Coretan politik,sosial,ekonomi,agama dan lain lain lagi di Malaysia dan seluruh dunia. Sumber dari semua capaian internet. email greenblacks8@gmail.com
Followers
Thursday, October 20, 2011
Kepala Gangster Rasmi Perhimpunan Perkasam
Seramai 1,400 anggota perwakilan dari 99 bahagian Pertubuhan Pribumi Perkasa Negara (PERKASA) seluruh negara dijangka menghadiri Persidangan Agung Tahunan Kali Ke-2 pertubuhan itu, Rabu depan.
Presiden PERKASA, Datuk Ibrahim Ali berkata seramai 3,000 pemerhati dijangka menghadiri persidangan sehari itu yang berlangsung di Dewan Centrum, Kompleks Centrum Taman Setiawangsa di ibunegara.
"Persidangan dirasmikan Tan Sri Rahim Noor (bekas Ketua Polis negara)... kita jemput untuk beri penghormatan kepada beliau yang banyak berjasa kepada negara," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.sumber...BERNAMA
Sinopsis kes gangsterism
Rahim Noor dipenjara -- Rayuan ketepi hukuman ditolak dan diperintah bayar denda RM2,000
Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Rahim Mohd. Noor hari ini diperintahkan menjalani hukuman penjara dua bulan setelah Mahkamah Rayuan menolak rayuannya untuk mengetepikan hukuman kerana kesalahan mencederakan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Mahkamah itu juga memerintahkan Abdul Rahim membayar denda RM2,000 atau penjara dua bulan seperti yang telah diputuskan oleh Mahkamah Sesyen di sini pada 15 Mac tahun lalu.
Abdul Rahim, 57, kemudian dibawa menaiki sebuah Pajero cermin gelap menuju ke Penjara Kajang dengan diiringi anggota-anggota polis dalam dua buah Pajero lain dan dua buah kereta kira-kira pukul 2.52 petang ini.
Hukuman penjara terhadap Abdul Rahim berkuat kuasa mulai hari ini.
Hakim Datuk Shaik Daud Ismail yang mengetuai panel tiga hakim Mahkamah Rayuan membuat penghakimannya pagi ini, selepas mendengar hujah rayuan yang dikemukakan oleh peguam-peguam mewakili perayu (Abdul Rahim), K. Kumaraendran dan V. Sithambaram.
Beliau mencapai keputusan itu bersama Hakim-hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd. Saari Yusoff dan Datuk K.C. Vohrah.
Pihak pendakwa yang menentang rayuan tersebut diwakili oleh Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya, Salehuddin Saidin dan Dzulkifli Ahmad.
Karpal Singh dan S.N. Nair pula hadir selaku peguam-peguam pemerhati mewakili bekas Timbalan Perdana Menteri itu sebagai pengadu kes tersebut.
Abdul Rahim membuat rayuan itu kerana tidak berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Tinggi di sini mengekalkan hukuman penjara dua bulan yang telah dijatuhkan oleh Hakim Mahkamah Sesyen, Akhtar Tahir.
Bagaimanapun, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Zulkefli Ahmad Makinudin dalam keputusannya pada 15 Disember tahun lalu mengetepikan hukuman denda RM2,000 terhadap Abdul Rahim.
Ketika mengumumkan penghakimannya menolak rayuan itu pada sidang pukul 11.30 pagi ini, Hakim Shaik Daud menegaskan bahawa Abdul Rahim melakukan kesalahan itu pada masa dia memegang jawatan tertinggi dalam pasukan polis.
Katanya, Abdul Rahim sepatutnya menjadi contoh dalam pasukan polis tetapi sebaliknya dia meletakkan dirinya pada tahap yang paling rendah akibat perbuatan yang telah dilakukannya.
Hakim Shaik Daud berkata, tindakan perayu yang dilakukan terhadap orang tahanan tidak dapat dibayangkan dan ia tidak berperikemanusiaan.
Tambahan pula dalam kes ini, kata beliau, orang tahanan itu diarahkan oleh Abdul Rahim supaya diikat (ditutup) kedua-dua matanya dengan kain dan yang paling teruk tangan digari dari belakang.
Hakim Shaik Daud menegaskan, ia suatu perbuatan yang teruk dalam pasukan polis yang berdisiplin.
Menurut beliau, mahkamah telah meneliti dengan terperinci rekod rayuan Abdul Rahim demi keadilan kedua-dua pihak iaitu perayu dan juga mangsa.
