Coretan politik,sosial,ekonomi,agama dan lain lain lagi di Malaysia dan seluruh dunia. Sumber dari semua capaian internet. email greenblacks8@gmail.com
Followers
Sunday, October 23, 2011
70 ahli Umno Kelantan masuk PAS
KUALA LUMPUR, 22 Okt: Seramai 70 orang ahli Umno di Kelantan telah mengambil keputusan keluar dari parti itu dan menyertai PAS, semalam.
Borang keahlian PAS mereka diserahkan sendiri kepada Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pada satu majlis di Kota Bharu, semalam.
Menurut Nik Abdul Aziz, kesemua mereka adalah bekas ahli-ahli Umno di kawasan Kota Bharu, manakala kemasukan mereka ke dalam PAS pula melambangkan perjuangan PAS sudah semakin difahami oleh orang ramai.
Katanya, sebelum ini sudah banyak ahli-ahli Umno di Kelantan menyokong PAS, tetapi sebahagian daripadanya berbuat demikian secara sembunyi-sembunyi.
"Perjuangan PAS adalah perjuangan yang benar yang mewarisi perjuangan Nabi Muhammad saw. Umno sendiri tahu kebenaran perjuangan PAS.
"Tentangan mereka terhadap PAS bukan kerana perjuangan PAS tidak betul, tetapi kerana kedegilan mereka sendiri untuk menerima kebenaran," katanya ketika merasmikan Persidangan ICT 2011 Media Baru "Revolusi Teknologi Maklumat Menghadapi PRU Ke-13" di Dewan Datuk Fadhil Noor di Taman Melewar, di sini, hari ini.
Berucap pada Seminar anjuran Lajnah ICT dan Jabatan IT PAS Pusat dengan kerjasama Lajnah Penerangan dan Dakwah PAS Pusat itu, beliau berkata, realiti itu samalah juga dengan tentangan orang-orang kafir terhdap Islam yang bukannya kerana mereka tidak tahu dengan kebenaran Islam, tetapi kerana kedegilan mereka sendiri untuk menerima kebenaran.
Katanya, itulah juga sikap yang ditunjukkan oleh Abu Jahal terhadap Islam ketika hayat Rasulullah saw dulu, namun ia tetap tidak melemahkan perjuangan Islam seperti yang telah ditunjukkan sendiri oleh Rasulullah saw.
"Setiap ahli PAS perlu faham perkara itu. Jadi, kita mestilah sentiasa bersedia menjawab segala persoalan dan segala bentuk tentangan yang ditimbulkan oleh mereka atau pihak Umno dengan baik dengan ilmu yang kita miliki," katanya.
Dalam konteks media baru, menurutnya, tugas tersebut amat perlu dilaksanakan dengan baik dan berkesan oleh para penulis, bloger-bloger yang menyokong perjuangan PAS dan mereka yang bertugas di bahagian penerangan.
"Setiap jawapan yang kita berikan dalam bentuk penulisan dan termasuklah juga dalam ceramah-ceramah mestilah berasaskan "Al-haq" atau kebenaran iaitu menyebarkan maklumat yang benar sahaja," katanya yang juga Mursyidul Am PAS.
Mengambil contoh pentadbirannya di Kelantan sejak PAS memerintah negeri itu, beliau telah melakukan banyak perubahan ke arah yang lebih islamik berbanding semasa Kelantan berada di bawah pemerintah BN dulu.
"Sebaik memerintah Kelantan, saya telah mengarahkan kesemua wang kerajaan dipindahkan ke dalam sistem perekonomian Islam untuk mengelakkan terjebak dengan riba.
"Walaupun pada awalnya dipersoalkan oleh beberapa pihak, tetapi apabila kita jelaskan dengan betul dan kena caranya, akhirnya mereka sendiri dapat memahaminya dan dapat menerima tindakan kita itu dengan baik," katanya.
Selain itu, beliau juga turut memperkenalkan cuti 2 hari seminggu bagi setiap kakitangan kerajaan di Kelantan yang juga turut ditentang oleh Umno dengan pelbagai dakwaan, termasuk mengatakan beliau mengajar dan mendorong rakyat menjadi malas.
"Tetapi akhirnya langkah yang baik dan turut memberikan keadilan kepada para pegawai atau kakitangan kerajaan itu juga turut ditiru oleh Umno," tegasnya.
Sejak memerintah Kelantan, beliau juga turut mengajar Al-Quran dan menjadi imam solat yang kesemua itu tidak dilakukan oleh pemimpin Umno semasa memerintah negeri itu.
"Maknanya, apabila menjadi ketua kerajaan, kita tak boleh hanya melakukan kerja-kerja pentadbiran sahaja. Sebaliknya kesemua perkara yang dibuat oleh Nabi Muhammad saw mestilah kita lakukan termasuk dalam persoalan memimpin rohani rakyat," katanya.
Menurutnya, pada bulan Ramadhan pula, Kerajaan PAS Kelantan turut berusaha menyedarkan orang ramai dengan tidak memanggil bulan Ramadhan sebagai bulan puasa, tetapi bulan Ramadhan.
Dengan itu, katanya, falsafah bulan Ramadhan akan berjaya diserapkan ke dalam hati orang ramai dengan lebih berkesan dengan tidak hanya melaksanakan ibadah solat dan puasa sahaja pada bulan Ramadhan, tetapi diperkembangkan dengan majlis-majlis ilmu, memperbanyakan bacaan al-Quran, memperbanyakkan amalan-amalan baik dan berzikir.
sumber...Harakahdaily
Label:
Pas,
Tok Guru Nik Aziz,
umno kelantan