Followers

Showing posts with label DUMC. Show all posts
Showing posts with label DUMC. Show all posts

Wednesday, September 21, 2011

Siapa Damai di majlis makan malam DUMC?

Khalid Samad menyoal pembabitan wakil NGO Damai di dalam majlis makan malam di gereja tersebut dan persoalan ditujukan kepada pengerusi MAIS.

PETALING JAYA: Ahli Parlimen PAS Shah Alam, Khalid Samad hari ini menimbulkan persoalan mengenai penyertaan sebuah NGO, Damai di dalam majlis makan malam di Gereja Methodist Damansara Utama yang diperiksa oleh pegawai Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) pada awal bulan lepas.

Persoalan ini dikemukakan kepada Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) Datuk Mohamad Adzib Mohd Isa kerana Khalid tidak mahu MAIS dan JAIS diperkudakan BN.

“Adakah benar bahawa yang turut hadir di dalam pertemuan berkenaan adalah sebuah NGO bernama ‘Damai’?” soal Khalid di dalam blognya hari ini.

Beliau turut menyoal sama ada Damai dinaungi Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom yang bertanggungjawab ke atas hal ehwal agama Islam.

“Ini yang disebutkan pada malam tersebut,” tambah beliau.

Wajil Damai

Persoalan turut dibangkitkan mengenai mengenai kehadiran wakil Damai bernama Nasir Desa yang diura-urakan adalah wakil dari Pejabat Peguam Negara.

Dua persoalan terakhir adalah berkenaan kenyataan Nasir di dalam majlis tersebut.

“Adakah benar Nasir ini mendakwa bahawa masalah Kristianisasi ini serius di Selangor dan jauh lagi teruk dari Pulau Pinang?

“Adakah benar Nasir ini juga menyebut, depan Datuk sebagai pengerusi MAIS dan wakil JAIS dan 45 NGO Islam yang berdaftar dengan JAIS, setelah mereka dihidangkan dengan tayangan video ‘lawatan ke DUMC’, “malangnya MB Selangor seorang ahli politik cari makan”?

sumber...FMT

Monday, August 22, 2011

Selangor tubuh Majlis Syura selesai kemelut Jais-DUMC

Majlis tersebut akan dianggotai oleh Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, Mufti Negeri Selangor, Datuk Setia Mohd Tamyes Abd Wahid dan timbalannya, Datuk Abd Majid Omar.

SHAH ALAM: Kerajaan Selangor akan menubuhkan majlis penasihat Syura dalam usaha menyelesaikan pertikaian berhubung pemeriksaan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) di Gereja Methodist Damansara Utama (DUMC) pada 3 Ogos lalu.

Majlis tersebut akan dianggotai oleh Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, Mufti Negeri Selangor, Datuk Setia Mohd Tamyes Abd Wahid dan timbalannya, Datuk Abd Majid Omar.

Menurut Abdul Khalid, idea penubuhan majlis syura tersebut dicadangkan oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah ketika mereka mengadakan perbincangan minggu lalu.

“Saya menghargai nasihat baginda agar mencari jalan terbaik untuk menyelesaikan isu ini secara berhemah dan memuaskan.

“Saya juga telah berjumpa dengan mufti negeri Selangor dan kami telah merumuskan formula untuk dirujuk oleh Majlis Syura,” kata Abdul Khalid dalam satu kenyataan media hari ini.

Abdul Khalid berkata, majlis tersebut akan mengkaji isu-isu yang membimbangkan masyarakat Islam dan komuniti bukan Islam di Selangor untuk dibangunkan garispanduan demi memastikan sikap hormati menghormati dan harmoni pelbagi kaum dan agama terus terpelihara.

Harapan Komuniti

Beliau juga berkata majlis ini akan mendapatkan maklumat daripada JAIS dan penganjur majlis makan malam itu, Harapan Komuniti.

“Sekiranya perlu. majlis Syura juga akan memanggil DUMC dan 12 orang Islam yang menghadiri majlis makan malam di gereja berkenaan ketika pemeriksaan itu dilakukan,” tambahnya.

