Followers

Tuesday, February 2, 2021

Ebit Lew Henti Bantuan di Semporna, Dakwa Dihalang ke Pulau


 

Pendakwah bebas, Ebit Lew hari ini memaklumkan dia terpaksa menghentikan segala bentuk bantuan kepada penduduk di pulau-pulau Semporna, Sabah.

Dalam catatan di Facebooknya, Ebit berkata ia termasuk ikhtiarnya untuk membina sekolah serta menyediakan ustaz untuk mengajar mereka yang diIslamkannya semalam.

"Sayu hati. Saya minta maaf pada penduduk di pulau-pulau di Semporna yang saya Islamkan. Saya tidak dapat lagi meneruskan misi bantuan. Saya tangguhkan niat bina sekolah.

"Pagi ini, saya dimaklumkan saya tidak dibenarkan untuk ke pulau-pulau di Semporna minta diberhentikan bantuan di sekitar sini.

"Saya diberitahu antara hukuman boleh dikenakan didenda RM100,000 atau penjara tiga tahun," katanya. 

Ebit semalam dilapor membawa satu kampung berjumlah 157 orang dari suku Bajau Laut di Sabah memeluk Islam.

Dalam catatan di Facebooknya, Ebit menceritakan beliau ke Pulau Tatagan di Semporna dalam misi bantuan kemanusiaannya ke Negeri Di Bawah Bayu.

Katanya, kesemua penduduk di kawasan tersebut tinggal dalam bot atau pondok kecil atas laut dan lebih menyedihkan mereka dalam kesusahan, terputus bekalan makanan.

Mengulas lanjut, Ebit berkata pihaknya telah menyediakan barang keperluan bagi pembinaan sekolah yang dijanjikan.

Namun, katanya ia tidak dapat diteruskan.

"Saya minta maaf. Saya terpaksa menangguhkan pembinaan sekolah kecil atau pusat kegunaan masyarakat setempat yang saya rancang.

"Saya dah beli kayu-kayu. Saya dah kumpul tujuh orang guru. Semangat mereka nak mendidik dan menjadi sumber pendapatan mereka. Saya minta maaf ya ustaz dan ustazah semua," katanya.

Bagaimanapun, kata Ebit dia menyerahkan segalanya kepada Allah SWT.

"Tadi ramai menangis sedih termasuk anggota yang patutnya bawa kami ke pulau-pulau.

"Saya terharu sifat baik dan kasih sayang orang Sabah. Macam keluarga sendiri. Sayang semua seperti mereka sayang saya. Saya sayang semua. Saya maafkan semua. Saya tidak berkecil hati, perjuangan diteruskan.

"Saya serahkan segala urusan kepada Allah SWT. Cukuplah kepada Allah SWT orang mukmin itu berserah," tambahnya.

Malaysiakini sedang menghubungi Ebit untuk mendapatkan penjelasan lanjut mengenai pihak yang didakwa menghalangnya ke pulau-pulau berkenaan.

sumber...mKini

Monday, February 1, 2021

Isteri Ahli Politik Didakwa Edar 1.58kg, Tanam Ganja di Rumah


 

Isteri seorang ahli politik hari ini dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ampang di Kuala Lumpur, atas tiga pertuduhan mengedar dan menanam dadah jenis kanabis di rumahnya.

Tiada pengakuan direkodkan daripada Lyiana Roslee, 34, selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Farah Nasihah Anuar, kerana kes melibatkan hukuman mati di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, Lyiana bersama dengan seorang lagi yang masih belum dituduh, didakwa telah mengedar dadah jenis Kanabis anggaran berat 1,580.4 gram dan mengedar cecair jenis dadah sama berisipadu 7.87 liter di sebuah rumah di Duta Residensi, Ampang, di Kuala Lumpur pada 7.30 malam, 20 Jan.

Bagi kedua-dua kesalahan tersebut, suri rumah itu didakwa mengikut Seksyen 39(B)(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama, dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau gantung sampai mati dan jika tidak dihukum mati hendaklah disebat tidak kurang 15 sebatan, jika sabit kesalahan.

Mengikut pertuduhan ketiga, tertuduh bersama dengan seorang lagi yang masih belum dituduh, didakwa menanam sembilan pokok disyaki pokok kanabis di tempat, tarikh dan masa sama.

Dia dituduh mengikut Seksyen 6B(1)(a) akta sama yang boleh dihukum mengikut Seksyen 6(A)(3) dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang daripada enam kali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nor Shazwani Abdullah, manakala tertuduh diwakili peguam Muhammad Rafique Rashid Ali dan Nur Mustanir Md Nor.

Mahkamah menetapkan 16 Feb untuk sebutan semula kes. Tertuduh ditahan di Penjara Kajang.

