KUALA LUMPUR: Pemain badminton negara, Roslin Hashim kesal dengan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) apabila masih belum mengeluarkan keputusan kes khalwatnya dengan penerbit filem Raja Azmi Raja Sulaiman.
Sedangkan dia dan Raja Azmi dimaklumkan oleh agensi itu keputusan berkenaan akan dikeluarkan pada Isnin (hari ini) selepas beberapa kali tertangguh.. Bagaimanapun, Roslin hampa apabila kes itu sekali lagi ditangguhkan pada 20 Julai depan.
“Apabila ditanya kepada pegawai Jawi, dia kata mereka masih belum menemui apa-apa keputusan kerana kes itu masih dalam siasatan.
“Saya ingat hari ini (Isnin), pihak Jawi sudah mempunyai keputusan kerana tidak tahu apa lagi yang mereka hendak siasat,” kata Roslin kepada pemberita di luar pejabat Bahagian Penguatkuasaan, Jawi, Isnin.
Roslin hadir ditemani seorang lelaki sementara Raja Azmi dan peguamnya, Roslizam Rahim tidak hadir kerana kedua-duanya tidak sihat.
Lebih menambahkan perasaan tidak puas hatinya apabila dia terpaksa membatalkan perlawanan Kejohanan Badminton Terbuka di Indonesia sama dengan tarikh dia dikehendaki hadir ke Jawi Isnin.
“Saya pun ada komitmen lain kerana sepatutnya saya perlu pergi ke Indonesia tetapi terpaksa dibatalkan.
“Saya rasa hairan sebab siapa lagi yang mereka hendak panggil selepas ini sedangkan kes ini tiada tangkapan, seolah-olah nak tunjukkan kami bersalah. Saya rasa macam ada yang tak kena,” ujarnya lagi.
Sementara itu Raja Azmi berkata, dia tidak teragak-agak untuk menyaman Jawi sekiranya keputusan kes berkenaan masih lagi ditangguhkan.
Keadaan yang berlaku itu katanya, menyebabkan diri dia trauma dan terpaksa menanggung malu selain menyusahkan banyak pihak.
“Hal ini berkaitan dengan maruah termasuk juga maruah rumah tangga saya. Jika sampai sekarang masih belum ada keputusan sehingga beberapa kali ditangguhkan, hidup saya menjadi tidak tenteram.
“Keputusan ini seharusnya dipercepatkan. Kalau ia selesai dengan cepat, saya boleh memaafkan pihak-pihak yang berkenaan termasuklah orang yang menuduh saya berkhalwat. Saya merasakan diri saya benar-benar teraniaya,” katanya ketika dihubungimStar Online, Isnin.
Raja Azmi ketika dihubungi sedang dirawat di Hospital Pakar Ampang Puteri dekat sini, kerana menghidap migraine.
Pada 7 Ogos 2010, Raja Azmi dituduh berkhalwat dengan Roslin sewaktu serbuan dilakukan ke atasnya oleh Norhayati bersama dua adiknya serta Jailani di bilik bernombor 533, Hotel Corus, Jalan Ampang, di sini kira-kira pukul 8.30 malam.
Norhayati membuat laporan kepada pihak Jawi berhubung perkara itu untuk membolehkan Raja Azmi dan Roslin dikenakan tindakan khalwat.
Pada 20 Ogos tahun yang sama, Raja Azmi ditahan di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya, dekat sini kerana kegagalannya untuk hadir ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi memberi keterangan sebagai saksi dalam kes saman sivil berhubung penjualan tanah bernilai RM5.9 juta.
sumber...mStar