Followers

Monday, October 15, 2018

Hutang 1MDB dengan IPIC Mungkin Lebih Dua Kali Ganda Jumlah Awal


Hutang dana pelaburan 1 Malaysia Development Berhad (1MDB) dengan International Petroleum Investment Co (IPIC) mungkin‘lebih dua kali ganda’ daripada jumlah awal yang dipercayai dipinjam daripada syarikat milik Abu Dhabi itu.

Menurut akhbar Straits Times (ST), maklumat baru itu diperoleh selepas IPIC mengumumkan awal bulan ini mengenai rancangan untuk memindahkan liabiliti tertentu dan komitmen kewangan berkaitan bon bernilai berbilion dolar 1MDB kepada entiti induknya, Mubadala Development Co PJSC.

Komitmen yang tersenarai dalam penyata IPIC kepada Bursa Saham London berjumlah kira-kira AS$6.89 bilion (RM28.6 bilion) sebelum caj faedah.

Angka itu adalah ‘lebih daripada dua kali ganda jumlah Kuala Lumpur dipercayai berhutang dengan Abu Dhabi’, lapor Straits Times yang dipetik portal Free Malaysia Today (FMT)

Akhbar Singapura itu melaporkan, bon yang tersenarai dalam penyata IPIC tidak ada kaitan dengan apa yang ditegaskan Putrajaya telah dikeluarkan pada 2012.

Memetik pegawai kanan kerajaan Malaysia yang enggan dikenali, ST melaporkan Pejabat Peguam Negara dan Kementerian Kewangan sedar mengenai maklumat baru itu dalam penyata IPIC.

Pihak kerajaan, kata pegawai itu, telah mendapatkan pandangan peguam di London mengenai langkah seterusnya.

“Kami berkemungkinan akan membuat bayaran faedah tetapi dengan bantahan.

“Perjanjian penyelesaian dengan Abu Dhabi akan dicabar,” katanya kepada ST.

Pegawai itu juga berkata, kerajaan pimpinan Pakatan Harapan tidak boleh untuk 'tidak membayar balik’ pinjaman antarabangsa kerana ia boleh memberi kesan buruk kepada pasaran kewangan domestik.

Awal minggu ini, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, berkata kerajaan akan membayar hutang 1MDB sebanyak AS$50.3 juta (RM206.23 juta) sebelum tempoh akhir pada hujung bulan ini.

ST juga melaporkan bahawa IPIC menyatakan dalam penyatanya kepada Bursa Saham London pada 1 Oktober bahawa tanggungjawab kewangan menurut perjanjian dengan 1MDB membabitkan ‘enam bon terbitan berasingan dalam dolar AS, euro dan pound sterling’.

“Tambahan lagi, nota bon yang semuanya berjumlah kira-kira AS$6.89 bilion mengandungi tarikh matang berbeza, termasuk satu yang berlanjutan hingga 2041, dan pelbagai caj kupon tahunan,” lapor akhbar itu.

sumber... Agensi