Followers

Sunday, August 28, 2011

San Miguel Sah Telan Esso


ExxonMobil: Tawaran San Miguel beli Esso terbaik, Putrajaya sudah dimaklumkan

KUALA LUMPUR, 28 Ogos — Cadangan penjualan pegangan kepentingan 65 peratus Exxon Mobil Corporation dalam Esso Malaysia Bhd dan perniagaan lain dalam sektor petroleum hiliran Malaysia kepada San Miguel Corporation dari Filipina adalah adil dan wajar, kata Naib Presiden ExxonMobil Stafford T. Kelly.

Beliau berkata bida berkenaan pada dasar persaingan dengan 20 syarikat, termasuk tujuh firma tempatan, yang pada mulanya berminat dan tawaran SMC merupakan yang terbaik ditawarkan.

San Miguel, selain memberikan nilai terbaik bagi ketiga-tiga entiti dalam Esso Group, merupakan satu-satunya syarikat yang melibatkan rancangan untuk mengambil alih dan memperluaskan loji penapis minyak berusia 48 tahun di Port Dickson, katanya dipetik Bernama Online hari ini.

“Pembina yang lain (termasuk dari Malaysia) tidak berminat dalam loji penapis dan mahu menutupnya,” kata beliau.

Kelly berkata langkah berkenaan menunjukkan komitmen ExxonMobil untuk tidak membiarkan tenaga kerja di loji penapis itu begitu sahaja.

ExxonMobil International Holdings memeterai perjanjian dengan San Miguel Corporation bagi ExxonMobil menjual 65 peratus pegangan dalam syarikat dagangan petroleum tersenarai, Esso Malaysia Bhd dan syarikat milik penuhnya ExxonMobil Malaysia Sdn Bhd dan ExxonMobil Borneo Sdn Bhd pada AS$610 juta atau RM3.50 sesaham EMB.

Semasa ditanya sama ada Boustead Holdings Bhd atau subsidiarinya, Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) merupakan antara syarikat yang membuat tawaran, beliau mengiakannya tetapi menjelaskan bahawa bukan pada RM5.20 sebagaimana yang dinyatakan dalam media.

Beliau mengulangi yang tawaran San Miguel Corporation merupakan yang terbaik dan syarikat itu merupakan satu-satunya syarikat di kalangan 20 yang mahu membeli juga loji penapis Port Dickson.

Kelly berkata, San Miguel Corporation menawarkan 25 peratus premium terhadap harga purata saham Esso Malaysia selama enam bulan lepas pada RM2.80.

Hanya selepas spekulasi mengenai perjanjian jual beli yang menjadikan harga naik kepada RM4.95 daripada masa sebelum rehat tengah hari pada RM4.33 pada 17 Ogos lalu.

Beliau berkata ExxonMobil bersetuju dengan San Miguel Corporation bahawa syarikat Filipina itu tidak akan memberhentikan pekerja tetapi sebaliknya memperluaskan modal insannya dengan memberi keutamaan kepada warga tempatan.

Semasa proses pembidaan, beliau berkata, setiap pihak diberikan ruang yang mencukupi untuk mengadakan perbincangan dan penilaian terhadap ExxonMobil, dan akhirnya tiga pihak yang kukuh diperakui dan dimuktamadkan.

“Hanya San Miguel syarikat asing,” katanya.

Penjualan berkenaan yang dijangka selesai dalam masa enam bulan, tertakluk kepada kelulusan tiga kementerian utama.

Kelly berkata beliau telah bercakap dengan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed berhubung perkara itu.

“Bos saya (Pengerusi dan Ketua Eksekutif ExxonMobil Corp Rex Tillerson) telah berbincang dengan Perdana Menteri (yang juga Menteri Kewangan Datuk Seri Najib Tun Razak) mengenai penjualan itu,” katanya.

Sehingga kini, respons daripada menteri-menteri dan pihak berkuasa menggalakkan, memandangkan urusniaga adalah daripada syarikat asing kepada entiti asing yang lain, dan diharapkan proses penjualan dapat dijalankan dengan lancar.

“Kami kini dalam proses memuktamadkan dokumen untuk dikemukakan kepada ketiga-tiga kementerian,” katanya.

Kelly menolak dakwaan bahawa ExxonMobil akan membuka semula proses bida disebakan oleh tekanan daripada kerajaan Malaysia dan syarikat tempatan.

“Pertimbangan yang adil dan sewajarnya telah dilaksanakan dan San Miguel muncul sebagai pemenang,” kata beliau dan menambah yag kedua-dua pihak telah menandatangani perjanjian jual beli.

Mengenai isu yang syarikat Malaysia akan jatuh ke tangan syarikat yang mengeluarkan bir, Kelly berkata situasi berkenaan benar beberapa tahun lepas.

“Syarikat itu kini merupakan sebuah konglomerat dan perniagaan mereka pelbagai ke dalam banyak segmen.

“Pada masa ini, syarikat memperoleh hasil kebanyakannya daripada perniagaan bukan makanan dan minuman yang jelas mencerminkan hasrat syarikat membersihkan imejnya sebagai syarikat pengeluar bir,” katanya.

sumber...TMI