Hampir 10 bulan mentadbir negara, kerajaan Pakatan Harapan menghadapi
pelbagai kritikan bukan saja dari pembangkang yang sudah tentu perkara
itu pasti berlaku, tetapi lebih penting ialah suara tidak puas hati
dalam kalangan penyokong mereka sendiri.
Dalam keadaan ini, ada 4 reaksi yang timbul dalam kalangan penyokong
PH. Pertama, mereka yang terus kecewa dengan kerajaan PH dan berazam
untuk mengundi menolak gabungan itu, pada pilihan raya umum ke-15.
Kedua, mereka yang kecewa dan mengkritik kerajaan PH, tetapi kekal
mendokongnya dengan harapan pemimpinnya akan memperoleh jalan untuk
mengatasi segala kritikan yang mereka hadapi.
Ketiga, pendokong PH yang bukan saja teguh mendokong gabungan parti
itu, tetapi lebih penting ialah memahami masalah kerajaan PH dalam
mentadbir negara. Mereka percaya pada keseluruhannya negara berada dalam
keadaan lebih baik.
Keempat, golongan yang kecewa bukan saja pada PH dan pembangkang
tetapi keseluruhan keadaan negara ini. Dengan mengambil kira sikap
rakyat yang kurang dalam pada gaya pemikirannya, mereka tidak
mengharapkan sebarang pembaikan pada negara ini. Mereka pesimis dan
percaya tidak ada pembaharuan yang boleh dilakukan oleh sesiapapun, sama
ada PH atau pihak lain. Ini kerana keadaan rakyat negara ini yang
berminda sebegitu rupa.
Dalam keadaan ini bagaimanapun, terdapat 3 realiti yang berlaku
selepas PRU14. Realiti yang kurang disebutkan atau terfikir oleh
penyokong PH, termasuk golongan kecewa itu.
Tiga realiti itu ialah,
pertama perjalanan negara, termasuk
pentadbiran kerajaan, walaupun menghadapi pelbagai cabaran tetapi tetap
berjalan lancar. Negara berada dalam keadaan aman dan selamat.
Undang-undang bukan saja terus berkuatkuasa tetapi pelaksanaannya
ditingkatkan apabila banyak daripada mereka yang disyaki melakukan
penyelewengan dibawa ke mahkamah. Rakyat masih boleh meneruskan
kehidupan seharian, bekerja, belajar, berniaga dan mengamalkan anutan
agama masing-masing.
Ia bererti walaupun kerajaan berubah, perjalanan negara tidak
terjejas. Sistem politik Malaysia diuji dan sistem raja berperlembagaan
dan demokrasi berparlimen berfungsi dengan baik. Enam puluh tahun lebih
pemerintahan Umno melalui Perikatan dan Barisan Nasional tidak berakhir
dengan kacau-bilau. Rakyat negara ini boleh hidup tanpa Umno. Ini
merupakan realiti utama.
Realiti kedua, perbezaan polisi antara PH dan BN. Selepas 10 bulan,
perbezaan adalah jelas tetapi ia tidak dipandang sedemikian oleh banyak
warganegara. Ungkapan seperti “PH dan BN sama saja” menyembunyikan
realiti ini. Mereka yang berfikiran sedemikian menggambarkan pemikiran
keupayaan ahli politik PH dan BN adalah serupa. Maknanya kerajaan PH
tidak akan dapat menyelesaikan masalah negara yang gagal ditangani oleh
BN. Maknanya BN dan PH adalah serupa saja. Tidak ada kelebihan ketokohan
pemimpin PH, berbanding BN. Maknanya segala perubahan kerajaan yang
berlaku pada 9 Mei tahun lalu adalah sia-sia. Ia hanya penggantian
kepimpinan.
Tetapi realitinya tidak demikian. Walaupun kerajaan PH belum dapat
melaksanakan semua janji pilihan rayanya. Tetapi dari hari pertama, ia
melunaskan sebahagian manifestonya. Sementara yang lain pula sedang
dilaksanakan secara berperingkat, termasuk mengenai tol. Tetapi sikap
dan usaha ini tidak dihargai oleh penyokong pembangkang termasuk
golongan kecewa PH. Malah mereka turut menyertai laskar maya Umno
memperli usaha kerajaan. Mereka sudah mencapai tahap kebencian pada PH
hingga enggan untuk mendengar penjelasan dengan kepala dingin.
Polisi PH dan BN mepunyai asas berbeza. Pemahaman mengenai demokrasi
menjadikan keduanya berbeza. Tetapi rakyat umum kurang tertarik pada
soal demokrasi. Keutamaan pada rakyat umum adalah kebajikan yang mereka
mahu nikmati. Demokrasi hanya dilihat sebagai alat supaya mereka dapat
menikmati kemakmuran hidup.
