Followers

Saturday, December 24, 2011

Siapa Pulak "Tibai" Isteri Kawan Sendiri ??



Buat maksiat dengan isteri kawan sendiri
“Saya rela dilokap ustaz. Saya tidak mahu suami saya tahu. Kalau tidak pasti dia marah dengan saya,” rayu seorang wanita yang ditahan kerana berkhalwat kepada Ketua Operasi dan Penguat kuasa Jabatan Agama Islam Pulau Pinang (Jaipp), Khairul Azman Azizan.

Wanita yang sudah 29 tahun berkahwin dan mempunyai tiga anak itu memberi alasan sedemikian ketika Khairul Azman memberitahu perlu menghubungi suaminya untuk ikat jamin.

Dia dan kekasihnya ditahan penguat kuasa Jaipp dalam serbuan di sebuah rumah tumpangan, kelmarin.

Mereka tergamak menipu suami dan isteri masing-masing dan membayar sewa rumah tumpangan yang hanya bernilai RM40 semalam.

Ketika ditahan lelaki itu tidak memakai baju manakala wanita berkenaan hanya memakai kemeja-T dan kain batik.

Lelaki berusia 45 tahun dan sudah dua kali berkahwin itu mengakui mengenali suami wanita berkenaan yang sama-sama bekerja sebagai pengutip barangan lusuh.

Menurutnya, ia adalah kali pertama dia mula mengajak kekasihnya yang berusia 44 tahun itu ke rumah tumpangan.

“Saya kenal suami dia dahulu sebelum kenal dengan dia sejak setahun lalu, tapi ini kali pertama saya ajak dia tidur di rumah tumpangan,” katanya.

Lebih menyedihkan apabila lelaki yang pernah bercerai dan kemudiannya berkahwin lain itu mempunyai isteri muda berusia 25 tahun yang kini sedang hamil lapan bulan.

Sementara itu, wanita yang mempunyai tiga anak berusia antara 27 hingga 16 tahun itu mengakui tidak mempunyai masalah rumah tangga malah suaminya juga bukan seorang yang panas baran.

“Ini kali pertama dan saya akui saya silap, saya memang silap,” katanya sambil mengesat air mata.

Khairul Azman kemudian bertanya bagaimana suami wanitu itu mengizinkannya keluar pada waktu tengah malam.

Wanita itu menjawab dia menggunakan alasan keluar bekerja.

“Jadi suami puan ada di rumah menjaga anak-anak. Kalaulah dia tahu puan di luar dengan kawan dia sendiri, bagaimana perasaannya? Cuba puan bayangkan jika suami puan sekarang berada di luar dengan perempuan lain. Bagaimana rasanya.

“Kerana itulah kita sentiasa harus ingat dengan ungkapan Astaghfirullah, Subhanallah, Allahuakbar,” kata Khairul Azman menasihati wanita itu ketika berada di Pejabat Jaipp.

Kedua-duanya ditahan mengikut Seksyen 27 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Pulau Pinang 1996 atas kesalahan berkhalwat yang boleh dikenakan hukuman denda RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali.

Dalam operasi bermula jam 10 malam hingga 7 pagi itu, seramai tiga lagi ditahan mengikut Seksyen 27 sementara dua pasangan ditahan mengikut Seksyen 29 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Pulau Pinang kerana berkelakuan tidak sopan di tempat awam. Jika sabit kesalahan boleh didenda RM1,000 atau penjara enam bulan.

Hadir sama dalam operasi berkenaan ialah Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguat kuasa Jaipp, Jaafar Ismail dan 14 penguat kuasa.

Berita diatas sangat menyedihkan..Tapi berita di bawah lagi sedih sebab bersangkutan dengan orang ramai bro..
Ini soal kepercayaan,amanah rakyat bro....jangan buat main


Surat terbuka untuk Hasan Ali
Datuk Dr Hasan Mohd Ali sepatutnya musabahkan diri dan bukannya cuba untuk mengeruhkan suasana kepada organisasi yang begitu berjasa kepada beliau dengan diberikan kepercayaan sepenuhnya untuk bersama-sama memimpin bagi memperjuangkan ataupun berjihad demi untuk menegakkan daulah Islamiah di negara yang tercinta ini.

Cuba bertenang dan kenangkan kembali jasa-jasa parti PAS yang telah memberikan ruang dan peluang semasa Datuk Dr Hasan Ali tersepit apabila digamkan oleh RTM dalam program Forum Perdana Islam yang sangat popular di masa itu yang mempunyai jutaan penonton setia setiap hari Khamis malam Jumaat.

