Followers

Saturday, October 8, 2011

Bajet 2012 Gula-Gula PRU BN, Gagal ‘Jaga’ Semua Lapisan



SHAH ALAM, 8 Okt — Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat Azmin Ali menyifatkan Bajet 2012 sebagai ‘gula-gula’ yang amat jelas bagi Barisan Nasional (BN) untuk meraih sokongan pengundi dalam pilihan raya umum ke-13 tetapi gagal menawan hati semua lapisan rakyat.

“Tidak dapat dinafikan ini adalah bajet pilihan raya, tetapi Pakatan Rakyat (PR) telah bersiap sedia dan melaksanakan tanggungjawab kepada rakyat dengan melancarkan bajet Pakatan,” kata beliau sambil mengulas ketidakadilan kerajaan terhadap golongan swasta.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak membentangkan Bajet 2012 dengan peruntukan RM232.8 bilion.

“Kita tidak menolak kepentingan kakitangan awam kepada kemajuan negara, sumbangan perkhidmatan awam amat penting, namun begitu tumpuan juga harus diselaraskan kepada semua pihak seperti kita lihat dalam pembentangan hari ini (semalam), tidak ada insentif untuk kakitangan swasta,” jelas beliau.

“Untuk menjana ekonomi, Najib seharusnya memberi keadilan kepada kedua-dua sektor, bukan hanya mengutamakan sebelah pihak untuk diberikan gula-gula pilihan raya dan hanya memberikan tumpuan kepada kumpulan sasaran mereka,” ujarnya lagi.

“Justeru, pertimbangan saksama seharusnya diberi perhatian, terutamanya kepada masyarakat berpendapatan rendah berikutan peningkatan kos sara hidup pada masa kini,” tambah beliau.

Menjelaskan berkenaan keadaan defisit, Azmin (gambar) berkata, Bajet 2012 kerajaan pusat masuk tahun ke-14 dengan mengekalkan amalan tersebut yang dilihatnya sebagai ancaman dalam pembangunan ekonomi negara.

“Masalah fenomena ekonomi global masa kini menuntut pengurusan kewangan tidak dapat dijalankan dalam keadaan bajet berhemah, namun beberapa kaedah harus diberi perhatian seperti kaedah pentadbiran yang cekap, tata kelola yang baik, mengelak ketirisan, dan pengurusan yang cekap, tetapi Perdana Menteri tidak membentangkan perkara ini sewaktu pembentangan bajet,” katanya yang juga Ahli Parlimen Gombak.

“Kerajaan menyasarkan kutipan hasil tahun hadapan berjumlah RM186 bilion tetapi RM181 bilion akan digunakan untuk operasi mengurus manakala baki 50 bilion ringgit akan digunakan untuk tujuan pembangunan,” ujarnya.

Menurut beliau, amalan tata kelola yang baik seharusnya meletakkan bajet pembangunan melebihi bajet bagi perbelanjaan pengurusan tetapi peruntukan bajet kali ini melihatkan peruntukan pengurusan itu melebihi 70 peratus daripada pembangunan.

Peruntukan pengurusan yang melebihi pembangunan akan menjejaskan pendapatan dan ekonomi negara, seterusnya masalah defisit negara tidak akan dapat ditangani.

Azmin melihat pemansuhan yuran persekolahan adalah sesuatu yang amat penting, namun begitu keutamaan seharusnya diberikan kepada pembangunan infrastruktur asas institusi itu sendiri.

“Ini tidak cukup, pendidikan merupakan pelaburan jangka panjang untuk negara, oleh itu, perhatian seharusnya diberikan kepada pembangunan kemudahan asas infrastruktur tersebut, apa yang dapat dilihat, pendemokrasian pendidikan itu tidak wujud dalam pentadbiran Umno-BN, sebaliknya hanya kontrak-kontrak untuk kepentingan kroni,” jelasnya.

“Tiada guna sekiranya kita berikan mereka komputer percuma jika kemudahan asas seperti air bersih dan bekalan elektrik tidak dapat disalurkan kepada sekolah-sekolah ini, terutamanya sekolah di kawasan pedalaman yang masih banyak lagi tidak menerima kemudahan tersebut,” tegasnya.

Mengulas isu gaji minimum untuk rakyat, beliau menjelaskan, adalah penting untuk negara yang mengamalkan konsep ekonomi domestik seperti Malaysia memperkukuh dan merancakkan perbelanjaan dalam negara.

“Lebih 60 peratus ekonomi Malaysia berasaskan aktiviti eksport dan sekiranya ekonomi domestik negara tidak kukuh, prestasi ekonomi akan terjejas dan keupayaan berbelanja dan menyimpan rakyat menjadi terhad,” ujarnya lagi.

Sehubungan itu, penetapan gaji minimum, menurut beliau, adalah perlu bagi meningkatkan kuasa beli pengguna.

Oleh yang demikian, katanya, bajet Pakatan Rakyat mengenai gaji minimum bakal menjanjikan keselesaan kepada rakyat dan beliau melihat kerajaan pusat gagal melaksanakan perkara itu ketika pembentangan bajet semalam.

“Bagaimana rakyat nak berbelanja sekiranya pendapatan mereka lemah?” katanya.

Oleh yang demikian, beliau meminta agar rakyat melihat secara komprehensif tentang bajet yang dibentangkan dan tidak hanya memfokus kepada satu dua perkara yang dilihat sebagai gula-gula pilihan raya BN.

sumber...TMi