Seorang remaja perempuan menggunakan alasan sakit kepala ketika dicekup penguat kuasa Jabatan Agama Islam Pulau Pinang (JAIPP).
Dia dicekup akibat berkelakuan tidak sopan di tempat awam dengan baring di atas paha teman lelakinya.
“Kami tidak buat apa-apa ustaz, saya hanya baring di pahanya kerana sakit kepala,” katanya memberi alasan ketika ditanya penguat kuasa.
Kedua-duanya yang berusia lingkungan 20-an itu dicekup ketika bermesra-mesraan di sebuah hentian rehat di negeri ini.
Ketika menjalankan pemeriksaan, mendapati kereta pasangan berkenaan diletakkan di bahagian bahu jalan dengan keadaan yang agak gelap walaupun terdapat lampu beberapa meter dari kawasan itu.
Agak lama juga kenderaan JAIPP berada bersebelahan dengan kereta itu bagi memerhatikan gelagat pasangan muda berkenaan.
Lebih teruk apabila sebuah lagi kereta yang dimiliki sepasang kekasih lain berada di hadapan kereta pasangan yang dicekup JAIPP itu masih tidak berganjak walaupun terlihat anggota penguat kuasa membuat pemeriksaan.
Lelaki yang ditahan JAIPP itu turut memberikan alasan duduk di tempat yang cerah bukannya gelap gelita.
Namun, penguat kuasa memberitahu ia tetap satu kesalahan kerana berkelakuan tidak sopan di tempat awam mengikut Seksyen 29 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Pulau Pinang.
Jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda RM1,000 atau penjara enam bulan atau kedua-duanya sekali.
Kedua-dua remaja itu turut diarahkan keluar dari kenderaan mereka bagi membuat pemeriksaan.
Hairannya setelah ditanya kali kedua, si gadis menafikan pula dia sakit kepala sehingga ditegur penguat kuasa kerana memberikan kenyataan berbeza.
Si lelaki yang bekerja sebagai pemandu lori berkata, dia sudah bertunang dengan teman wanitanya itu.
“Saya sudah bertunang dan sedang merancang untuk berkahwin,” katanya.
Namun, Ketua Operasi dan Penguat kuasa JAIPP, Khairul Azman Azizan menasihatkan supaya kedua-duanya segera melangsungkan pernikahan bagi mengelakkan sebarang perkara maksiat.
“Jika sekarang sudah bertunang, cepat-cepatlah melangsungkan perkara yang wajib bagi mengelak maksiat,” katanya.
sumber...Hsinar