Followers

Tuesday, October 23, 2018

'Kenapa Tak Marah Bila Najib kata Kelantan Tak Mampu Bayar Gaji?'


Ulasan ...Kementerian Kewangan kesal dengan reaksi barisan kepimpinan PAS Kelantan terhadap kenyataan saya di parlimen semalam bahawa pengurusan kewangan kerajaan negeri Kelantan begitu tenat sehingga perlu bantuan kewangan daripada kerajaan persekutuan untuk membayar gaji kakitangan kerajaan negeri.

Hakikatnya ini bukanlah perkara baru tetapi telah berlarutan sejak zaman BN di mana kerajaan negeri Kelantan senantiasa terdesak mencari wang untuk membayar gaji/emolumen ahli pentadbiran kerajaan Kelantan.

Soalannya ialah mengapa tidak ada reaksi sebegitu kuat dan keras oleh barisan kepimpinan PAS ketika mantan perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mendedahkan kepada umum pada 28 Januari 2018 bahawa kerajaan Kelantan terpaksa bergantung kepada bantuan kewangan kerajaan persekutuan untuk membayar gaji kakitangan kerajaan negeri Kelantan.

Sebaliknya apabila saya sebagai menteri kewangan buat kenyataan yang sama, barisan kepimpinan

PAS memainkan sentimen yang begitu mengapi-apikan dan membuat fitnah jahat bahawa saya berdendam dengan PAS sedangkan saya hanya menyatakan hakikat bahawa Kelantan adalah sebuah negeri yang gagal dari segi urusan ekonomi kerana tidak mampu membayar gaji/emolumen kepada ahli pentadbiran kerajaan.

Pada tahun 2016, Kelantan memang telah menerima RM398 juta, secara keseluruhan, sebagai pemberian (geran) daripada kerajaan persekutuan seperti yang diterima negeri-negeri lain dalam Persekutuan Malaysia.

Termasuk di dalam pemberian RM398 juta kepada Kelantan ini ialah pemberian defisit sebanyak RM59.9 juta kerana hasil kerajaan negeri Kelantan tidak mencukupi untuk membayar perbelanjaannya, termasuk gaji/emolumen ahli pentadbiran kerajaan negeri Kelantan.

Fakta berdasarkan angka

Selain itu, kerajaan persekutuan juga telah meminjamkan RM100 juta dana tambahan sebagai pinjaman pendahuluan untuk menampung perbelanjaan kerajaan negeri.

Sehingga 31 Disember 2017, kerajaan negeri Kelantan masih belum membayar balik pinjaman pendahuluan sebanyak RM388 juta, yang menjadikan kerajaan negeri Kelantan penghutang terbesar pinjaman pendahuluan ini.

Perlulah ditegaskan hanya negeri yang bermasalah dalam aspek pengurusan kewangan perlu memohon pemberian defisit dan pinjaman Pendahuluan.

Inilah latar belakang mengapa Najib membuat kenyataan secara terbuka pada Januari tahun ini bahawa Kelantan tidak mampu membayar gaji/emolumen kakitangan kerajaan negeri Kelantan sendiri dan perlu bergantung kepada bantuan kerajaan persekutuan. Ini adalah fakta 
berdasarkan angka-angka yang benar.

Tahun ini pula pada Jun 2018, kerajaan negeri Kelantan sekali lagi memohon bantuan pinjaman pendahuluan daripada kerajaan persekutuan Pakatan Harapan (HARAPAN) untuk membantu membayar gaji/emolumen kakitangan kerajaan negeri Kelantan, dan permohonan itu telah pun diluluskan. Ini juga adalah fakta berdasarkan angka.

Saya ingin tekankan bahawa pengurusan ekonomi dan pentadbiran kewangan perlu dijalankan berdasarkan fakta dan angka bukannya sentimen dan fitnah jahat.

Sukar untuk memulihkan keyakinan orang ramai dan para pelabur atau membangunkan semula sebuah negeri yang gagal sekiranya membelakangkan fakta dan angka.

Pada masa yang sama, saya tertarik dengan reaksi keras daripada barisan kepimpinan PAS terhadap kenyataan saya, berbanding terhadap kenyataan Najib yang membuat kenyataan yang serupa sebelum ini.

Adakah ini kerana saya adalah sasaran ‘lembut’ yang membolehkan barisan kepimpinan PAS mainkan sentimen yang merbahaya sehingga boleh menggunakan fitnah jahat tanpa segan silu?

oleh...Lim Guan Eng