Followers

Monday, August 15, 2011

Isu Gereja: 12 Individu Islam Hadir Beri Keterangan Kepada JAIS

SHAH ALAM: 12 individu Islam yang menghadiri majlis 'Thanksgiving' di Gereja Methodist Damansara Utama (DUMC) pada Isnin hadir memberi keterangan di Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) bagi membantu siasatan berhubung kes tersebut.

Menurut sumber, kesemua individu tersebut mula memberi keterangan pukul 10 pagi di Bangunan Sultan Idris Shah di sini.

Ketika ditanya adakah semua individu tersebut hadir untuk memberi keterangan, sumber tersebut mengatakan: 'Ya.'

Difahamkan kenyataan mereka kini sedang direkodkan oleh pegawai bahagian pengurusan dan penguatkuasaan JAIS.

Menurut sumber itu lagi, peguam dari firma guaman Tetuan Lee Hishamuddin yang mewakil 10 daripada 12 individu Muslim itu memahami situasi terbabit dan membenarkan anak guam mereka hadir memberi keterangan kepada JAIS.

“Sebelum ini, mereka sudah menerima surat untuk hadir memberi keterangan namun gagal berbuat demikian pada Selasa lalu.

"Sedangkan mereka adalah saksi kepada kes penyebaran agama bukan Islam kepada Islam, jadi kita perlu memanggil mereka untuk merekodkan kenyataan.

“Peguam mereka sudah memahami keadaan ini. Peguam benarkan anak guam mereka untuk hadir. Namun jika masih gagal berbuat demikian maka waran tangkap akan dikeluarkan kepada 12 individu tersebut,” katanya kepada mStar Online, di sini, Isnin.

Pada 3 Ogos lalu, JAIS menyerbu gereja DUMC selepas mendapat maklumat kehadiran sebilangan orang Islam pada majlis makan malam di gereja berkenaan.

Ketika serbuan dilakukan kira-kira jam 9 malam, seorang penceramah menyampaikan ucapan dengan menyelit bacaan ayat al- Quran dan terdapat bukti kegiatan penyebaran agama bukan Islam terhadap penganut Islam.

Berpandukan kepada siasatan awal, mereka yang terbabit boleh didakwa mengikut Seksyen 10 Enakmen Jenayah Syariah 1995.

Di bawah seksyen itu, seseorang yang didapati melakukan kesalahan memujuk, mempengaruhi atau menghasut seseorang yang beragama Islam supaya cenderung kepada mana-mana agama bukan Islam, atau supaya menjadi penganut atau anggota mana-mana agama bukan Islam, atau supaya meninggalkan atau tidak suka kepada agama Islam.

Mereka boleh disabitkan mengikut seksyen kecil (1) dan jika didapati bersalah boleh dikenakan penjara sehingga satu tahun atau denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

p/s...photo pinjam gambar dari blog Siasah Kini