Jelasnya, majlis ini juga akan mendengar dan meneliti sepenuhnya laporan penuh oleh JAIS termasuk memeriksa maklumat, bukti dan pita rakaman mengenai pemeriksaan itu.

“Keutamaan Kerajaan Selangor ialah memastikan setiap aspek pentadbiran mematuhi prinsip keadilan, telus, amalan pentadbiran yang baik dan berintegriti,” kata menteri besar.

Kerajaan Selangor mengulangi kesediaan untuk berbincang dan berdialog untuk menjaga keharmonian dan keamanan yang telah lama wujud di kalangan masyarakat berbilang kaum dan agama di negara ini.

sumber...FMT

Tuesday, August 16, 2011

Pastor Papagomo diadu ke SKMM

Dakyah Kristian Pastor Papagomo ,PKR lapor pada SKMM

ADUN Seri Setia, Nik Nazmi Nik Ahmad akan membuat laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Mutimedia (SKMM) berhubung satu dakwaan "fitnah" yang disiarkan dalam satu laman blog pro-Umno.

Laporan berkenaan susulan dakwaan dokumen palsu oleh Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) berhubung dakwaan "Ops Sita" ke atas Gereja Methodist Damansara Utama.
Dokumen dengan label "Sulit" bertajuk "Laporan Ops Sita Gereja Methodist Damansara Utama oleh Jabatan Penguatkuasaan dan Keselamatan Majlis Bandaraya Petaling Jaya" itu dimuatkan di laman blog "Papa Gomo" sejak 13 Ogos lalu.

Dokumen berkenaan antara lainnya mendakwa, operasi untuk menyita gereja berkenaan telah dibatalkan selepas mendapat arahan daripada Nik Nazmi (gambar atas, kiri sekali).

Arahan yang sama juga didakwa dikeluarkan oleh beberapa orang pemimpin Pakatan Rakyat yang dinamakan dalam dokumen berkenaan, termasuk ahli parlimen Shah Alam, Khalid Samad serta tiga orang exco -- Ronnie Liu, Elizabeth Wong, Teresa Kok.

"Ini hanya dokumen olok-olok yang direka oleh blogger Umno yang terdesak," kata Nik Nazmi yang juga pengarah komunikasi PKR.

Maklumat salah

Tambahnya, dokumen berkenaan tidak wujud dan direka sebagai fitnah kepada Pakatan.

"Saya yakin (penulis blog ini) orang Islam. Mengata ini berdosa, fitnah lagi berdosa. Jadi baik dia jaga puasa dan solat dia sendiri," kata Nik Nazmi lagi dalam sidang media di ibu pejabat PKR itu hari ini.

Tambahnya, dokumen berkenaan juga mempunyai maklumat yang sama sekali salah, terutama berhubung gereja yang didakwa akan disita itu.

Dokumen berkenaan antara lainnya menyebut gereja DUMC terletak di Damansara Utama, sedangkan gereja itu terletak di Seksyen 13, Petaling Jaya.

"Blogger Umno dibayar gaji mahal (tapi) tak buat research (kajian) yang betul untuk buat fitnah," katanya lagi.

Ketika ditanya, Nik Nazmi berkata pemimpin Pakatan yang terlibat akan membincangkan sama ada akan mengambil tindakan sama ke atas penulis blog tersebut.

Ahli majlis lapor polis

Sementara itu, Wong turut menafikan bahawa beliau telah membuat panggilan kepada MBPJ seperti yang didakwa dalam dokumen berkenaan.

Malah, portal Malaysiakini yang turut disebut dalam dokumen berkenaan juga "langsung tidak call saya pada hari itu," katanya lagi dalam sidang media sama.

Dokumen tersebut mendakwa, Elizabeth Wong telah memaklumkan kepada jabatan MBPJ tersebut pada pagi 11 Ogos lalu bahawa "wartawan Malaysiakini akan menghubungi (jabatan berkenaan) dan diarahkan membuat penafian."

Sejurus kemudian, wartawan Malaysiakini membuat panggilan kepada jabatan tersebut "dan penafian dilakukan sepertimana diarahkan."

Mengulas lanjut, Elizabeth berkata "apa yg dicatat itu tak betul. Saya tak pernah buat panggilan telefon kepada MBPJ pada hari tersebut.