Dalam menilai hukuman, jelas Hakim Shaik Daud, ia mengambil kira kepentingan mangsa selain tidak mengetepikan kepentingan awam.
``Kami juga menimbangkan hujah-hujah yang dibentangkan oleh peguam-peguam perayu pagi ini,'' jelas beliau.
Bagaimanapun, kata Hakim Shaik Daud, dalam keadaan kes ini, mahkamah tidak dapat menemui sebarang perkara untuk campur tangan berhubung hukuman yang telah diputuskan oleh hakim Mahkamah Sesyen.
``Kami berpendapat bahawa Mahkamah Tinggi tidak seharusnya campur tangan dengan bidang kuasanya hanya kerana Hakim Mahkamah Sesyen tidak menyatakan secara spesifik kenapa dikenakan denda.
`Kami tidak ada alasan untuk membatalkannya (denda),'' jelas Hakim Shaik Daud.
Menurut Hakim Shaik Daud, alasan yang dinyatakan oleh Hakim Mahkamah Sesyen meliputi keseluruhan hukuman berdasarkan fakta dan keadaan kes itu.
Namun, ujar beliau, hukuman yang dijatuhi Mahkamah Sesyen itu adalah ringan dan alasannya hanya diketahui oleh hakim mahkamah berkenaan.
Pendakwa raya juga, kata beliau, tidak mengemukakan rayuan balas terhadap hukuman itu.
Selain itu, kata Hakim Shaik Daud, beliau ingin mengambil kesempatan untuk mengingatkan kepada mahkamah-mahkamah yang lebih rendah bahawa ia seharusnya menangani kes-kes melibatkan pegawai polis memukul sesiapa pun dengan serius.
``Tanpa mengira pangkat pegawai polis yang didapati bersalah memukul mana-mana orang awam ataupun seseorang tahanan seperti kes ini,'' tegas beliau.
Hakim Shaik Daud menjelaskan lagi, sebagaimana yang dinyatakan pada awalnya, mahkamah itu tidak mendapati sebarang kesilapan dalam undang-undang atas hukuman yang telah diputuskan oleh Mahkamah Sesyen tersebut.
Pada 15 Mac tahun lalu, Abdul Rahim telah dihukum penjara dua bulan dan denda RM2,000 atau penjara dua bulan selepas mengaku bersalah atas tuduhan pindaan mencederakan bekas Timbalan Perdana Menteri itu di lokap No. 6, Bukit Aman, kira-kira pukul 10.45 malam, pada 20 September 1998.
Ketika berhujah dalam rayuan itu hari ini, Kumaraendran memohon agar Abdul Rahim tidak dikenakan penjara kerana dia akan kehilangan wang pencen.
Kumaraendran berkata, dengan mengaku bersalah terhadap kesalahan itu, Abdul Rahim akan hilang faedah persaraannya seperti pencen yang secara tidak langsung merupakan denda berjumlah RM5,000 sebulan.
Beliau menambah Abdul Rahim bertanggungjawab sepenuhnya dengan mengaku terhadap kesalahan itu di hadapan Suruhanjaya Siasatan Diraja yang ditubuhkan untuk menyiasat insiden itu.
Abdul Rahim meletak jawatan sebagai Ketua Polis Negara pada 8 Januari 1999.
Menurut peguam itu lagi, Hakim Mahkamah Sesyen juga tidak menimbangkan khidmat dan jasa cemerlang Abdul Rahim kepada negara ini.
Sebelum itu, Kumaraendran menerangkan sebab-sebab mengapa Abdul Rahim mengaku bersalah atas tuduhan pindaan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan.
Di antara sebabnya, kata peguam itu, Abdul Rahim sungguh menyesal atas perbuatannya dan jika perbicaraan dijalankan ia akan melibatkan anggota polis lain.
Katanya, Abdul Rahim juga tidak mahu isu itu berlarutan dan tidak mahu memalukan kerajaan.
Hakim Shaik Daud lalu mencelah dengan mengatakan bahawa bukankah tindakan Abdul Rahim itu telah memalukan negara.
Peguam tersebut menjawab walaupun perkara itu tidak dinafikan namun ia menjimatkan masa perbicaraan kerana terdapat 24 orang saksi.
Ketika berhujah balas, Salehuddin yang mewakili pendakwa memberitahu bahawa pihaknya tidak mengemukakan rayuan balas kerana berpendapat keputusan yang dibuat oleh Hakim Mahkamah Tinggi adalah betul dengan mengekalkan hukuman penjara terhadap perayu tersebut.
Oleh: KAMARIAH AHMAD