Sesungguhnya Isa itu tidak wafat seperti sangkaan musuh musuh baginda sejak dulu,kini dan selamanya..
Firman Allah Subhanahu wa Ta’ala:
Dan orang-orang (Yahudi yang kafir) itupun merancangkan tipu daya (hendak membunuh Nabi ‘Isa), dan Allah pula membalas tipu daya (mereka); dan (ingatlah), Allah sebijak-bijak yang membalas (dan menggagalkan segala jenis) tipu daya. (Ingatlah) ketika Allah berfirman: “Wahai ‘Isa! Sesungguhnya Aku akan mewafatkan kamu (merehatkan kamu dengan sempurna: mutawaffika), dan akan mengangkatmu (rafi‘uka) ke sisi-Ku.” [Surah Ali ‘Imran 3:54-55]
Firman Allah Subhanahu wa Ta’ala dalam sebuah ayat yang lain:
“Padahal mereka tidak membunuhnya dan tidak memalangnya (di kayu palang - salib), tetapi diserupakan bagi mereka (orang yang mereka bunuh itu seperti Nabi ‘Isa). Dan Sesungguhnya orang-orang yang telah berselisih faham, mengenai Nabi ‘Isa, sebenarnya mereka berada dalam keadaan syak (ragu-ragu) tentang menentukan (pembunuhannya). Tiada sesuatu pengetahuan pun bagi mereka mengenainya selain daripada mengikut sangkaan semata-mata; dan mereka tidak membunuhnya dengan yakin. Bahkan Allah telah mengangkat (rafa‘ahuLlah) Nabi ‘Isa kepada-Nya; dan adalah Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.” [Surah al-Nisa’ 4:157-158]
Kedua, Nabi ‘Isa ‘alaihissalam akan diturunkan semula pada akhir zaman sebagai isyarat akan hampirnya Hari Kiamat. Firman Allah Subhanahu wa Ta’ala:
“Dan sesungguhnya Nabi ‘Isa menjadi tanda kedatangan Hari Kiamat, maka janganlah kamu ragu-ragu tentang (Hari Kiamat) itu, dan turutlah (petunjuk-Ku); inilah jalan yang lurus.” [Surah al-Zukhruf 43:61]
Ketiga, setelah diturunkan pada akhir zaman, kaum Ahli Kitab akan beriman kepada Nabi ‘Isa ‘alaihissalam. Firman Allah Subhanahu wa Ta’ala:
“Dan tidak ada seorang pun daripada kalangan Ahli Kitab melainkan dia akan beriman kepada Nabi ‘Isa sebelum matinya dan pada Hari Kiamat kelak Nabi ‘Isa akan menjadi saksi terhadap mereka.” [Surah al-Nisa’ 4:159]
Ayat di atas menjadi dalil bahawa Nabi ‘Isa ‘alaihissalam belum wafat. Ini kerana sehingga saat ini kaum Ahli Kitab belum beriman kepada Nabi ‘Isa ‘alaihissalam dengan iktikad yang benar melainkan ianya tersasar seperti iktikad trinity dan sebagainya (rujuk surah al-Nisa’, ayat 171). Hanya pada akhir zaman apabila Nabi ‘Isa ‘alaihissalam diturunkan semula kaum Ahli Kitab seluruhnya akan beriman kepada beliau dengan iktikad yang benar. Setelah itu barulah Nabi ‘Isa ‘alaihissalam diwafatkan oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala.
Golongan yang menolak penurunan Nabi ‘Isa ‘alaihissalam mungkin berhujah kembali bahawa ayat-ayat di atas hanya bersifat umum tanpa menyebut penurunan Nabi ‘Isa ‘alaihissalam secara langsung dan jelas. Kita menjawab, inilah faktor yang membezakan antara aliran Ahl al-Sunnah wa al-Jama‘ah dan aliran-aliran lain yang menyelisihinya. Ahl al-Sunnah wa al-Jama‘ah tidak memandang al-Qur’an dan al-Sunnah yang sahih sebagai dua sumber yang berpisah melainkan kedua-duanya saling melengkap, menjelas dan memperinci antara satu sama lain. [lebih lanjut rujuk buku Manhaj al-Istidlal ‘ala Masa’il al-‘Itiqad ‘inda Ahl al-Sunnah wa al-Jama‘ah oleh Syaikh ‘Utsman bin ‘Ali Hasan (Maktabah al-Rusyd, Riyadh 1997)]
Oleh itu seandainya benar ayat-ayat di atas hanya bersifat umum, maka kita akan dapati hadis-hadis Rasulullah shallallahu ‘alaihi wassalam yang sahih lagi mutawatir yang memperjelaskannya. Inilah antara peranan hadis-hadis Rasulullah shallallahu ‘alaihi wassalam sebagaimana firman Allah Subhanahu wa Ta’ala:
“Dan kami turunkan kepadamu (wahai Muhammad) Al-Quran yang memberi peringatan, supaya engkau menerangkan kepada umat manusia akan apa yang telah diturunkan kepada mereka, dan supaya mereka memikirkannya.” [Surah al-Nahl 16:44] [lebih lanjut rujuk buku penulis 20 Hujah Golongan Anti Hadis dan Jawapannya (Jahabersa, Johor Bahru 2000)].
