Followers

Sunday, December 11, 2011

VIDEO Iran Siarkan Pesawat Amerika Ditembak



Tehran dakwa kapal peninjau teknologi tinggi cabul ruang udara

TEHRAN: Stesen televisyen Iran semalam menayangkan video pesawat kawalan jauh berteknologi tinggi Amerika Syarikat yang didakwa ditembak tenteranya awal minggu ini dan membuat aduan diplomatik berhubung pencabulan ruang udaranya.

Rakaman dua minit itu menunjukkan pegawai tentera Iran memeriksa pesawat kawalan jauh RQ-170 Sentinel, dan menawarkan bukti pertama Tehran menawan pesawat itu. Pesawat berkenaan bagaimanapun, tidak mengalami kerosakan.
Ketua bahagian angkasa lepas Pengawal Revolusi Iran, Jeneral Ami Ali Hajizadeh, mendakwa tentera Iran menembak jatuh pesawat peninjau itu dengan peralatan elektronik, menyebabkan kerosakan minimum kepada pesawat.
Ia ditembak jatuh menerusi operasi bersama Pengawal Revolusi dan tentera Iran, katanya kepada televisyen.

Tehran menggunakan rakaman video itu untuk melancarkan propaganda dan kain rentang di kaki pesawat dalam video itu berbunyi Amerika tidak boleh melakukan perkara terkutuk - kenyataan bekas pemimpin tertinggi negara itu, Ayatollah Khomeini. Satu lagi kain rentang dicetak seperti bendera Amerika tetapi bintang diganti dengan tengkorak.

Di WASHINGTON, jurucakap Pentagon, Kapten John Kirby, berkata tentera Amerika dan beberapa pihak lain masih mengkaji imej itu tetapi tidak memberi kenyataan.
Setiausaha Akhbar Pentagon, George Little, berkata Jabatan Pertahanan tidak akan menyebut sama ada imej berkenaan adalah pesawat kawalan jauh Amerika.
Sementara itu, Kementerian Luar Iran memanggil Duta Switzerland semalam untuk membantah pencerobohan ruang udara Iran oleh pesawat berkenaan, menurut laporan televisyen. Ia menyebut kementerian menuntut penjelasan dan pampasan daripada Washington.

Amerika dan Iran tidak mempunyai hubungan diplomatik dan Switzerland mewakili kepentingan Amerika di Iran.

Iran melaporkan kejadian itu Ahad lalu tetapi tidak menyatakan bila ia berlaku.

Ketika itu, agensi berita rasmi IRNA berkata pasukan bersenjata Iran menembak jatuh pesawat peninjau itu, dakwaan yang kemudian ditolak pegawai Amerika yang berkata ia terhempas hujung minggu lalu tetapi tiada petunjuk ia ditembak.

Radio Iran berkata pesawat kawalan jauh itu dikesan di bandar Kahsmar di timur Iran, kira-kira 225 kilometer dari sempadan dengan Afghanistan.

sumber... AP