Followers

Tuesday, December 11, 2018

Cari Kerja di Australia: 8 Rakyat Malaysia Dicekup Polis



Lapan rakyat Malaysia ditahan di Australia berikutan kes eksploitasi pekerja

Pihak berkuasa menahan lima rakyat Malaysia yang dikatakan terbabit dalam sektor pertanian ketika serbuan pertama di Torrensville, pinggir bandar Adelaide, selatan Australia.

 Pihak berkuasa Australia menahan lapan rakyat Malaysia susulan serbuan di dua lokasi berbeza oleh Pasukan Kawalan Sempadan Australia (ABF) pada Isnin lalu.

Memetik laporan portal berita negara tersebut, news.com.au melaporkan pihak berkuasa menahan lima rakyat Malaysia yang dikatakan terbabit dalam sektor pertanian ketika serbuan pertama di Torrensville, pinggir bandar Adelaide, selatan Australia.

Dua daripada lima yang ditahan itu pula turut disyaki terbabit dalam pengurusan sebuah sindiket eksploitasi pekerja di negeri New South Wales.

Kesemua mereka yang ditahan itu ditempatkan di depoh tahanan imigresen sementara menunggu untuk dihantar pulang ke Malaysia.

Pada hari yang sama juga, pegawai ABF turut menyerbu sebuah hartanah yang terletak di Euston, New South Wales, di mana tiga lagi rakyat Malaysia ditahan.

Komander ABF, James Copeman berkata, serbuan tersebut merupakan sebahagian daripada Operasi Battenrun yang dijalankan secara berterusan dengan menyasarkan pekerja asing tanpa izin dan penipuan migrasi terancang.

“Sama ada di bandar atau luar bandar, sindiket eksploitasi pekerja asing tanpa izin ini akan akan sentiasa dikenalpasti dan ABF akan mengambil tindakan terhadap individu yang merancangnya.

Pekerja haram mudah menjadi sasaran serta sering dibayar gaji rendah dan mendapat layanan teruk,” jelasnya memetik laporan portal tersebut.

Dalam pada itu, portal berkenaan turut menjelaskan bahawa serbuan yang dilakukan tersebut tiada kaitan dengan siri tangkapan sama pada Ogos lalu, di mana seorang lelaki Thailand dan dua warga Malaysia ditahan.

sumber...Akmal Aziz  K! ONLINE

Sunday, December 9, 2018

Dyana Sofya dan Zairil Sah Jadi Suami isteri



Bekas calon DAP pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Teluk Intan 2014, Dyana Sofya Mohd Daud, mengakhiri zaman bujangnya apabila melangsungkan perkahwinan dengan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bungah, Zairil Khir Johari.

Majlis resepsi perkahwinan pasangan itu diadakan di Kelab Golf Diraja Perak di sini hari ini.

Terdahulu, Zairil, 36, yang juga EXCO Kerja Raya, Utiliti dan Tebatan Banjir Pulau Pinang dan Dyana, 31, melangsungkan pernikahan mereka di lokasi sama semalam.

Pasangan itu bertunang pada Mac lalu dengan majlis berkenaan diadakan di sebuah hotel di sini, yang diserikan kehadiran kira-kira 1,300 jemputan termasuk tetamu kenamaan, ahli keluarga dan kenalan rapat.

Hadir memeriahkan majlis itu adalah Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu; Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari; Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah dan Penasihat DAP, Lim Kit Siang.

Pasangan itu sebelum ini terpalit dengan kontroversi selepas beberapa keping gambar intim mereka tersebar di laman sosial pada Oktober 2014, namun dinafikan pasangan terbabit.

Pasangan itu sekali lagi menjadi perhatian pada April tahun lalu selepas klip video dua individu yang didakwa sebagai mereka, menari mesra, turut viral di laman sosial.

Zairil sebelum ini sudah berkahwin, namun mengikut maklumat yang turut viral di media sosial, sudah bercerai Oktober tahun lalu tetapi tidak dapat dipastikan kesahihannya.

Oleh:  Mohd Hafizee Mohd Arop NSTP

Saturday, December 8, 2018

Dr M Berkias: 'Malaikat' Pun Boleh Buat Silap



Bukanlah A'zazil dulu penghulu kepada sekelian malaikat?

Nah ,betullah kiasan Tun M, cuma orang yang gagal paham dan kaki spin jer tidak berani ngaku ...

