KUALA LUMPUR: Penyanyi Asmawi Ani (Mawi) dan pasangannya Nora’Asikin Rahmat atau Ekin mengakui tidak sabar untuk mengetahui jantina anak dalam kandungannya yang kini berusia kira-kira empat bulan.
Kata Ekin, setiap kali melakukan pemeriksaan terhadap kandungan tersebut dia berharap dapat mengetahui jantina bayi yang dikandungnya.
“Setiap kali buat pemeriksaan saya tak sabar untuk mengetahui jantina anak saya tetapi buat masa ini belum nampak apa-apa lagi kerana masih terlalu awal.
“Kalau boleh saya mahu bayi lelaki kerana adik beradik saya semua perempuan tetapi Mawi mahu anak perempuan kerana keluarga dia ramai lelaki.
“Namun apa pun jantina sebenarnya kami tidak kisah kerana yang penting dia sihat,” katanya ketika ditemui di majlis rumah terbuka Gempak Astro di sini, Rabu lalu.
Menurut Ekin, tiga bulan pertama usia kandungan, dia dijaga rapi oleh keluarganya di Johor Baru.
“Saya balik Johor Baru selepas mengetahui saya mengandung kerana di sana ada ibu yang boleh tengok saya sepanjang masa.
“Tiga bulan pertama adalah masa yang paling sukar bagi kandungan, lagi pula saya sudah dua kali keguguran menjadikan saya lebih risau dan paranoid,” katanya.
Bercerita pengalaman mengandung selama empat bulan, Ekin berkata dia tidak mengalami sebarang alahan, malah tidak pernah mengidamkan sesuatu.
“Alhamdulillah, semuanya berjalan dengan mudah setakat ini. Saya tidak mengalami apa-apa alahan dan tidak mengidam apa-apa seperti segelintir orang.
“Tapi saya lebih banyak makan berbanding biasa sehingga berat badang bertambah enam kilogram berbanding sebelum ini,” katanya.
Tambah Ekin, sejak hamil dia mendapat layanan istimewa daripada suami dan ahli keluarga yang lain.
“Saya selalu lupa yang saya mengandung dan buat semua perkara yang biasa saya lakukan tapi Mawi selalu tegur supaya lebih berhati-hati,” ujarnya.
sumber...Mstaronline