Masih ingat lagi di antara yang kena tindakan digamkan daripada menyertai program itu 2 orang lagi tokoh yang tidak asing lagi kepada umat Islam di masa itu ialah Datuk Ismail Kamus dan Datuk Dr Haron Din.
Mereka bukan sahaja dikenakan tindakan tidak dibenarkan untuk berceramah dalam Forum Perdana tetapi apa juga rancangan yang bersabit dengan pemerintah tidak lagi dijemput untuk memberikan syarahan agama.

Lalu ketiga-tiga tokoh agama yang disegani masyarakat Islam ini termasuk Datuk Dr Hasan Ali menjadi ahli PAS dan berjuang di dalam PAS sehingga ketiga-tiga tokoh ini mendapat tempat di peringkat tertinggi di dalam parti dan perjuangan mereka ini sedikit sebanyak telah membantu untuk memenangi hati rakyat menyokong parti PAS kerana ketokohan mereka itu terserlah sebelum masuk PAS lagi.

Datuk Dr Hasan Ali adalah seorang pemimpin yang berwibawa dan mampu memimpin dalam bukan sahaja memperjuangkan agama tetapi juga pakar di dalam segi pengurusan pentadbiran kerana beliau pernah bertugas di dalam sektor kerajaan sebagai pegawai kanan di beberapa kementerian sebelum menjadi pakar motivasi yang terkenal di masa itu.

Tidak hairanlah mengapa parti PAS memberikan jawatan-jawatan penting di dalam parti dan pernah pula menjadi Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri dalam satu masa hanya kerana mahu beliau memperjuangkan Islam melalui parti Islam PAS.

Tetapi kini kami agak sedih dan begitu kecewa kerana Datuk Dr Hasan Ali yang kami bergantung harapkan untuk berjihad kepada menegakkan daulah Islam itu tergamak meluahkan perasaannya menuduh kepimpinan parti PAS sebagai tidak relevan lagi kerana bukan lagi memperjuangkan Islam tetapi telah bertukar arah kepada menjadikan negara ini kepada sebuah negara kebajikan.

Datuk Dr Hasan Ali mesti faham bahawa kebajikan adalah salah satu cabang yang tersangat penting didalam menegakkan dakwah kepada Islam dan itu sebabnya ianya termasuk dalam Rukun Islam yang keempat daripada 5 rukun Islam yang diwajibkan kepada setiap umat yang mengaku dirinya Islam itu.
Umpamanya salah satu cara ialah membayar zakat di mana zakat yang dikutip itu adalah dinamakan juga sebagai kebajikan untuk membantu umat Islam yang kurang bernasib baik.

Dalam Islam pun ada garis panduan yang mesti dipatuhi sebelum pergi ke puncak terlebih dahulu mestilah mempunyai bekalan yang cukup dan ianya termasuklah berkebajikan kepada umat Islam itu sendiri.

Datuk Dr Hasan Ali, seorang tokoh yang mempunyai kelulusan PhD dan dianggap sebagai seorang profesional patut sedar bahawa memburuk-burukkan 'rumahtangga' sendiri yang membantunya semasa susah dan tersepit tidak harus melakukan kesilapan sebegitu.

Janganlah terlalu emosional kerana kalau tidak sebulu lagi dengan kepimpinan parti PAS sebaik-baiknya berundurlah secara hormat dan pilihlah jalan sendiri jika ingin berjuangkan Islam melalui kaedah parti lawan.

Kalau Datuk Dr Hasan Ali keluar dengan secara hormat pemimpin dan ahli PAS semua menghormati juga dengan keputusan itu dan masih menganggap beliau sebagai tokoh tetapi apabila sebaliknya apa yang berlaku berkemungkinan ianya telah menghancurkan harapan kami semua apa yang kami harapkan.
Walau apapun tiada rasa dendam kerana Islam mengajar kami begitu tetapi terguris juga.

Dalam pada itu kami ucapkan selamat maju jaya kepada Datuk Hasan Ali yang mahu berjihad mengikut caranya sendiri dan mungkin melalui parti yang lain beliau ceburi nanti dan akhir sekali ingatlah pepatah ini 'tempat terjatuh lagi dikenang'.

Dari Syed Abdullah Jamalullail, Ampangan, Seremban.