Bernama sebelum ini melaporkan, seorang ahli politik yang juga ahli perniagaan ditahan, kerana disyaki memproses dan mengedar dadah di Pudu, selain menyerbu rumah suspek di Ampang.

Turut ditahan di dalam serbuan tersebut adalah, isteri serta pembantu rumah suspek.

sumber-  Bernama

Sunday, January 31, 2021

Pendedahan Terbaru: Agong Pernah Cadangkan Wan Azizah Jadi PM Tapi...

 


Agong pernah cadangkan Wan Azizah jadi PM tapi Dr M tak setuju - Thomas

Dr Mahathir Mohamad didakwa campur tangan dan berkeras ingin menjadi perdana menteri sementara selepas Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah mencadangkan Dr Wan Azizah Wan Ismail menyandang jawatan itu, kata Tommy Thomas.

Dalam pendedahan menerusi buku memoirnya My Story: Justice In The Wilderness, bekas peguam negara itu turut menyifatkan Mahathir sebagai punca kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH).

“Punca utama kegagalan hubungan gabungan PH disebabkan pemimpinnya, perdana menteri Mahathir. Pemimpin PH bertanggungjawab atas kegagalan ini," tulis Thomas.

Dia juga menganggap sokongan yang diberikan pelbagai lapisan masyarakat kepada ahli parlimen Langkawi pada peringkat awal kerajaan PH juga sebagai luar biasa.

Selain itu, Thomas mendedahkan tindakan Mahathir menggalakkan anggota parlimen Umno meninggalkan parti itu untuk melompat ke Bersatu juga membimbangkan.

Pada masa sama katanya tindakan Mahathir meminggirkan Presiden PKR Anwar Ibrahim - yang dipersetujui bersama untuk dilantik sebagai perdana menteri kemudiannya - juga tidak disenangi.

“Yang memburukkan lagi keraguan (Anwar) untuk jadi perdana menteri jelas pada tahun pertama pentadbiran PH, ketika hubungan perdana menteri dengan musuh utama Anwar dalam PKR, Azmin Ali.

“Tindak balas PH yang disifatkan tidak aktif dan lambat berhubung isu perkauman dan agama juga membuahkan keputusan pelik dari perdana menteri. 

“Selain mempertahankan rakan sekutunya - yang turut berjuang dalam pilihan raya umum (PRU14) - Tun (Mahathir) malah mempelawa ahli parlimen Umno dan menyambut mereka dengan tangan terbuka.

“(Berlaku) Dua atau tiga gelombang 'katak' dari Umno menyebabkan 18 daripada mereka beralih parti ke Bersatu,” kata Thomas.

Ketika Azmin berpaling tadah dengan meninggalkan PKR dan menyertai Muhyiddin yang membawa Bersatu keluar dari PH, Mahathir meletakkan jawatannya sebagai perdana menteri.

Namun dakwa Thomas, Mahathir segera mencalonkan namanya kembali untuk jawatan perdana menteri ketika berlaku ketidaktentuan politik dalam negara.

Ini bukan satu kebiasaan dalam politik moden. Perdana menteri yang selesa berkuasa, mengundurkan diri atas kehendak dan kemahuan sendiri.

“Bertegas dengan keputusan itu, dia sepatutnya meninggalkan dunia politik selepas memegang jawatan penting dalam negara,” katanya.

Jelas Thomas, keputusan untuk melantik Dr Wan Azizah - yang berkhidmat sebagai timbalan perdana menteri dalam kabinet Mahathir - pasti menjadi keputusan perlembagaan yang betul.

Dia turut mengkritik keputusan Mahathir membubarkan kabinet selepas peletakan jawatannya dengan berkata, barisan pentadbiran itu sepatutnya perlu dikekalkan.

“Perlu diingatkan peletakan jawatan Tun bersifat peribadi, hanya sebagai perdana menteri.

"Jawatan itu tidak dibincangkan dalam pejabat mahupun seluruh kerajaan," katanya lagi.

sumber...mKini

Thursday, January 28, 2021

J-Kom Mula Bekerja, PN Habiskan Cukai Rakyat Bayar Upah ‘Cybertroopers’?

 


Penubuhan semula Jabatan propaganda kerajaan yang dikenali sebagai Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) pernah menjadi isu kontroversi yang paling banyak dibangkitkan orang ramai.

Di Twitter, warganet nampaknya sudah mula mengesan beberapa akaun baru yang didakwa sebagai petugas J-KOM yang sudah mula bekerja.

Mereka boleh dilihat berada di komen-komen Menteri Perikatan Nasional (PN) dengan ayat yang serupa (identical) memuji pentadbiran kerajaan.

Warganet juga mula mempersoalkan sama ada kerajaan menggunakan duit pembayar cukai hanya untuk membayar gaji-gaji cybertroopers.

bayar pakai duit cukai ke kerja ni?,” tanya @shah.

