Followers

Saturday, October 13, 2018

Skandal Felda: Ikutkan Ramai 'masuk ke dalam' - Azmin



Biarpun mahu mendedahkan segala kecurangan pengurusan terdahulu Felda kepada umum, Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali terpaksa akur untuk tidak mengumumkan beberapa perkara melibatkan pelaburan luar negara yang sedang dalam siasatan SPRM.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tentang tadbir urus Felda oleh seorang penonton yang juga merupakan anak Felda ketika program Bicara Minda di Dewan Karangkraf Shah Alam.

“Kalau ikutkan saya, ramai yang dah kita hantar ke dalam (penjara). Tapi kita sebuah kerajaan yang mematuhi the rules of law, ada prosesnya.

“Dalam penyediaan kertas putih yang akan kita bentangkan di Parlimen, kita telah dinasihati SPRM untuk tidak memasukkan beberapa perkara melibatkan pelaburan di luar negara kerana sedang disiasat.

“Kita hormati. Kita jangan gopoh-gapah dan tergesa-gesa, beri masa kepada pihak berkaitan melakukan siasatan supaya pendakwaan dibuat cukup kuat agar orang yang rasuah dan salah guna kuasa ini dapat diheret ke muka pengadilan,” katanya.

Sebelum ini, isu kertas putih Felda ini pernah dibangkitkan Azmin di mana beliau memberitahu bahawa pembentangannya akan dilakukan dalam sesi persidangan Dewan Rakyat 15 Oktober ini.

Kata beliau, masalah tunai yang dihadapi Felda adalah amat kritikal, dan tumpuan lembaga pengarah serta pengurusan Felda yang baharu adalah terhadap pemulihan kedudukan aliran (kewangan) Felda dengan menstrukturkan semula hutang Felda.

Ketika berucap dalam program Bicara Minda Karangkraf berjudul “Ekonomi: kesejahteraan untuk semua," isu kertas laporan itu kembali dibangkitkan beliau.

Malah ketika ditanya oleh moderator Tan Sri Johan Jaaffar tentang kenyataan pengerusi Felda baru Tan Sri Megat Zaharuddin Megat Mohd Nor yang mendakwa kedudukan tunai Felda hampir kosong, Azmin menjawab sebenarnya ia ‘lebih teruk daripada itu’.

“Ketika mula-mula diberi tanggungjawab oleh perdana menteri, saya terkejut dengan kecurangan dalam Felda yang akhirnya membebankan 120,000 peneroka Felda seluruh negara.

“Lihat saja saham Felda Global Ventures (FGV) sekarang merudum dari RM4.80 kepada hanya RM1.30. Pemimpin-pemimpin politik dah jual lama saham ini, yang sengsara ialah peneroka Felda,” katanya lagi.

sumber...mKini