Followers

Sunday, June 19, 2011

Penindasan Syiah: Ar-Ridha serah memo kepada PBB

Memorandum tersebut diterima oleh Penasihat Keselamatan PBB di Malaysia, Singapura dan Brunei, Devendra Patel.

PETALING JAYA: Ar-Ridha, sebuah NGO komuniti Syiah di negara ini, telah menyerahkan memorandum bantahan penindasan terhadap pengikut mazhab itu di Malaysia kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Bukit Damansara semalam.

Memorandum tersebut diterima oleh Penasihat Keselamatan PBB di Malaysia, Singapura dan Brunei, Devendra Patel, demikian menurut Pengarahnya Mohd Kamilzuhairi Abdul Aziz dalam satu kenyataan media.

“Penyerahan memorandum tersebut dihadiri sekitar 11 wakil pengikut Syiah dan berlangsung dengan aman sekitar 15 minit dengan dikawal rapi oleh beberapa anggota polis,” katanya.

Beliau berkata, ArRidha mengecam tindakan Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) Marzuki Hussin dan sebahagian laporan media yang menggambarkan Syiah sebagai “kafir”, “musyrik”, “sesat”, dan mazhab ini perlu dihapuskan.

“Tindakan ini bertentangan dengan pendirian Malaysia di persada antarabangsa sebagaimana yang dipersetujui pada deklarasi OIC (Pertubuhan Persidangan Negara-Negara Islam) di Islamabad, Pakistan berhubung satu resolusi tentang pengukuhan perpaduan Islam.

Menurut beliau, resolusi tersebut telah didokumentasikan di PBB : A/61/981 S/2007./656, antara lain menyebut Mazhab Syiah Imamiyyah diiktiraf sebagai mazhab yang sah.

Beliau turut mengecam tindakan Jais yang bertindak menceroboh Majlis Kebudayaan dan Kesenian bersempena hari ulang tahun kelahiran Fatimah Az-Zahra, puteri Nabi Muhammad s.a.w, pada 24 Mei lalu.

Majlis tersebut katanya, dihadiri lebih 1,500 tetamu daripada pelbagai bangsa dan agama yang sebenarnya melambangkan keharmonian hidup rakyat di negara ini.

Terdahulu Ar-Ridha telah memfailkan saman terhadap Utusan Melayu (Malaysia) Berhad, Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dan bekas Pengarah Jais Datuk Muhammad Khusrin Munawidi di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam.

Ar-Ridha menasihat orang ramai supaya tidak termakan dengan fitnah dan tuduhan yang tidak berasas dan mengajak pihak berkuasa agama khususnya Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk mengadakan dialog.

sumber...FMT