Followers

Tuesday, August 9, 2011

Wahabi: Dr Uthman mahu dialog dipantau KDN

Dr Uthman nafi tolak undangan dialog mufti Perlis

Penceramah terkenal Dr Muhammad Uthman El-Muhammady menafikan menolak undangan Mufti Perlis untuk berdialog dalam isu Wahabi dan terorisme yang dikatakan dibentangkannya dalam taklimat Majlis Keselamatan Negara (MKN) baru-baru ini.

Sebaliknya, Uthman berkata, beliau mahu dialog yang dicetuskan oleh Dr Juanda Jaya itu diadakan secara tertutup dengan penganjurannya daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN), lapor Sinar Harian.

“Dialog seperti ini perlu secara tertutup dengan dihadiri pakar-pakar yang dipilih oleh KDN dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim),” beliau dipetik sebagai berkata.

Dr Uthman berkata, isu itu tidak patut dibincangkan secara terbuka kerana ia melibatkan keselamatan negara dan boleh menggugat hubungan baik antara negara.

Semalam, Dr Juanda berkata, beliau dukacita kerana undangan rasmi jawatankuasa fatwa Perlis ditolak oleh Dr Uthman.

Beliau mempersoalkan, bagaimana mungkin seorang 'ahli akademik' takut berhujah secara akademik dan terbuka bagi mempertahankan pandangannya yang didakwanya menjejaskan hubungan Malaysia-Arab Saudi.

Harian itu juga melaporkan, Dr Uthman berkata, apa yang berlaku sebelum ini perlu dijadikan pengajaran apabila ada yang membocorkan rahsia dalam perbincangan anjuran MKN.

Sehubungan itu, tambahnya, KDN dan Jakim perlu menangani isu itu kerana ia boleh menjejaskan hubungan dengan negara lain.

Beliau juga berkata pihak itu juga telah tersalah tafsir apa yang dikatakannya pada majlis tertutup itu.

"Apa yang saya katakan bukan untuk meraih publisiti tetapi sebagai maklumat kepada kerajaan untuk melihat masalah itu.

"Tidak timbul isu ada negara yang bahaya kepada Malaysia dan ibadah haji perlu ditangguhkan seperti yang dilaporkan. Saya sendiri baru menunaikan haji tahun lalu," katanya.

sumber...malaysiaKini