Followers

Thursday, October 11, 2018

Polis Teliti Dakwaan Umno Pindah RM2.5juta pada PAS


Polis sedia teliti dakwaan Umno pindah RM2.5 juta pada PAS

Polis perlu meneliti terlebih dahulu sekiranya terdapat laporan polis mengenai dakwaan Umno telah memindahkan sejumlah RM2.5 juta kepada PAS dengan sumber wang itu kemungkinan daripada dana 1MDB yang diseleweng, kata Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Noor Rashid Ibrahim​​​​​.
​​
"Kalau ada kita akan melihat laporan itu sama ada mempunyai unsur rasuah, jenayah biasa atau jenayah komersial," katanya pada sidang media Forum Perdana ‘Undang-undang Pencegahan: Keselamatan Vs Hak Asasi’ anjuran Program Diploma Siswazah Sains Kepolisan (DSSK) di Kuala Lumpur, hari ini.

Noor Rashid berkata pihaknya akan menyerahkan kes itu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sekiranya penelitian laporan itu mendapati terdapat unsur rasuah.

Beliau berkata demikian apabila ditanya tentang laporan media hari ini bahawa Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) Terengganu sudah membuat laporan polis pada Ahad mendesak siasatan segera selepas tersebarnya salinan transaksi pemindahan wang itu.

Pihak media memetik pengarah komunikasi Pemuda Amanah Muammar Qaddafi Nasir sebagai berkata salinan transaksi itu membabitkan pemindahan wang RM1.5 juta daripada pegawai khas bendahari Umno kepada Tabung Pembangunan Jawatankuasa Jabatan Pembangunan PAS Pusat (JPP) dan RM1 juta kepada tiga penama yang juga anggota parti itu.

Muammar juga dilaporkan berkata siasatan terperinci perlu dilakukan bagi mengenal pasti sumber dana berkenaan yang dibimbangi adalah wang 1MDB yang diselewengkan.

Sebelum ini, pada April lepas, anggota parti Amanah Datuk Mahfuz Omar, ketika berucap pada program di Guar Lobar, Padang Serai, Kedah, turut mendakwa terdapat tiga pemimpin PAS Terengganu yang menerima wang daripada Umno.

Mahfuz mendakwa wang sebanyak RM1 juta dimasukkan melalui akaun khas yang dinamakan Akaun Amanah pada 21 Mac 2018 lepas.

Anggota Parlimen Pokok Sena itu mendakwa sejumlah RM1.5 juta turut dimasukkan ke dalam akaun Jabatan Pembangunan PAS Pusat (JPP) atau Jabatan Pilihan Raya PAS Pusat.

Dalam pada itu, ditanya sama ada polis akan memanggil bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk disiasat, Noor Rashid berkata setakat ini tidak ada keperluan.

"Tiada siasatan dijalankan ke atas Ahmad Zahid setakat ini," katanya.

Ahmad Zahid dilaporkan meninggalkan ibu pejabat SPRM di Putrajaya pada 5.40 petang ini selepas lebih lapan jam memberi keterangan kepada pegawai penyiasat badan anti rasuah itu.
Beliau dipanggil SPRM dipercayai bagi membantu siasatan dakwaan penyelewengan dana sebuah yayasan.

Sementara itu, dua individu yang menjadi ahli panel forum hari ini ialah pakar undang-undang Prof Emeritus Datuk Dr Shad Saleem Faruqi dan Pensyarah Undang-undang Universiti Malaya Prof Madya Dr Azmi Sharom manakala bekas Ahli Lembaga Pencegahan Jenayah Kementerian Dalam Negeri Datuk Razali Basri bertindak sebagai moderator.

- Bernama