Followers

Wednesday, June 8, 2011

Negara berkebajikan untuk dapat pengampunan Tuhan


Mohamad Sabu menegaskan PAS memperjuangkan negara berkebajikan untuk mengganti Umno bagi menerimapakai Piagam Madinah pada akhirnya.

PETALING JAYA: Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu hari ini berkata PAS mahu menggantikan Umno dengan memperjuangkan negara berkebajikan yang mendapat pengampunan Tuhan.

“Sebab itu kita mencanangkan slogan ‘PAS ganti Umno’ kerana matlamat PAS untuk menerimapakai Piagam Madinah pada akhirnya,” katanya yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu kepada FMT.
Beliau berkata begitu sebagai reaksi kepada rencana Zulkiflee Bakar dalam Utusan Malaysia hari ini bertajuk ‘Layakkah PAS ganti Umno?’

Slogan ‘PAS ganti Umno’ yang dicanangkan parti Islam itu dikritik oleh akhbar milik Umno, Utusan Malaysia kerana PAS bukan dominan dalam Pakatan Rakyat sepertimana Umno dalam Barisan Nasional.

“Selama inipun, PAS hanya menjadi pemerhati sahaja terhadap tindak-tanduk kerajaan DAP Pulau Pinang yang dilihat melakukan banyak tindakan tidak adil ke atas orang Melayu terutamanya peniaga-peniaga di negeri itu,” tambah Zulkiflee di dalam tulisannya.

Zulkiflee dalam rencana tersebut mendakwa bahawa PAS sudah menjadi parti sekular seperti PKR dan DAP kerana PAS mahukan negara berkebajikan, bukannya negara Islam.

“Malahan keazaman PAS untuk menggantikan Umno juga jelas menunjukkan parti yang suatu ketika dulu menguar-uarkan ingin menegakkan negara Islam sudah bersedia menggadaikan prinsipnya,” tulis Zulkiflee.

Utusan melalui rencana tersebut mendakwa bahawa slogan ‘PAS ganti Umno’ hanya bertujuan untuk menunjukkan kesetiaan kepada PKR dan DAP.

Tokoh veteran PAS bersuara lantang itu berkata, “memanglah di Pulau Pinang, DAP yang ganti sebab dulupun bukan kerajaan Umno tapi kerajaan Gerakan. Di Kedah dan Kelantan, bila Umno kalah kita yang gantikan mereka.”
Beliau turut memperjelaskan kenapa PAS tidak dominan dalam Pakatan Rakyat.

“Kami tidak dominan sebab menang sedikit. Kalau menang banyak, kami akan jadi dominan,” katanya.

Beliau bagaimanapun bersetuju bahawa PAS perlu menunjukkan kesetiaan kepada rakan dalam Pakatan Rakyat sebagaimana yang dilaporkan oleh Utusan Malaysia kerana ‘kita mahu matikan Umno’.

Mantan mufti Perlis sokong negara berkebajikan

Sementara itu, mantan mufti Perlis Profesor Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin dilaporkan turut mengalu-alukan penekanan PAS terhadap negara berkebajikan.

“Bagi saya ini adalah satu kemajuan yang memberangsangkan dalam PAS,” katanya dalam satu kenyataan, yang dipetik oleh laman berita portal Detik daily.com pada hari Ahad.
Asri berkata beliau juga sedang meneliti apakah maksud negara berkebajikan yang PAS cadangkan kerana konsep negara sedemikian mempunyai pelbagai tafsiran dan gambaran.

“Mungkin PAS ada model yang tersendiri. Apa pun saya merasakan PAS akan dapat melangkah dengan lebih jauh dengan kenyataan tersebut,” tambahnya lagi.

sumber...FMT