Followers

Monday, August 1, 2011

"Senyum hotak kamu": Anwar Ibrahim


Pakatan janji permit teksi individu

Pakatan Rakyat sedia meluluskan sepuluh tuntutan bagi memperbaiki taraf hidup pemandu teksi, termasuk menghentikan pemberian permit kepada syarikat, kata Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Bagaimanapun, golongan pemandu teksi juga perlu berusaha bagi membolehkan Pakatan Rakyat membentuk kerajaan, kata Anwar yang diuar-uarkan sebagai “bakal perdana menteri” dalam pertemuan pemandu teksi itu.

"Saya tidak boleh janji nak beri mahligai kepada setiap orang, tapi saya boleh janji kereta yang saudara pandu itu, saudara ada hak ke atasnya.

"Saya beri komitmen, saya akan laksanakan. Tapi saudara saudari juga perlu pastikan perubahan berlaku.

"Kena teguh bekerja, barulah agenda kita akan berjalan," katanya lagi kepada hampir 500 orang yang hadir di majlis perhimpunan pemandu teksi Kuala Lumpur dan Selangor.

Jelasnya, pemandu teksi perlu menjadi ejen Pakatan dengan menjelaskan dasar-dasar gagasan itu dan mengedarkan lidah parti Pakatan – Harakah, Suara Keadilan dan Roket – kepada pelanggan mereka.

Sepuluh resolusi yang diluluskan dalam pertemuan itu termasuk tuntutan supaya kerajaan meluaskan skim keselamatan sosial pekerja (Perkeso) serta meminda perjanjian sewa beli di antara pemandu dan syarikat teksi.
Turut dinyatakan dalam resolusi berkenaan ialah tuntutan supaya kerajaan merangka skim insurans dan pencen serta skim pinjaman perumahan persendirian khas bagi golongan pemandu teksi.

'100 permit untuk bekas menteri'

Kumpulan pemandu teksi berkenaan turut menuntut supaya kadar premium insurans bagi kenderaan teksi disemak semula agar sesuai dengan kemampuan pemandu teksi.

Anwar berjanji bahawa beliau akan menyemak semula perjanjian yang dibuat antara syarikat teksi dan pemandu supaya pihak syarikat tidak dapat lagi menyewakan teksi mereka kepada kira-kira 30,000 pemandu berkenaan.

"Kita nak tengok datuk-datuk dan tan sri-tan sri ini pula kerja bawa teksi," kata bekas timbalan perdana menteri itu lagi yang menambah, isu berhubung permit teksi sememangnya menjadi masalah sejak beliau masih di dalam kerajaan.

Tanpa menamakan sesiapa, Anwar mendakwa seorang bekas menteri juga telah diberikan sebanyak 100 permit teksi walaupun individu berkenaan telahpun menerima saham dalam syarikat bumiputera.

Keadaan itu memeritkan golongan pemandu teksi yang terpaksa menyewa teksi daripada syarikat berkenaan.

"Tapi menteri suruh (pemandu teksi) senyum. Macam mana nak senyum, bini duduk gaduh barang makan tak cukup.

"Senyum hotak kamu," katanya lagi yang disahut dengan laungan "hidup datuk seri" daripada hadirin.

Turut berucap dalam majlis anjuran Persatuan Kebajikan Pemandu Teksi Kuala Lumpur dan Selangor itu ialah penasihat DAP Lim Kit Siang, exco kerajaan Selangor Ronnie Liu dan juga ADUN Kampung Tunku Lau Weng San.

Sepuluh tuntutan berkenaan dirangka oleh penasihat undang-undang bagi majlis berkeanaan yang juga peguam bagi kumpulan pendesak Hindraf – R Kengadharan dan V Ganabatirao.

sumber...malaysiaKini