komuniti berbincang dengan kerajaan tanpa melibatkan retorik politik.
Shahrir yang memenangi kerusi berkenaan pada 2008 dengan majoriti 43,143 undi kali ini akan menentang pesara tentera, calon PKR daripada PR, Jeneral (B) Tan Sri Md Hashim Hussein.
Hashim merupakan anak jati Kempas, Johor dan merupakan bekas tentera yang pernah berkhidmat untuk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di serata dunia serta berjanji akan meningkatkan mutu dan taraf hidup anggota tentera ekoran kehidupan mereka kini dakwanya tidak dibela kerajaan.
“Ini soal kita harus fikir benar-benar kerana ia tentunya keputusan dan persoalan yang begitu besar.
“Selama ini tiada masalah yang kita tidak boleh selesaikan. Tiada rintangan menyekat kemajuan kita ke depan,” katanya, dan menambah, “kita mahu ubah kepada keadaan yang kita tak tahu untung atau rugi.”
Kerusi Parlimen Johor Bahru mempunyai sejumlah 96,515 pengundi berdaftar dengan masyarakat Melayu membentuk 51 peratus, Cina 43 peratus atau 41,501, dan baki lima peratus adalah India.
Selepas majlis  selesai, Shahrir ketika dalam perjalanan menuju ke kenderaannya turut kedengaran memberi teguran kepada penganjur program itu.
“Lain kali nak organise (anjur), organise betul-betul”.
Seramai 13.3 juta rakyat Malaysia termasuk 5,200 orang diluar negara layak mengundi untuk Pilihan Raya 2013 yang dikatakan paling sengit dalam sejarah ini. Johor yang merupakan kubu kuat BN juga diancam dengan kehadiran tokoh besar seperti Lim Kit Siang dari DAP dan Salahuddin Ayub dari PAS.
Johor juga merupakan negeri dimana Umno dilahirkan.

Saturday, August 20, 2011

Orang Islam Johor makan bangkai?

Johor dibanjiri ayam disembelih tak sempurna


KEADAAN pusat penyembelihan ayam di Pekan Nanas, Pontian, Johor yang menjijikkan.


JOHOR BAHRU - Percaya atau tidak, beratus-ratus peniaga di negeri ini kini menjual kira-kira 60,000 ekor ayam segar yang amat diragui status halal dan kesuciannya setiap hari.

Jumlah tersebut meliputi 30 peratus daripada bekalan ayam di negeri itu setiap hari yang berjumlah 200,000 ekor.

Masalah tersebut berpunca daripada sikap segelintir pengusaha pusat penyembelihan yang menjalankan kerja-kerja penyembelihan tanpa mengikut prosedur ditetapkan.

Penolong Pengarah Penyelidikan Unit Halal, Jabatan Agama Islam Johor (JAIJ), Samsudin Paimi berkata, pihaknya bimbang pengusaha kecil kini semakin berani untuk mengaut keuntungan berikutan permintaan yang tinggi daripada umat Islam berikutan sambutan Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi.

"Pengusaha kecil seperti itu semakin berani untuk mengaut keuntungan dengan berselindung di sebalik logo halal tamat tempoh selain tidak mengikut piawaian JAIJ,'' katanya.

Beliau menyatakan demikian kepada pemberita selepas serbuan terhadap dua premis penyembelihan dan pemprosesan di Jalan Kampung Sawah dan Jalan Pontian-Johor Bahru di Pontian awal pagi semalam.

Dalam serbuan dari pukul 12 tengah malam sehingga pukul 4 pagi itu, JAIJ mendapati premis terbabit tidak melakukan proses penyembelihan dengan kaedah ditetapkan manakala logo halal sudah tamat tempoh sejak empat tahun lepas.


KEADAAN pusat penyembelihan ayam di Pekan Nanas, Pontian, Johor yang menjijikkan.


Turut membimbangkan JAIJ, katanya, ialah ramai pengusaha tidak memiliki tauliah penyembelihan selain mempraktikkan kaedah penyembelihan dan pemprosesan ayam sambil lewa.

Menurutnya, JAIJ sudah mewajibkan penggunaan label pada bahagian kepak ayam yang mengandungi maklumat penyembelihan dan status halal namun mereka tidak mematuhinya.

"Kita tidak mahu pengguna terus tertipu dan mereka seharusnya diberi kesedaran untuk hanya memilih ayam yang disahkan halal dan suci," kata Samsudin.

Beliau berkata, pemeriksaan akan terus dilakukan bagi melindungi kepentingan pengguna.

Samsudin berkata, JAIJ sudah mewajibkan pengusaha ayam di Johor membuat label yang akan diletakkan di kepak ayam yang mengandungi maklumat mengenai penyembelihan serta status halalnya.

Mengikut Undang-undang Perlindungan Pengguna (Pindaan) 2010 yang akan dikuatkuasakan bermula tahun depan, syarikat yang didapati bersalah menipu sijil halal boleh dikenakan denda sehingga RM5 juta bagi kesalahan pertama dan denda sehingga RM10 juta bagi kesalahan kedua.

