Followers

Saturday, August 6, 2011

Jais serbu Gereja: PAS tentukan pendirian esok

Datuk Dr Hasan Ali dijangka memberi keterangan kerana menyokong tindakan Jais itu.

PETALING JAYA: Jawatankuasa Kerja PAS Pusat akan bermesyuarat jam 10.00 pagi esok bagi menyatakan pendirian parti berhubung isu ‘serbuan’ ke atas sebuah gereja oleh pegawai-pegawai Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) di Bandar Utama, di sini malam Rabu lalu.

Ketika dihubungi FMT, AJK PAS Pusat dan juga Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad mengesahkan mesyuarat itu akan di adakan esok di Ibu Pejabat parti, Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur.

Exco agama kerajaan negeri Selangor, Datuk Dr Hasan Ali, yang menyokong tindakan Jais itu, dijangka akan memberi keterangan dalam mesyuarat itu.

Rabu lalu, sekumpulan pegawai Jais dan beberapa anggota polis telah pergi ke Gereja Methodist Damansara Utama untuk mengambil keterangan dari 12 orang Islam yang menghadiri majlis makan malam muhibbah di gereja itu.

Beberapa akhbar perdana melaporkan bahawa terdapat usaha pihak gereja tersebut untuk membaptiskan (mengkristiankan) masyarakat Islam di sebalik majlis makan malam itu.

“Kami tidak dapat memberi komen atau membuat keputusan sehingga kami mendapat laporan dari Jais dan menemui Hasan Ahli untuk mendapatkan keterangan lanjut daripadanya.

“Kami mahu melihat apa bukti yang beliau (Hasan Ali) hendak kemukakan,” kata Timbalan Pesuruhjaya PAS Selangor dan juga Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad semalam.

Kenyataan Hasan dilihat bercanggah dengan kenyataan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang tidak bersetuju dengan tindakan Jais.

Beliau meminta Jais menyediakan satu laporan berhubung perkara ini dan beliau akan menghadap Sultan Selangor sebelum mengambil sebarang tindakan atau menetapkan pendirian.

Pengarah Jais, Marzuki Husin semalam menafikan melakukan ‘serbuan’ terhadap gereja tersebut tetapi menerangkan bahawa mereka membuat beberapa pemeriksaan dan terdapat percubaan untuk menghilangkan bukti-bukti.

“Ia dilakukan untuk memelihara orang-orang Islam dan saya berharap isu ini tidak menjadi kontroversi. Kami tidak melakukan sebarang tangkapan,” kata beliau, dipetik dari sebuah akhbar perdana.

Menurut laporan beberapa portal berita, Hasan dan pegawai Jais mendakwa usaha-usaha untuk memurtadkan umat Islam telah dan sedang berlaku dan aktiviti-aktiviti ini dilakukan di beberapa buah gereja di negeri Selangor ini.

Kesucian Islam dan umatnya terpelihara dalam Perlembagaan Malaysia dan orang-orang bukan Islam dilarang untuk berdakwah kepada orang-orang Islam.

sumber...FMT