Dalam perkembangan berkaitan, seorang ahli majlis MBPJ, Latheefa Koya dalam tulisannya di Twitter hari ini berkata, satu laporan polis akan dibuat ke atas penulis blog tersebut, berhubung dakwaan fitnah tersebut.

sumber...malaysiaKini

Monday, August 15, 2011

Periksa Gereja: Laporan JAIS Akan Dipersembahkan Kepada Sultan Selangor

PETALING JAYA: Kerajaan Negeri Selangor akan mempersembahkan laporan lengkap berhubung pemeriksaan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) terhadap Gereja Methodist Damansara Utama (DUMC) baru-baru ini kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Menteri Besarnya, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, pihaknya kini masih menunggu laporan berhubung insiden berkenaan yang kini sedang disiapkan oleh JAIS.

"Laporan lengkap pemeriksaan JAIS di gereja sedang disiapkan dan akan dipersembahkan kepada Tuanku Sultan Selangor," katanya yang dipetik menerusi laman sosial twitter pada Isnin.

Sebelum ini Abdul Khalid berkata laporan tersebut dijangka siap sepenuhnya dan diserahkan kepada kerajaan negeri selepas sambutan Aidilfitri.

Laporan terperinci yang diminta termasuklah hasil siasatan dan soal jawab 12 orang Islam yang dikatakan terlibat serta salinan barang kes yang telah diperolehi hasil dari pemerikasaan.

Menurutnya kerajaan negeri difahamkan JAIS mengalami kesulitan mendapatkan keterangan dari 12 individu Islam yang menyertai upacara 'Thanks giving' di DUMC atas nasihat peguam masing-masing.

Terdahulu, pada 3 Ogos lalu, pasukan penguat kuasa Jais menjalankan pemeriksaan ke atas gereja itu susulan aduan wujud gerakan memurtadkan orang Islam.

Bagaimanapun, pemeriksaan gereja tersebut menjadi isu hangat apabila Abdul Khalid memberikan kenyataan yang bercanggah dengan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam, Adat Istiadat Melayu dan Kemudahan Awam negeri, Datuk Dr. Hasan Mohamed Ali.

Abdul Khalid menyatakan kekesalan dengan insiden itu dan mahu laporan penuh diberikan kepada beliau sementara Hasan pula menyokong tindakan JAIS yang membuat pemeriksaan selepas mendapat bukti berlaku penyebaran agama bukan Islam ke atas penganut Islam.

Keadaan bertambah panas apabila Abdul Khalid dikatakan meminta semua Exconya tutup mulut mengenai pemeriksaan tersebut sementara Hasan pula sanggup dipecat kerana melanggar arahan itu apabila mengeluarkan kenyataan menyokong JAIS.

Isu Gereja: 12 Individu Islam Hadir Beri Keterangan Kepada JAIS

SHAH ALAM: 12 individu Islam yang menghadiri majlis 'Thanksgiving' di Gereja Methodist Damansara Utama (DUMC) pada Isnin hadir memberi keterangan di Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) bagi membantu siasatan berhubung kes tersebut.

Menurut sumber, kesemua individu tersebut mula memberi keterangan pukul 10 pagi di Bangunan Sultan Idris Shah di sini.

Ketika ditanya adakah semua individu tersebut hadir untuk memberi keterangan, sumber tersebut mengatakan: 'Ya.'

Difahamkan kenyataan mereka kini sedang direkodkan oleh pegawai bahagian pengurusan dan penguatkuasaan JAIS.

Menurut sumber itu lagi, peguam dari firma guaman Tetuan Lee Hishamuddin yang mewakil 10 daripada 12 individu Muslim itu memahami situasi terbabit dan membenarkan anak guam mereka hadir memberi keterangan kepada JAIS.

“Sebelum ini, mereka sudah menerima surat untuk hadir memberi keterangan namun gagal berbuat demikian pada Selasa lalu.

"Sedangkan mereka adalah saksi kepada kes penyebaran agama bukan Islam kepada Islam, jadi kita perlu memanggil mereka untuk merekodkan kenyataan.

