Followers

Sunday, June 26, 2011

Kos rumah HDB naik, JB ‘syurga’ hartanah bagi warga Singapura


Hartanah JB jadi 'syurga' warga Singapore

KUALA LUMPUR, 26 Jun — Johor Baru yang satu ketika dulu pernah dilabel oleh bekas perdana menteri Singapura Lee Kuan Yew sebagai bandar raya kes “tembakan kejam, samun dan curi kereta”, kini menjadi idaman warganegara republik itu untuk memiliki hartanah perdana dengan sanggup menjual unit pangsapuri HDB masing-masing.

Hartanah kondominium dan kediaman bukan bertingkat kini laris dibeli rakyat Singapura, yang sanggup berulang alik ke dan dari republik tersebut setiap hari memandangkan harga rumah terus mengatasi kadar upah yang sebenar.

Unit pangsapuri empat bilik HDB telah meningkat 38.2 peratus dari S$285,000 (RM670,000) pada suku pertama 2008 kepada S$394,000 (RM967,000) pada tempoh yang sama tahun ini, demikian menurut perangkaan HDB.

Sebaliknya, kadar upah hanya meningkat empat peratus setiap tahun pada tempoh yang sama.

Jurang harga yang semakin meningkat antara HDB dan pangsapuri persendirian, yang menurut Goldman Sachs telah mencecah kadar tertinggi S$490 (RM1,200) bagi satu kaki persegi pada suku pertama tahun ini — juga bermakna hanya sejumlah kecil rakyat Singapura boleh mencapai impian mereka untuk memiliki rumah sendiri.

Bekas pengerusi Institut Ejen Hartanah Malaysia cawangan Johor, Lim Boon Ping berkata, hanya halangan pemilikan hartanah oleh warga asing di peringkat nasional dan negeri menghalang rakyat Singapura membanjiri negeri selatan itu dengan “kekuatan” dolar mereka.

Menurut beliau, Johor merupakan negeri yang mengenakan peraturan paling ketat berkaitan dengan soal pemilikan hartanah oleh rakyat asing, yang tidak membenarkan rakyat republik itu membeli rumah teres satu tingkat dan rumah teres dua tingkat yang sudah dimiliki.

Ia merupakan tambahan kepada peraturan peringkat persekutuan, yang antara lain hanya membenarkan pemilik asing boleh membeli rumah bernilai RM500,000 dan ke atas.

“Tanpa kesemua batasan ini, kadar kedatangan pembeli (dari Singapura), sudah pasti tinggi,” kata Lim kepada The Malaysian Insider.

Kata beliau, usaha Singapura untuk meredakan pasaran perumahan dilihat tidak berkesan dalam jangka panjang.

Beliau merujuk kepada harga awalan S$880,000 (RM2.2 juta) seunit di Centrale 8, yang menggunakan konsep skim bina dan jual, yang dilancarkan minggu lalu.

“Dan, ia sepatutnya (projek) perumahan awam,” katanya.

Pemaju-pemaju dari Johor dan Kuala Lumpur sudah pun memberi respons kepada permintaan tinggi di kalangan rakyat Singapura dan ada yang sudah mula membina rumah di Johor Baru dan kawasan sekitarnya, yang hanya sejumlah kecil penduduk tempatan boleh memilikinya.

Seorang ejen hartanah yang enggan namanya disiarkan memberitahu, beberapa projek kediaman bertingkat menyasarkan rakyat Singapura yang inginkan unit seluas 1,700-2,000 kaki persegi pada kos RM700 satu kaki persegi, berbanding purata RM400-RM500 bagi kondominium mewah lain di bandar raya itu.

“Saya ragui berapa ramai penduduk tempatan yang mampu membelinya,” kata beliau.

Pengerusi Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan cawangan Johor Simon Heng berkata, langkah kerajaan yang kelihatan berjaya dalam mempromosikan Iskandar Malaysia juga faktor Johor Baru dapat memperbaiki profilnya di kalangan rakyat Singapura.

Kedatangan Raffles Education Group dan beberapa pembekal kemudahan kesihatan dari Singapura di Johor Baru dan kemudahan hubungan lebih baik dengan terbinanya lebuh raya pesisir pantai bernilai RM1.1 bilion juga menyumbang kepada sebab rakyat Singapura mahu memiliki hartanah khususnya di Nusajaya.

Heng berkata, perkembangan semasa juga menunjukkan lebih ramai rakyat Singapura sanggup menghantar anak mereka untuk belajar di Johor Baru sementara mereka bekerja di republik itu meskipun soal jenayah masih menjadi kekhuatiran mereka.

“Bagi mereka, murah untuk tinggal di sini. Sementara perjalanan ke Singapura sedikit menyusahkan, di Singapura mereka hanya dapat tinggal di pangsapuri yang kecil. Di sini, mereka boleh memiliki rumah (selesa) semi-D atau banglo,” katanya.

Heng menambah, laluan MRT Singapura yang terbaru - Thomson Line, yang akan berakhir di stesen Woodlands apabila ia selesai dibina pada 2018, akan membolehkan rakyat Singapura menggunakan Sistem Transit Rapid (RTS) ke Johor Baru dan dijangka boleh menggalakkan pengguna merentasi Johor-Singapura.

“Dengan itu, pergerakan orang ramai akan lebih mudah. Kemungkinan ramai rakyat Singapura akan melihat pada aspek itu dan mengatakan mengapa tidak kita beli hartanah di Johor Baru dan menggunakan MRT ke Singapura,” katanya lagi.

sumber...TMinsider