Sunday, June 26, 2011

Kos rumah HDB naik, JB ‘syurga’ hartanah bagi warga Singapura


Hartanah JB jadi 'syurga' warga Singapore

KUALA LUMPUR, 26 Jun — Johor Baru yang satu ketika dulu pernah dilabel oleh bekas perdana menteri Singapura Lee Kuan Yew sebagai bandar raya kes “tembakan kejam, samun dan curi kereta”, kini menjadi idaman warganegara republik itu untuk memiliki hartanah perdana dengan sanggup menjual unit pangsapuri HDB masing-masing.

Hartanah kondominium dan kediaman bukan bertingkat kini laris dibeli rakyat Singapura, yang sanggup berulang alik ke dan dari republik tersebut setiap hari memandangkan harga rumah terus mengatasi kadar upah yang sebenar.

Unit pangsapuri empat bilik HDB telah meningkat 38.2 peratus dari S$285,000 (RM670,000) pada suku pertama 2008 kepada S$394,000 (RM967,000) pada tempoh yang sama tahun ini, demikian menurut perangkaan HDB.

Sebaliknya, kadar upah hanya meningkat empat peratus setiap tahun pada tempoh yang sama.

Jurang harga yang semakin meningkat antara HDB dan pangsapuri persendirian, yang menurut Goldman Sachs telah mencecah kadar tertinggi S$490 (RM1,200) bagi satu kaki persegi pada suku pertama tahun ini — juga bermakna hanya sejumlah kecil rakyat Singapura boleh mencapai impian mereka untuk memiliki rumah sendiri.

Bekas pengerusi Institut Ejen Hartanah Malaysia cawangan Johor, Lim Boon Ping berkata, hanya halangan pemilikan hartanah oleh warga asing di peringkat nasional dan negeri menghalang rakyat Singapura membanjiri negeri selatan itu dengan “kekuatan” dolar mereka.

Menurut beliau, Johor merupakan negeri yang mengenakan peraturan paling ketat berkaitan dengan soal pemilikan hartanah oleh rakyat asing, yang tidak membenarkan rakyat republik itu membeli rumah teres satu tingkat dan rumah teres dua tingkat yang sudah dimiliki.

Ia merupakan tambahan kepada peraturan peringkat persekutuan, yang antara lain hanya membenarkan pemilik asing boleh membeli rumah bernilai RM500,000 dan ke atas.

“Tanpa kesemua batasan ini, kadar kedatangan pembeli (dari Singapura), sudah pasti tinggi,” kata Lim kepada The Malaysian Insider.

Kata beliau, usaha Singapura untuk meredakan pasaran perumahan dilihat tidak berkesan dalam jangka panjang.

Beliau merujuk kepada harga awalan S$880,000 (RM2.2 juta) seunit di Centrale 8, yang menggunakan konsep skim bina dan jual, yang dilancarkan minggu lalu.

“Dan, ia sepatutnya (projek) perumahan awam,” katanya.

Pemaju-pemaju dari Johor dan Kuala Lumpur sudah pun memberi respons kepada permintaan tinggi di kalangan rakyat Singapura dan ada yang sudah mula membina rumah di Johor Baru dan kawasan sekitarnya, yang hanya sejumlah kecil penduduk tempatan boleh memilikinya.

Seorang ejen hartanah yang enggan namanya disiarkan memberitahu, beberapa projek kediaman bertingkat menyasarkan rakyat Singapura yang inginkan unit seluas 1,700-2,000 kaki persegi pada kos RM700 satu kaki persegi, berbanding purata RM400-RM500 bagi kondominium mewah lain di bandar raya itu.

“Saya ragui berapa ramai penduduk tempatan yang mampu membelinya,” kata beliau.

Pengerusi Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan cawangan Johor Simon Heng berkata, langkah kerajaan yang kelihatan berjaya dalam mempromosikan Iskandar Malaysia juga faktor Johor Baru dapat memperbaiki profilnya di kalangan rakyat Singapura.

Kedatangan Raffles Education Group dan beberapa pembekal kemudahan kesihatan dari Singapura di Johor Baru dan kemudahan hubungan lebih baik dengan terbinanya lebuh raya pesisir pantai bernilai RM1.1 bilion juga menyumbang kepada sebab rakyat Singapura mahu memiliki hartanah khususnya di Nusajaya.

Heng berkata, perkembangan semasa juga menunjukkan lebih ramai rakyat Singapura sanggup menghantar anak mereka untuk belajar di Johor Baru sementara mereka bekerja di republik itu meskipun soal jenayah masih menjadi kekhuatiran mereka.

“Bagi mereka, murah untuk tinggal di sini. Sementara perjalanan ke Singapura sedikit menyusahkan, di Singapura mereka hanya dapat tinggal di pangsapuri yang kecil. Di sini, mereka boleh memiliki rumah (selesa) semi-D atau banglo,” katanya.

Heng menambah, laluan MRT Singapura yang terbaru - Thomson Line, yang akan berakhir di stesen Woodlands apabila ia selesai dibina pada 2018, akan membolehkan rakyat Singapura menggunakan Sistem Transit Rapid (RTS) ke Johor Baru dan dijangka boleh menggalakkan pengguna merentasi Johor-Singapura.

“Dengan itu, pergerakan orang ramai akan lebih mudah. Kemungkinan ramai rakyat Singapura akan melihat pada aspek itu dan mengatakan mengapa tidak kita beli hartanah di Johor Baru dan menggunakan MRT ke Singapura,” katanya lagi.

sumber...TMinsider