Golongan yang menolak penurunan Nabi ‘Isa ‘alaihissalam mungkin berhujah kembali bahawa ayat 55 surah Ali ‘Imran menyebut perkataan “mewafatkan kamu”, yakni pada firman Allah Subhanahu wa Ta’ala:
“Sesungguhnya Aku akan mewafatkan kamu (merehatkan kamu dengan sempurna: mutawaffika), dan akan mengangkatmu (rafi‘uka) ke sisi-Ku.” [surah Ali ‘Imran 3:55]
Perkataan “mewafatkan kamu” tidak lain bererti mematikan atau mencabut nyawa daripada jasad Nabi ‘Isa ‘alaihissalam. Demikian dakwa golongan yang menolak penurunan Nabi ‘Isa ‘alaihissalam.
Dakwaan ini dapat kita tolak dengan penjelasan bahawa perkataan mutawaffika memiliki dua erti, pertama ialah mematikan manakala kedua ialah merehatkan atau menidurkan. Malah kata akarnya memiliki pengertian “sempurna”. [Syaikh Muhammad Quraish Shihab – Tafsir al-Mishbah (Lentera Hati, Djuanda 2000), jld 2, ms. 97] Sebagai contoh sila rujuk ayat 60 surah al-An‘aam:
“Dan Dia-lah yang menidurkan kamu (yatawaffakum) pada waktu malam, dan mengetahui apa yang kamu kerjakan pada siang hari, kemudian Ia bangunkan kamu daripadanya (daripada tidur).”
Oleh kerana perkataan mutawaffika memiliki beberapa pengertian, maka lahirlah beberapa tafsiran daripada pelbagai aliran terhadap ayat 55 surah Ali ‘Imran. Al-Imam al-Alusi rahimahullahu (1275H) telah mencatitkan sebanyak tujuh pendapat. [Ruh al-Ma‘ani fi Tafsir al-Qur’an al-‘Azhim wa al-Sabi‘a al-Mutsani (Dar al-Kutub al-Ilmiah, Beirut 1994), jld. 2, ms. 172]. Salah satu daripadanya adalah dengan erti kematian dan ini menjadi pilihan aliran yang menolak penurunan Nabi ‘Isa pada akhir zaman.
Namun manhaj Ahl al-Sunnah wa al-Jama‘ah dalam menghadapi perbezaan tafsiran seperti ini adalah merujuk kepada hadis-hadis Rasulullah shallallahu ‘alaihi wassalam sebagai penentu tafsiran manakah yang paling benar. Dengan melakukan rujukan dan kajian terhadap pelbagai hadis yang sahih lagi mutawatir dalam bab ini, jelas bahawa Nabi ‘Isa ‘alaihissalam tidak mati tetapi diangkat dan “direhatkan” dengan cara yang hanya layak di sisi pengetahuan Allah Subhanahu wa Ta’ala. Demikian ini menjadi tafsiran yang dipilih oleh Ahl al-Sunnah wa al-Jama‘ah terhadap erti perkataan mutawaffika dalam ayat 55 surah Ali ‘Imran.
Golongan yang menolak penurunan Nabi ‘Isa ‘alaihissalam mungkin juga berhujah bahawa perkataan rafa‘ahuLlah dalam ayat 158 surah al-Nisa’ yang bermaksud “Allah telah mengangkat” Nabi ‘Isa ‘alaihissalam sebenarnya bererti “mengangkat darjat Nabi ‘Isa” dan bukannya mengangkat jasad Nabi ‘Isa ‘alaihissalam sehingga terselamat daripada disalib dan dibunuh.
Hujah ini dapat kita jawab dengan penjelasan bahawa perkataan rafa‘ahuLlah sememangnya juga dapat diertikan dari dua sudut: pertama ialah mengangkat jasad manakala kedua ialah mengangkat darjat. Antara dua pengertian ini manakah yang benar? Sekali lagi untuk mencari jawapannya, manhaj kita sebagai Ahl al-Sunnah wa al-Jama‘ah ialah merujuk kembali kepada hadis-hadis Rasulullah shallallahu ‘alaihi wassalam yang bertindak sebagai penjelas al-Qur’an. Dalam bab ini terdapat pelbagai hadis yang sahih lagi mutawatir bahawa yang dimaksudkan ialah mengangkat jasad Nabi ‘Isa ‘alaihissalam sehingga beliau terselamat daripada disalib dan dibunuh.
Bahkan penafsiran ini juga telah dibenarkan oleh permulaan ayat 157 surah al-Nisa’ sebagaimana yang telah dikemukakan di atas:
“Padahal mereka tidak membunuhnya dan tidak memalangnya (di kayu palang - salib), tetapi diserupakan bagi mereka……”.
Jelas bahawa yang diangkat oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala ialah Nabi ‘Isa dan bukan darjatnya kerana jika yang diangkat adalah darjatnya sahaja pasti Nabi ‘Isa telah mati dibunuh di kayu palang (salib).
Susunan oleh Hafiz Firdaus Abdullah