“Guna duit cukai rakyat untuk bayar ‘keyboard warriors’ bukan lagi satu masalah dah ke?,” soal @Kashalia26.

Sementara itu, pengguna akaun @JazliAziz pula berkata, hantaran Tweet yang hampir sama merupakan tanda bahawa akaun palsu itu telah diberi skrip sama.

Dia juga menyertakan beberapa tangkap layar akaun palsu yang didakwa ‘cybertroopers’ kerajaan Perikatan Nasional (PN)

“Nampaknya Cybertroopers PN dah digerakkan dengan menggunakan akaun palsu. Bagaimana saya tahu ia adalah akaun palsu?

“Mereka komen pada tweet lama. Tidak mengikuti saya dan tiada rakan (followers). Mereka dah bergerak pada Oktober (tahun lalu). (Kebanyakan) hanya 4 pengikut dan tidak lain adalah tweet pro-PN,” katanya.

Sebelum ini, seorang bekas pegawai JASA (kini J-Kom) mendakwa, bekas pegawai JASA adalah antara yang terlatih untuk membantu menyebarkan maklumat dasar dan polisi kerajaan, membidas berita palsu serta mampu memberi persepsi yang betul kepada masyarakat.

Dia juga menyifatkan adalah satu kesilapan apabila kerajaan Pakatan Harapan (PH) memansuhkan JASA kerana jabatan itu terdiri dari pegawai terlatih yang mampu mengurus persepsi dengan baik untuk pihak kerajaan

Bagaimanapun lain pula dilihat di Twitter dan ada diantara warganet menegur dan mengharapkan kualiti lebih baik ditunjukkan J-KOM.

@fazyusoff berkata, dengan sejumlah RM45 juta peruntukan untuk jabatan berkenaan, rakyat mengharapkan kualiti yang lebih baik dan kreatif dari J-KOM.

Selain itu, ada juga yang berkata mereka akan mengikut rapat perkembangan kerja jabatan propaganda kerajaan dan memantau pengaliran wang ke J-KOM.

“Kita akan pastikan pengaliran wang J-KOM akan dipantau ketat, oleh Jabatan Audit negara serta rakyat jelata. Nak tahu juga berapa bayaran untuk kerja-kerja bodoh macam ini,” tulis @siMuraiBatu.

sumber...MDLine

Sunday, January 24, 2021

RM35 juta Mungkin Dah Boleh Buat Lebih 6 Buah Masjid, kata DAP

 


Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng mempertikaikan kewajaran kerajaan membelanjakan lebih RM35 juta hanya untuk membina tiga buah dewan di Pagoh, terutama dalam keadaan negara dilanda gelombang ketiga wabak Covid-19.

Beliau berkata, wang berkenaan jika dibandingkan dengan kos pembangunan Masjid, kerajaan sudah boleh membina lebih enam buah Masjid dalam negara.

Ahli Parlimen DAP itu berkata, sebagai contoh adalah pembangunan Masjid di Bandar Baru Kampar, Perak yang hanya berjumlah RM1.9 juta dengan kapasiti mampu memuatkan sehingga 500 orang jemaah.

Justeru beliau menegaskan agar kerajaan mengurangkan segala projek yang tidak penting dan memfokuskan segala usaha agar lebih ramai kelompok yang akan menerima suntikan vaksin virus berkenaan.

“Dengan kemerosotan ekonomi semasa yang disebabkan oleh pandemik Covid-19, kerajaan seharusnya berhati-hati dalam membelanjakan dana awam.

“Dewan komuniti sering dibiarkan kosong dan tidak digunakan secara kerap. Ini bukan kaedah yang produktif untuk menggunakan dana awam, terutama pada masa krisis kesihatan global.

“Maka tidak salah untuk sesiapa pun yang mempersoalkan kebiasaan perbelanjaan Perdana Menteri, kerana wang itu berasal dari dana awam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, PMO dalam kenyataannya berkata, jumlah peruntukan sebanyak RM35.43 juta adalah untuk membina tiga buah dewan, bukan sebuah, dan perolehan projek dibuat mengikut tatacara secara tender yang diluluskan Kementerian Kewangan.

Peruntukan pembangunan tersebut antaranya di Gersik, Tangkak (RM13 juta), Bukit Pasir, Muar (RM16.66 juta) and Bukit Kepong, Muar (RM5.77 juta).

Sementara itu Lim menggesa agar agensi-agensi kerajaan dan bahagian penguatkuasaan yang berkaitan, segera  menyiasat dan menghapuskan keraguan mengenai ketiga-tiga projek tersebut terutama berhubung kaedah perolehan tender berkenaan.

sumnber...MDLine