Followers

Monday, August 1, 2011

Tukar Agama: Shamala Tarik Balik Rayuan

Tutup kes

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan di sini pada Isnin membatalkan rayuan bekas kerani bank S.Shamala yang terbabit dalam pertikaian hak penjagaan dua anak lelakinya dengan suaminya yang telah memeluk agama Islam.

Hakim Datuk Seri Abu Samah Nordin, bersidang bersama-sama panel tiga anggota dengan Hakim Datuk Azahar Mohamed dan Hakim Datuk Alizatul Khair Osman Khairuddin, membuat keputusan itu selepas Shamala menarik balik rayuan itu.

Walaupun suami Shamala, Dr Muhammad Ridzwan, 43, memohon Shamala membayar RM15,000 bagi kos undang-undang, panel itu selepas menimbangkan pandangan kedua-dua pihak dalam rayuan itu, memutuskan untuk tidak mengeluarkan perintah mengenai kos.

Shamala, 39, mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonannya bagi satu deklarasi untuk membatalkan penukaran agama kedua-dua anak lelakinya kepada Islam oleh suaminya yang telah berpisah dengannya.

Shamala, yang dipercayai berada di luar negara, juga menarik balik rayuan balasnya terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang memberikan kepadanya dan Dr Muhammad Ridzwan yang dahulunya dikenali sebagai Dr Jeyaganesh C. Mogarajah, hak penjagaan bersama kedua-dua anak mereka, Saktiwaran dan Theiviswaran, tetapi mengenakan kaveat ke atas Shamala, melarangnya mengajar anak-anaknya amalan agama Hindu dan memberi mereka makan babi.

Peguam yang mewakili Shamala, Steven Thiru memaklumkan panel itu bahawa notis tarik balik rayuan dan rayuan balas itu telah difailkan pada 11 Julai tahun ini.

Sementara itu, panel berkenaan menangguhkan empat rayuan lain yang dikemukakan oleh Dr Muhammad Ridzwan, ke satu tarikh yang akan ditetapkan.

Mahkamah juga menangguhkan notis usul yang difailkan oleh barisan peguam yang mewakili Shamala untuk menarik diri daripada mewakilinya dalam rayuan itu, ke satu tarikh yang akan ditetapkan, selepas memerintahkan peguam berkenaanmenyerahkan permohonan menarik diri itu kepada Shamala.

Peguam yang mewakili Shamala, Steven Thiru memohon kepada mahkamah untuk dirinya dan dua lagi peguam iaitu Ravi Nekko dan David Matthews untuk menarik diri daripada mewakili Shamala atas alasan mereka gagal mendapatkan arahan daripada anak guam mereka berhubung keputusan Mahkamah Persekutuan bahawa Shamala perlu membersihkan penghinaan mahkamah yang dihadapinya sebelum beliau boleh didengar.

Katanya sejak 2004, beliau menerima arahan daripada keluarga Shamala.

Terdahulu, semasa mengemukakan permohonan menarik balik rayuan itu, Thiru memberitahu mahkamah bahawa kes Shamala adalah satu kes yang sedih kerana ia melibatkan penukaran agama dua anaknya yang masih kecil yang ketika itu berumur empat dan dua tahun (kini 11 dan sembilan tahun) tanpa kebenarannya yang mendorongnya memfailkan litigasi itu.

Thiru menggesa mahkamah untuk tidak mengarahkan Shamala menanggung kos undang-undang itu, menyatakan anak guamnya tidak patut dipersalahkan kerana beliau terpaksa memfailkan litigasi itu.

Muralee Menon, yang mewakili Dr Muhammad Ridzwan, bagaimanapun mendesak supaya Shamala menanggung kos undang-undang itu kerana menurutnya beliau telah menyediakan hujahan bertulis berhubung rayuan itu.

Beliau menggesa mahkamah memutuskan bahawa litigasi yang dikemukakan Shamala adalah menyusahkan dan telah membazirkan masa semua pihak kerana wanita meninggalkan negara ini bersama-sama dua anaknya itu atas pembiayaan suaminya.

Pasangan itu berkahwin pada 1998 mengikut upacara agama Hindu dan perkahwinan mereka didaftarkan di bawah Akta Undang-undang Pembaharuan (Perkahwinan dan Perceraian) 1976.

Pada 2002, Dr Muhammad Ridzwan memeluk Islam dan kemudiannya turut menukar agama kedua-dua anak lelakinya itu kepada Islam tanpa pengetahuan dan kebenaran Shamala.

Pada 12 November tahun lepas, Mahkamah Persekutuan menolak untuk menjawab persoalan utama membabitkan perlembagaan dalam pertikaian Shamala-Dr Muhammad Ridzwan kerana Shamala dan anak mereka tidak hadir di mahkamah.

sumber... BERNAMA