Coretan politik,sosial,ekonomi,agama dan lain lain lagi di Malaysia dan seluruh dunia. Sumber dari semua capaian internet. email greenblacks8@gmail.com
Followers
Friday, August 5, 2011
Jais serbu gereja: PAS Selangor tuntut penjelasan Hasan Ali
PAS Selangor menuntut penjelasan exco kerajaan Selangor Dr Hasan Ali yang mempertahankan serbuan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) terhadap sebuah gereja di Petaling Jaya.
Timbalan Pesuruhjaya PAS negeri Khalid Samad berkata pihaknya tidak dapat mengulas lanjut buat masa ini sehinggalah laporan berkaitan diperoleh terlebih dahulu.
“Kita harap ada kebijaksanaan dalam isu seperti ini. Kita simpan komen akhir sehinggalah dapat laporan JAIS dan mesyuarat dewan bersama Hasan Ali untuk dapatkan penjelasan lanjut lagi.
“Kita nak tengoklah apa bukti yang dia kata ada itu,” katanya dalam satu sidang media di pejabatnya di Shah Alam hari ini.
JAIS sebelum ini memberi alasan terdapat bukti penyebaran agama bukan Islam terhadap penganut agama Islam.
Setakat ini, “kecuali satu” pihak, tiada mana-mana pihak yang mengaitkan persoalan pengembangan agama bukan Islam terhadap penganut Islam, tambah Khalid.
Bercakap dalam sidang media di pejabatnya di Shah Alam hari ini, Khalid menegaskan, Islam menegaskan bahawa prinsip bahawa rumah ibadat mesti dihormati tidak kira apa agamanya sekali pun.
“Kalau hadir, (Datuk Seri) Najib (Razak) pun pergi ke Vatican bertemu Pope. Itu sebesar-besarnya gereja di dunia,” katanya sambil berhujah tindakan itu tidak boleh dijadikan kesimpulan sebagai proses memurtadkan Islam.
Tindakan tak beretika
Bagaimanapun, tegasnya, tindakan “masuk tanpa waran dan tanpa kebenaran” ke tempat suci tersebut haruslah dielakkan kerana ia juga dikira isu sensitif yang boleh menimbulkan salah faham dan ketegangan antara kaum.
“(Insiden) ini hasil didikan dan pentarbiayahan BN selama ini. Nak tunjuk kuat, ramai, ada kuasa. Tetapi lebih penting tunjuk akhlak dan keperibadian mulia dan mampu hormati satu sama lain,” katanya.
“Saya baru balik dari Gaza. Di Gaza Israel ceroboh masjid ikut suka, kita bantah. Kita ada perasaan begitu. Saya rasa orang agama lain pun ada perasaan, pandangan sama. Pada pandangan PAS, tempat ibadat perlu dihormati,” katanya.
Berhubung serbuan JAIS kelmarin, Khalid berhujah, sekiranya terdapat individu melarikan diri sekali pun ia tidak bermaksud melakukan perbuatan salah.
“Biasalah, bila rempuh orang akan cuba lari. Mungkin dia rasa duduk (situ) pun kesalahan, (jadi) dia takut,” kata Khalid yang juga anggota parlimen Shah Alam.
Sementara itu, Setiausaha PAS Selangor Khairuddin Othman pula menyifatkan tindakan JAIS itu sebagai tidak beretika dan kurang sopan.
“Pengalaman dulu JAIS pernah masuk surau dan masjid secara kurang beretika. Tetapi itu zaman dulu, tetapi terbawa (hingga sekarang) mungkin,” katanya.
sumber...malaysiaKini
Label:
gereja,
Hasan Ali,
jais,
Pas Selangor