Naib Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) mengalu-alukan jika Nik
Abduh Nik Abdul Aziz mengemukakan saman berhubung isu audio didakwa
mempunyai kaitan dengan anggota parlimen Pasir Mas itu.
Kata Husam Musa Nik Abduh sepatutnya membuktikan dia masih bermaruah
dengan mengemukakan saman berkenaan, sekali gus membersihkan namanya
daripada terpalit dengan sesuatu dakwaan.
"Sepatutnya dia samanlah, tak boleh ugut saja.
"Saya tak nak ulas soal saman ini (lebih lanjut) sebab saya sendiri
sudah diugut untuk disaman oleh PAS berpuluh kali dah, tapi sampai hari
ini saman itu tidak ada," katanya.
Justeru kata bekas exco kanan Kelantan itu jika Nik Abduh mahu
mengemukakan saman kepadanya atau mana-mana pihak, langah itu itu sangat
dialu.
Malah kata Husam tindakan menyaman itu akan menentukan sama ada seseorang pemimpin mempunyai maruah atau tidak.
Husam berkata demikian pada sidang media selepas majlis perasmian
bilik operasi Pusat Daerah Mengundi Khatib Ali di Kota Bharu, Kelantan
malam tadi.
Hadir sama Penasihat Umum AMANAH, Ahmad Awang dan pimpinan HARAPAN kelantan.
Terdahulu, Malaysiakini melaporkan satu petikan audio yang dikatakan
mirip suara Nik Abduh menjadi tular dan menimbulkan tanda tanya kepada
orang ramai.
Melalui rakaman audio berkenaan seorang lelaki - yang bercakap dengan nada suara yang tinggi - mengakui menerima wang daripada Umno.
Turut dipetik dalam rakaman itu ialah nama Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Apa yang dinafikan
Bagaimanapun Nik Abduh menafikan sekeras-kerasnya suara dalam rakaman
itu adalah dirinya, malah menganggap ia sebagai karut, marut dan fitnah
ke atas dirinya serta PAS.
"Ia hanya
sampah yang tak layak dimakan
kecuali pelahap fitnah seperti PAN (Parti Amanah Negara - AMANAH) dan
sekutunya. Saya menafikan sekeras-kerasnya," kata anak bekas menteri
besar Kelantan itu.
Kata Husam rakaman yang tular sebelum ini tidak ada kena-mengena
dengan dirinya, namun menegaskan beliau juga memiliki salinan yang
dipercayai sama seperti yang sudah tular itu.
Husam yang juga pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) Kelantan
menegaskan dia sebelum ini bercadang untuk mendedahkannya selepas
parlimen dibubarkan dan sedia bertanggungjawab atas rakaman berkenaan.
Anggota Dewan Undangan Negeri Salor itu juga menyoal apakah yang dinafikan oleh Nik Abduh sebenarnya.
"
Adakah dia nafi suara dalam audio itu suara dia? Ini terpulang kepada kita semua (yang) dengarlah.
"
Saya berharap semua ahli PAS tentukan sendiri suara itu suara
Husamkah atau Lim Guan Eng atau Jeming Hassan, atau suara siapa?"
katanya.
Husam juga mencadangkan supaya PAS menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi menyiasat isu berkenaan.
"Ucapan itu dibuat dalam majlis tertutup. Tentulah ada orang yang
hadir, ada penganjur, tarikh dan perkara yang disebut adalah daripada
mulut orang itu.
"Kalau kita (sengaja) nak reka-reka (memang) payah.
"Dan yang disebut dalam ucapan itu ialah menerima wang daripada Umno.
"Kalau itu sudah disebut, PAS kena tahu siapa yang terima wang bagi
membolehkan PAS menyertai pilihan raya dan pada masa sama parti itu
mesti meyakinkan rakyat bahawa rakaman itu tidak wujud," katanya.
oleh: N Faizal Ghazali mKini
fb tag #anatahu