Tidakkah Allah telah jelaskan dalam al Quran A'zazil itu menjadi Shaitan kerana sombong dan bongkak...

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad mempertahankan Pakatan Harapan (PH) berhubung kritikan ia membuat 'pusingan U' dalam dasar dan manifestonya.

"Ada kala kami ambil jalan yang salah dan kami patah balik, tetapi bila perlu sahaja.

"Kami bukan sempurna... Tetapi malaikat (angels) pun boleh buat silap.

"Dan bila malaikat buat silap, mereka patah balik," katanya secara berkias dalam sidang media selepas mesyuarat Majlis Presiden PH di ibu pejabat Bersatu di Petaling Jaya, hari ini.

PH dihujani kritikan ekoran caranya menangani beberapa janji manifestonya sejak menjadi kerajaan.

Isu terbaru adalah berkenaan skim baru pembayaran pinjaman PTPTN yang dirancang untuk dilaksanakan Januari tahun depan, tetapi telah ditangguh.

Mengulas perkara itu, beliau berkata kerajaan akan mengubahsuai skim itu selepas mendapatkan pandangan pihak awam.

'Tiada rombakan kabinet'

Dalam pada itu, Mahathir memaklumkan tidak akan ada rombakan kabinet dalam masa terdekat.

"Maaf, tiada rombakan kabinet, jadi anda tak ada peluang," selorohnya ketika ditanya pemberita tentang kemungkinan perkara itu.

Turut hadir dalam sidang media itu adalah Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Presiden PKR Anwar Ibrahim dan beberapa menteri lain.

Pada November lalu, timbul desas-desus tentang rombakan kabinet selepas Mahathir dalam satu wawancara berkata beliau terbuka dengan idea itu selepas pemilihan PKR.

Sejak penubuhan kabinet, sesetengah menteri menerima banyak kritikan daripada orang ramai - antaranya Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri P Waytha Moorthy.

Maszlee dikritik kerana beberapa pengumumannya - seperti penukaran warna kasut kepada hitam dan penggunaan kolam renang di hotel untuk pelajar - manakala Waytha berkenaan isu Icerd.

sumber...mKini

Thursday, December 6, 2018

Salahuddin Ayub Diugut Bunuh

 

Lembu punya isu, Salahuddin diugut bunuh

 Anggota parlimen Pakatan Harapan (PH) hari ini berkumpul di lobi parlimen mengecam tindakan pihak yang didakwa mengugut dan mengancam nyawa Menteri Pertanian Industri Asas Tani Salahuddin Ayub.


Dalam sidang media hari ini, Timbalan Menteri Sumber Manusia Mahfuz Omar berkata, ugutan seumpama itu tidak seharusnya wujud.

Ini kerana, katanya, pentadbiran baru PH sangat terbuka dan sedia berbincang.

"Kalau tak puas hati pentadbiran atau tugas oleh kami semua, datang berjumpa, tapi jika lembu mati kemalangan nak disalahkan menteri pertanian, ia sesuatu yang tidak wajarlah.

"Kalau lihat macam ini, lembu mati kemalangan, takkanlah lembu mati kemalangan dia nak marah menteri pertanian, serah kepada polis untuk ambil tindakan," katanya.

Semalam, Salahuddin menerima bangkai lembu berserta nota ugutan bunuh di hadapan pusat khidmat masyarakat DUN Simpang Jeram di Johor.

Nota tersebut bertulis; "kepada YB Salahuddin, lembu aku mati kena langgar, engkau aku bunuh, engkau tak ada otak."

Susulan itu, polis dilaporkan menahan seorang lelaki yang dipercayai merupakan individu yang bertanggungjawab meletakkan bangkai lembu di hadapan pusat khidmat Salahuddin.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Johor Senior Asisten Komisioner Kamaluddin Kassim dipetik Harian Metro sebagai berkata, siasatan awal mendapati suspek tidak berpuas hati apabila permohonannya untuk meminta bantuan dari Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, ditolak.

Bagaimanapun, beliau enggan memberikan perincian lanjut kerana kes masih sedang disiasat. Suspek direman sehingga Jumaat ini.

Sementara itu, timbalan menteri pertanian, Sim Tze Tzin yang turut mengecam ugutan terhadap Salahuddin itu berkata, anggota parlimen PH tidak akan rasa gentar dengan taktik jenayah.