Selain kemakmuran, apa yang mereka kehendaki ialah maruah bagi kaum
dan agama mereka. Pembangkang akan
membesar-besarkan sentimen kaum dan
agama. Apabila rakyat lebih mengutamakan soal maruah daripada idealisme
demokrasi, maka PH dirasakan gagal. Sedangkan maruah kaum dan agama
dalam konteks kemanusiaan adalah lebih baik dapat dicapai melalui
idealisme demokrasi. Rakyat yang tidak faham dan tidak menghargai
demokrasi sukar untuk melihat perkara.
Realiti ketiga ialah kebebasan bersuara dan ekspresi dalam zaman PH.
Minggu lalu terdapat acara mengenai Yaman di Institut Antarabangsa
Tamadun Islam dan Dunia Melayu (ISTAC). Minggu sebelum itu ada Festival
Demokrasi di Publika. Beberapa hari sebelum itu, ada simposium
pendidikan yang mana Menteri Pendidikan, Maszlee Malek menghadapi soalan
dan kritikan daripada peserta.
Sejak 10 bulan lalu, pelbagai acara perbincangan dan perbahasan
diadakan secara terbuka di universiti. Bukan itu saja, banyak juga
kegiatan seni diadakan termasuk pameran lukisan rancak diadakan. Tempat
yang dahulunya disekat daripada menganjurkan acara yang dianggap
mencabar pihak berkuasa tidak dapat diadakan.
Suasana bebas ekspresi ini memeriahkan ruang bicara negara ini.
Walaupun pada masa BN, banyak perkara juga bebas dilakukan, tetapi pihak
yang memegang kuasa ke atas sesuatu tempat melakukan halangan kerana
bimbang kedudukan mereka terjejas. Tetapi lebih penting lagi, pada zaman
PH, orang berasa bebas untuk bersuara bukan saja di media sosial tetapi
melalui perbualan dalam masyarakat.
Mereka tidak berasa gentar. Kalau dulu, acara perbincangan juga ada.
Tetapi suasana politik di bawah BN menyebabkan orang bimbang untuk
bersuara dan berekspresi. Maka keadaan ini digunakan oleh pembangkang
hinggakan banyak orang yang belum biasa dengan suasana keterbukaan ini
mudah terpengaruh.
Malah ada kalangan penyokong PH sendiri menuntut supaya kawalan
bersuara seperti yang berlaku pada zaman BN dikembalikan, dengan tujuan
menyelamatkan kerajaan PH daripada kritikan dan fitnah. Tetapi kerajaan
PH tetap berpegang kepada kebebasan media walaupun menyedari banyak
media arus perdana, baik dalam bentuk cetak mahupun elektronik masih di
bawah pengaruh BN.
Inilah realiti paling penting bagi pemerintahan kerajaan PH. Ia juga
menampilkan apa yang membuatkan PH berbeza daripada BN. Banyak
kalangangan rakyat negara ini tentunya menganggap kebebasan bersuara ini
tidak penting, iaitu kalau dibandingkan dengan soal ekonomi dan
kebajikan.
Tetapi apabila dilihat kesan daripada kritikan dan tekanan oleh
masyarakat terhadap kerajaan PH, maka
ternyata kebebasan bersuara dan
berekspresi ini mendatangkan hasil. Ia memperbaiki pentadbiran kerajaan.
Ia bermakna sistem demokrasi dengan kebebasan bersuara di negara ini
adalah
berkesan.
Namun, rakyat pula perlu meningkatkan kemahiran mereka dalam
menggunakan kebebasan bersuara ini. Ia perlu digunakan untuk kebaikan
masyarakat, dan
bukannya menyebarkan pembohongan dan kebencian. Apatah
lagi untuk melemahkan kerajaan dalam kerjanya untuk rakyat.
Maknanya, apabila mengetahui fakta yang negatif daripada kerajaan,
kritikan yang harus diutarakan wajar untuk membaiki keadaan, bukannya
menimbulkan rasa kebencian dalam masyarakat, bukan saja antara parti
tetapi juga kaum dan agama.
Walaupun apa sentimen seseorang rakyat Malaysia, hakikatnya negara
ini adalah milik semua warga negara tanpa mengira kaum dan agama. Dari
situ semuanya perlu mencari jalan untuk hidup secara harmoni. Dalam
kalangan manusia, tentu ada orang jahat dan tamak. Tetapi ia bukanlah
atas asas kaum atau agama.
oleh: Zin Mahmud