Followers

Monday, October 22, 2018

Guan Eng: Najib Sendiri Pernah kata Kelantan Tak Mampu Bayar Gaji



Menteri Kewangan Lim Guan Eng mempertahankan kenyataannya di Dewan Rakyat berhubung dakwaan kerajaan negeri Kelantan "tidak mampu" membayar gaji kakitangan awam.

Menurut Lim, Datuk Seri Najib Razak sendiri ketika menjadi perdana menteri pernah mengungkapkan hal serupa.

Lim merujuk kenyataan Najib yang dilapor The Malaysian Insight Jan lalu yang bertajuk ‘Kalau tak kerana Putrajaya, Kelantan tak mampu bayar gaji kakitangan’,

“Jadi itulah fakta. Saya tak nak sebut lebih daripada itu. Boleh lihat kenyataan ini (kenyataan Najib), ini memang telah berlaku sejak zaman Najib juga.

“Dan baru-baru ini saya telah luluskan satu jumlah peruntukan kepada Kelantan,” kata Lim kepada pemberita di lobi parlimen, hari ini.

Pagi ini, sidang Dewan Rakyat kecoh susulan kenyataan Lim yang menimbulkan kemarahan anggota parlimen pembangkang.

Ia bermula ketika Lim menjawab soalan lisan Datuk Takiyuddin Hassan (PAS-Kota Bharu) yang bertanya pendirian kerajaan jika ada kerajaan negeri - seperti Kelantan dan Terengganu - yang mahu meneruskan projek ECRL dengan inisiatif sendiri.

 Kata Lim kerajaan pusat sedia menunggu kenyataan rasmi dibuat Kota Bharu atau Kuala Terengganu untuk mengambil alih projek berkenaan jika mereka benar-benar berminat melaksanakannya.

"Pada masa sama, saya terfikir, bagaimana Kelantan boleh melaksanakannya apabila gaji (untuk kakitangan awam di negeri itu) pun tak mampu nak bayar," kata Lim.

Kenyataan itu mendorong Takiyuddin bingkas bangun dan meminta Lim menjelaskan kenyataan itu dengan lebih lanjut.

Katanya Lim tidak wajar membuat tuduhan rambang sebegitu.

Sementara itu, dalam sidang media berasingan, Takiyuddin menggesa supaya Lim menarik balik kata-katanya dan meminta maaf sama ada di luar ataupun dalam Dewan Rakyat.

Katanya, jika Lim enggan berbuat demikian, anggota parlimen pembangkang tidak teragak-agak untuk membawa usul kepada Jawatankuasa hak dan kebebasan mengikut peraturan 36 (12) iaitu mengeluarkan knyataan yang mengelirukan di dalam Dewan Rakyat.

“Jadi atas dasar itu, kami meminta dan gesa menteri kewangan sama ada didalam dewan atau luar dewan, tarik balik perkataan seumapama ini dan meminta maaf atas remark tersebt. Sekiranya beliau tdk mengemukakan permintaan maaf dan tarik balik, kami mungkin buat satu usul supaya belaiu dirujuk kpd JK hak dan kebebasan.

“Saya rasa bukan hanya penghinaan kerajaan negeri sahaja tapi seluruh rakyat negeri tersebut,” katanya.

oleh...Anne Mohamad