“Peguam mereka sudah memahami keadaan ini. Peguam benarkan anak guam mereka untuk hadir. Namun jika masih gagal berbuat demikian maka waran tangkap akan dikeluarkan kepada 12 individu tersebut,” katanya kepada mStar Online, di sini, Isnin.

Pada 3 Ogos lalu, JAIS menyerbu gereja DUMC selepas mendapat maklumat kehadiran sebilangan orang Islam pada majlis makan malam di gereja berkenaan.

Ketika serbuan dilakukan kira-kira jam 9 malam, seorang penceramah menyampaikan ucapan dengan menyelit bacaan ayat al- Quran dan terdapat bukti kegiatan penyebaran agama bukan Islam terhadap penganut Islam.

Berpandukan kepada siasatan awal, mereka yang terbabit boleh didakwa mengikut Seksyen 10 Enakmen Jenayah Syariah 1995.

Di bawah seksyen itu, seseorang yang didapati melakukan kesalahan memujuk, mempengaruhi atau menghasut seseorang yang beragama Islam supaya cenderung kepada mana-mana agama bukan Islam, atau supaya menjadi penganut atau anggota mana-mana agama bukan Islam, atau supaya meninggalkan atau tidak suka kepada agama Islam.

Mereka boleh disabitkan mengikut seksyen kecil (1) dan jika didapati bersalah boleh dikenakan penjara sehingga satu tahun atau denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

p/s...photo pinjam gambar dari blog Siasah Kini

Saturday, August 13, 2011

Kes Gereja: 12 individu Muslim beri keterangan 15 Ogos

Waran tangkap akan dikeluarkan jika mereka gagal hadir memberi keterangan, kata sumber dalaman Jais.

Seramai 12 individu Muslim yang ditahan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) ketika menghadiri majlis makan malam di Gereja Methodist Damansara Utama (DUMC), Seksyen 13 minggu lalu akan hadir memberi keterangan Isnin depan.

Perkara itu dimaklumkan oleh sumber dalaman bahagian penguatkuasaan Jais dan ini sudah dimaklumkan kepada 12 individu berkenaan kelmarin supaya hadir di pejabat jabatan agama itu di Shah Alam.

Menurut sumber itu, peguam dari firma guaman Tetuan Lee Hishamuddin yang mewakil 10 daripada 12 individu Muslim itu memahami situasi terbabit dan membenarkan anak guam mereka hadir memberi keterangan kepada Jais.

“Sebelum ini, mereka sudah menerima surat untuk hadir memberi keterangan namun gagal berbuat demikian pada Selasa lalu.

Sedangkan mereka adalah saksi kepada kes penyebaran agama bukan Islam kepada Islam, jadi kita perlu memanggil mereka untuk merekodkan kenyataan.

“Peguam mereka sudah memahami keadaan ini. Peguam benarkan anak guam mereka untuk hadir. Namun jika masih gagal berbuat demikian maka waran tangkap akan dikeluarkan kepada 12 individu tersebut,” katanya kepada FMT.

Pada 3 Ogos lalu, Jais menyerbu gereja DUMC selepas mendapat maklumat kehadiran sebilangan orang Islam pada majlis makan malam di gereja berkenaan.

Ketika serbuan dilakukan kira-kira jam 9 malam, seorang penceramah menyampaikan ucapan dengan menyelit ayat-ayat Al Quran dan terdapat bukti kegiatan penyebaran agama bukan Islam terhadap penganut Islam.

Berpandukan kepada siasatan awal, mereka yang terbabit boleh didakwa mengikut Seksyen 10 Enakmen Jenayah Syariah 1995.

Di bawah seksyen itu, seseorang yang didapati melakukan kesalahan memujuk, mempengaruhi atau menghasut seseorang yang beragama Islam supaya cenderung kepada mana-mana agama bukan Islam, atau supaya menjadi penganut atau anggota mana-mana agama bukan Islam, atau supaya meninggalkan atau tidak suka kepada agama Islam.

Mereka boleh disabitkan mengikut seksyen kecil (1) dan jika didapati bersalah boleh dikenakan penjara sehingga satu tahun atau denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

sumber...FMT