Followers

Wednesday, October 24, 2018

Apa Kata Cendekiawan Berkenaan Pengurusan Kewangan Kelantan

 

KELANTAN DALAM KONTEKS KELEMAHAN PENGURUSAN KEWANGAN DAN EKONOMI YANG TIADA NILAI TAMBAH

Apabila Parlimen dimaklumkan bahawa Kerajaan Negeri Kelantan sememangnya tidak mempunyai kemampuan untuk membayar gaji kakitangannya, (dengan maksud tanpa bantuan daripada kerajaan Pusat), maka ia adalah merupakan satu hakikat yang tidak seharusnya dinafikan.

Kelantan dalam pembentangan belanjawan 2018, memperlihatkan wujudnya perbelanjaan defisit sebanyak RM 41.74 juta, sedangkan perbelanjaan mengurus melibatkan RM 738.44 juta berbanding dengan perolehan hasil RM 636.98 juta.

Tunggakan hutang kerajaan negeri Kelantan kepada kerajaan Pusat, berdasarkan laporan Audit 2013 berjumlah RM 247.16 juta, bagaimana pun, persidangan Parlimen 12 Mac 2016 telah dimaklumkan bahawa jumlah hutang Kerajaan Negeri Kelantan kepada kerajaan Pusat adalah berjumlah RM1.3 bilion.

Namun begitu, berdasarkan kenyataan akhbar menteri kewangan pada 8 September 2018, merekodkan jumlah tunggakan hutang kerajaan Kelantan sehingga 30 Jun 2018 adalah sebanyak RM 434.5 juta.

Berdasarkan keadaan ini, kemampuan Kerajaan Negeri Kelantan dalam pengurusan kewangan negeri adalah sesuatu yang boleh dipersoalkan akan keberkesananya kerana ia telah melanggari akan prinsip keberkesanan kos dan prinsip pulangan berasaskan pelaburan (ROI).

Realiti ini akan menyebabkan Kelantan akan terus berhempas pulas untuk keluar daripada perbelanjaan defisit untuk tahun-tahun yang akan datang.

Hakikatnya kerajaan Kelantan tidak boleh membandingkan bantuan pusat yang disalurkan kepada Kelantan, sebagai satu usaha perlu untuk memenuhi tanggungjawab kerajaan Pusat terhadap kerajaan negeri secara madatori dengan meletakkan tanda aras bahawa, negeri-negeri lain juga mendapat bantuan kewangan yang sama daripada kerajaan Pusat.

Realitinya, Kerajaan Negeri Kelantan harus menerima fakta bahawa kedudukan kewangan Kerajaan Negeri Kelantan agak lemah, sehinggakan Kelantan diberikan peruntukan yang paling besar bagi Bantuan Kewangan Defisit dan Bantuan Kewangan Pendahuluan Kerajaan Persekutuan sebanyak RM 913 juta.

Kenyataan daripada Kementerian Kewangan menyebut, “Selain daripada pemberian yang biasa disalurkan oleh Kerajaan Persekutuan adalah pemberian kepada negeri-negeri yang menghadapi kekurangan wang dalam akaun mengurus (Defisit). Pemberian tersebut diberikan kepada Kerajaan Negeri yang mengalami defisit yang mana hasil Kerajaan Negeri tidak mencukupi untuk membiayai perbelanjaan mengurus seperti emolumen, sewa, utiliti dan perbelanjaan operasi yang lain. Kerajaan Negeri Kelantan merupakan penerima Pemberian Defisit yang tertinggi antara semua negeri berjumlah RM 363 juta”.

Berdasarkan kedudukan kewangan Kerajaan Negeri Kelantan yang kurang dinamik serta amat bergantung kepada bantuan Kerajaan Persekutuan, mendedahkan realiti pengurusan kewangan Kerajaan Negeri Kelantan kepada potensi krisis defisit secara berpanjangan.

Hal ini disebabkan oleh pertumbuhan pendapatan yang amat lemah, ditambah pula dengan strategi pelaburan yang kurang berkesan, mengakibatkan prestasi kewangan Kerajaan Negeri Kelantan kehilangan pemacuan prestasi yang membawa kepada situasi kehilangan nilai tambah ekonomi.

Apakah dengan wujudnya situasi ketiadaan keupayaan kewangan yang berpotensi untuk berlaku secara berterusan, memungkinkan Kerajaan Kelantan untuk bertindak meneruskan pelaksanaan Projek Landasan Keretapi Pantai Timur (ECRL), sebagaimana yang disuarakan oleh ahli-ahli Parlimen PAS di dewan rakyat? Atau ia hanyalah satu lelucon, sedangkan nafsunya longlai dan sejuk?

Dr. Kamarudin Musa
FPE UPSI