Followers

Monday, August 8, 2011

Serbuan Gereja Damansara Utama

Peristiwa ini telah banyak mendapat liputan dalam media perdana dan alternatif. Berbagai pandangan telah diberi. Saya hanya mahu menjelaskan dua perkara di sini.

1. Soal menyebar atau mengembang agama lain kepada orang Islam adalah dilarang dalam Perlembagaan. Semua pihak harus terima dan akur dengan peruntukan ini. Peruntukan ini bertujuan untuk menjamin keharmonian masyarakat berbilang agama seperti Malaysia di mana sekiranya dirasakan ada usaha bersungguh-sungguh untuk memurtadkan orang Islam, maka ianya akan menghasilkan ketegangan dan persengketaan.

Dalam soal ini PAS mengutuk sebarang usaha kearah menyebarkan agama lain di kalangan orang Islam dan sesiapa yang melakukannya perlu dihadapkan ke mahkamah untuk dikenakan tindakan yang sewajarnya.

2. Soal menyerbu sebuah rumah ibadat bukan Islam merupakan suatu isu yang serius. Ianya boleh menghasilkan satu imej yang buruk terhadap Islam apabila ianya dilakukan atas nama agama Islam. Ini kerana ianya memberikan gambaran bahawa Islam tidak menghormati rumah ibadat orang bukan Islam. Tindakan yang sebegini ini perlu diluluskan oleh pihak atasan samada Pengarah atau Exco-Kerajaan Negeri yang berkaitan setelah mengambil-kira ketepatan maklumat yang diterima serta kewajaran tindakan tersebut. Apakah matlamat serbuan dan adakah matlamat itu hanya mampu tercapai melalui serbuan? Soal adanya hak dan kuasa satu perkara, tetapi yang lebih penting ialah kebijaksanaan tindakan sedemikian rupa.



Pengalaman kita dengan serbuan Pegawai Penguatkuasa JAIS selama ini semuanya kurang manis. Ustadz terpaksa melarikan diri dengan kehadiran pegawai penguatkuasa yang tiba dengan bengis dan garang. Kadangkala dalam keghairahan mereka hendak menangkap ustadz, kasut pun tidak dibuka semasa memasuki masjid/surau. Peristiwa yang melibatkan Dr. Asri, mantan Mufti Perlis masih segar diingatan. Lengkap bersenjata bagaikan ingin menahan seorang pengganas.

Ada kemungkinan mereka hanya ‘ganas’ dengan orang Islam dan penuh sopan dengan yang bukan Islam? Terserah kepada masing-masing memikirkannya sendiri. Namun yang penting adalah kewajaran tindakan memaksakan kehadiran ke dalam Gereja tersebut perlu dipersoalkan.

SEKIRANYA yang 12 dipaksa hadir dan sedang diseksa oleh yang lain supaya murtad dengan diletakkan ke atas bara api, maka tindakan menyerbu masuk adalah wajar. Ianya bertujuan menyelamatkan orang Islam yang sedang diseksa oleh kerana agama mereka.

SEKIRANYA yang 12 hadir secara rela dan sedang dipujuk dengan berbagai ucapan yang menyatakan kelebihan agama Kristian dan betapa Islam itu keras dan bersifat memaksa, tanpa adanya keprihatinan dan sebagainya, maka tindakan menyerbu mungkin mendatangkan natijah yang sebaliknya. Adalah lebih baik dipantau, dapatkan nombor kereta serta maklumat lain dan seterusnya didampingi golongan 12 tersebut selepas dari itu. Kalau dalam 12 ini pula ada yang sanggup berkerjasama dan melalui maklumat dari mereka, pihak Gereja boleh ditemui kemudiannya untuk berbincang dan dinasihati. Kalau bukti memadai, mungkin juga boleh dikenakan tindakan undang-undang. Tidak perlu serbu. Matlamat tercapai, nama baik Islam tidak tercemar, yang 12 dapat diuruskan dan dinasihati dan begitu juga pihak Gereja.

Tetapi sekira matlamatnya adalah untuk menghasilkan isu yang mana MCA boleh membantai PR Selangor ‘yang ditunggang PAS’ sehingga JAIS menyerbu Gereja, maka serbuan itu adalah 'wajar'. Sekira matlamatnya juga adalah untuk menghasilkan isu agar UMNO pula boleh serang PR Selangor ‘yang ditunggang DAP’ sehingga adanya kes memurtadkan ummat Islam, maka serbuan itu adalah 'wajar'. Begitulah juga sekiranya serbuan itu bertujuan untuk mengalihkan isu piliharaya BERSIH, penyalahgunaan kuasa dan sebagainya, maka serbuan tersebut juga adalah 'wajar'. Tetapi sekiranya serbuan tersebut bertujuan untuk menangani masalah murtad dikalangan umat Islam, maka saya kira terdapat banyak cara lain yang jauh lebih baik lagi berhemah.



Video ihsan Malaysiakini

WaLlahu 'Alam
KHALID SAMAD