Followers

Thursday, August 11, 2011

Lorrain Esme Osman meninggal dunia di hospital London

Lorrain meninggal dunia di hospital London

KUALA LUMPUR: Bekas Pengerusi Bumiputra Malaysia Finance (BMF), Lor-rain Esme Osman, meninggal dunia di sebuah hospital di London dipercayai akibat kanser, Isnin lalu.

Difahamkan, Lorrain, 81, menghidap penyakit kanser sejak beberapa tahun lalu.
Mengikut laporan The Sundaily.net, Lorrain akan terus diingati kerana menjadi ‘tahanan reman paling lama di United Kingdom (UK)’ dan cubaannya mencabar perintah ekstradisi ke Hong Kong dari UK bagi menghadapi tuduhan rasuah.
Laporan itu juga berkata, Lorrain juga menjadi antara ahli perniagaan Melayu yang berjaya mendapatkan pelbagai projek hasil usaha sendiri tanpa mengharapkan bantuan kerajaan.

BMF, subsidiari Bank Bumiputra Malaysia dalam operasinya di Hong Kong mengalami kerugian RM2.5 bilion apabila pasaran hartanah di negara itu lumpuh pada 1983. Lorrain dikaitkan dengan skandal itu yang turut mengakibatkan kejatuhan BMF.

Lorrain menetap di London selepas menjalani hukuman penjara lapan bulan di Hong Kong pada 1993 kerana kesalahan rasuah membabitkan wang BMF.

Beliau dihantar ke Hong Kong dari London selepas tujuh tahun mencabar perintah ekstradisi itu, menjadikannya tahanan reman paling lama dipenjarakan di Britain.
Lorrain dituduh meluluskan pinjaman tanpa jaminan berjumlah berjuta-juta dolar di antara 1979 hingga 1983 kepada Kumpulan Syarikat Car-rian, konglomerat hartanah dan perkapalan yang diketuai George Tan.

sumber...Bernama