"Hari ini kami ahli-ahli parlimen berkumpul untuk mengecam tindakan sesetengah pihak atau kumpulan yang ugut nyawa seorang menteri kabinet.

"Kes ini serius sebab mengancam keselamatan seorang menteri, jika pihak tidak bertanggungjawab ingin guna ugutan nyawa untuk menakut-nakutkan pegawai, mereka silap besar.

"Kami ahli parlimen dan kerajaan PH ingin hantar satu mesej jelas kepada rakyat bahawa kita tak rasa gentar pun dengan taktik jenayah dan kami akan terus menjalankan tugas secara jujur dan profesional," katanya.

Oleh: Yasmin Ramlan mKini

Sunday, December 2, 2018

Amaran Rafizi: Usah Biar Episod Tabung Haji Berulang




Bekas naib presiden PKR Rafizi Ramli berkata dia akan tetap bersuara dan mengkritik kerajaan - walaupun Pakatan Harapan (PH) - dan meminta orang ramai menilainya berdasarkan fakta.

Kata Rafizi hal itu kerana pembongkaran dan kritikan sama pernah dibuatnya semasa BN masih berkuasa.

Malah katanya dia juga sudah didakwa, dibicarakan dan dihukum penjara atas pendedahan yang dibuatnya sebelum ini.

"Kalau saya sanggup ke penjara sebelum ini (kerana) bersuara mengenai Tabung Haji walau diserang hebat, isya-Allah saya berkemampuan untuk terus bersuara sekarang," katanya dalam satu kenyataan semalam.

Menurut bekas anggota parlimen Pandan itu pada masa sama dia berharap rakyat lebih terbuka untuk mendengar dan meneliti apa yang didedahkan berdasarkan fakta.

"Saya hanya berdoa rakyat dan penyokong tegar parti (sama ada PH, Umno atau PAS) lebih terbuka meneliti setiap fakta," katanya.

Rafizi berkata demikian selepas Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) membuat aduan polis ke atas beberapa bekas pegawai kanan badan itu, termasuk pengerusi Kelab Putera 1Malaysia Abdul Azeez Abdul Rahim, serta bekas ketua pegawai eksekutifnya, Ismee Ismail.

Bersekongkol beramai-ramai

Pendedahan Rafizi mengenai Tabung Haji dibuat sejak beberapa tahun lalu dan dia dikecam pelbagai pihak kerana didakwa memfitnah agensi yang sensitif kepada orang Islam di negara ini.

Antara pihak yang mengkritik Rafizi pada ketika itu ialah Jamil Khir Baharom yang menjadi menteri di Jabatan Perdana Menteri pada era BN memerintah.

Pada 8 April 2016 mengaku tidak bersalah menyiarkan tulisan di akaun Facebooknya - bertarikh 9

Feb 2016 - kerana didakwa mengandungi tohmahan terhadap Tabung Haji dan boleh merosakkan nama baik perbadanan itu.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di Tingkat 18, Bangunan Tabung Haji di Jalan Tun Razak Kuala Lumpur pada 18 Feb 2016.

Rafizi didakwa mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pada 25 Sept lalu mahkamah majistret di Kuala Lumpur memerintahkan Rafizi membela diri terhadap tuduhan menyiarkan artikel mengandungi tohmahan terhadap Tabung Haji, dua tahun lalu.

Kata Rafizi orang ramai mesti memastikan apa yang berlaku pada Tabung Haji tidak diulangi pada masa depan.

Menurutnya penyelewengan dana Tabung Haji itu berlaku apabila ada pihak beramai-ramai bersekongkol menyembunyikan kerosakan dan menidakkan kebenaran.

Katanya walaupun fakta yang dikemukakan jelas ia tidak diterima ramai hanya disebabkan ia dibawa oleh seseorang yang berada di pihak lawan.

"Jangan kerana pembongkaran itu datang daripada seorang pemimpin parti lawan, fakta yang dibawa ditolak bulat-bulat dan dibalas dengan satu ungkapan mudah: ni semuda fitnah.

"Saya akan terus meneliti setiap kes berdasarkan fakta dan ilmu yang ada pada saya.

"Walaupun sepatutnya tanggungjawab meneliti prestasi kerajaan persekutuan dipikul oleh pembangkang iaitu Umno dan PAS, saya akan tetap meneliti dan bersuara," katanya.

sumber...mKini