Followers

Thursday, October 27, 2011

‘Datuk Mohd Shah’ Singapura Tipu Hampir RM1juta

Siapa Gerangan Datuk Ahmad Shah?

JOHOR BARU, 27 Okt ― Seorang warganegara Singapura dikenali sebagai “Datuk Mohd Shah” ditahan Jumaat lalu kerana dipercayai menipu seorang ahli perniagaan warga tempatan membabitkan kerugian berjumlah RM946,560.

Lelaki itu ditahan di rumahnya di Jalan Setia Tropika di sini bersama-sama isterinya yang merupakan warganegara Malaysia berikutan empat laporan polis yang dibuat ahli perniagaan berusia 42 tahun itu pada 14 Oktober lalu.

“Siasatan awal kita mendapati lelaki warga Singapura ini tiada gelaran Datuk,” kata Pemangku Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Johor Supt Mohd Luthfi Ismail Abdullah dipetik Bernama Online.

Katanya suspek berusia 58 tahun itu yang tidak mempunyai rekod jenayah lampau didakwa menawarkan kepada pengadu bantuan mendapatkan lesen senjata api, kontrak membina longkang, nombor pendaftaran kereta WWW 1 bersama kelulusan cermin gelap dan kelulusan pinjaman RM5 juta.

Pengadu mendakwa telah membayar RM946,560 kepada suspek untuk khidmat menguruskan tawaran-tawaran tersebut, katanya.

Katanya kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan jika sabit kesalahan, boleh dipenjara sehingga 10 tahun dan disebat dan boleh juga didenda.

Percaya ramai lagi yang telah menjadi mangsa lelaki itu, Mohd Luthfi meminta mereka tampil untuk membantu siasatan.

Beliau menasihati orang ramai agar tidak mudah diperdaya dengan cara penipuan yang dilakukan ini sebaliknya menggunakan prosedur atau saluran yang betul melalui agensi-agensi yang telah ditetapkan untuk mendapatkan kelulusan sesuatu perkara.

Kata beliau, sekiranya ada keraguan laporkan terus kepada Jabatan Siasatan Jenayah Komersil IPK Johor di talian 07-2254656 atau mana-mana balai polis.

sumber...TMi