Followers

Monday, June 27, 2011

Pakai t-shirt Bersih tulisan jawi, 5 Pemuda PAS ditahan Polis

Polis buat lawak lagi

KUALA LUMPUR: Ketua Pemuda PAS Ampang, Fadzlul Rahimi bersama empat anggotanya ditangkap polis di Masjid Taman Kosas kira-kira 11 pagi tadi, kerana memakai t-shirt Bersih 2.0 dalam tulisan jawi.

Bercakap kepada KeadilanDaily, ahli Unit Amal PAS Ampang, Israq Ismail berkata, tangkapan dibuat ketika Fadzlul bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Lembah Jaya, Khasim Abdul Aziz sedang mengadakan program sempena Konvoi Belia DUN Lembah Jaya.

“Turut ditahan ialah Timbalan Ketua Pemuda PAS Ampang, Shahril Suhaimi, Setiausaha Pemuda PAS Ampang, Engku Faizan Engku Husin dan dua Unit amal iaitu Satullah Azam dan Adha Yusof.

“Mereka kini berada di Ibu Pejabat Polis (IPD) Ampang. Alasan tangkapan ialah kelima-limanya berpakaian kuning dan tertera perkataan Bersih dalam tulisan Jawi,” katanya.

Tangkapan itu menggambarkan ketakutan Umno Barisan Nasional (BN) terhadap Gelombang Kuning melalui Himpunan Bersih 2.0, dengan memperalatkan polis. Sebelum ini, Beberapa pemimpin dan ahli Angkatan Muda KEADILAN (AMK) turut ditahan atas alasan sama.

Protes Umno peralat polis, Anwar berkemeja kuning

Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini memakai pakaian kuning sebagai tanda sokongan kepada Himpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai ini dan protes terhadap tindakan Umno memperalat polis dengan menangkap rakyat tidak bersalah.

Beliau dilihat memasuki perkarangan ibu pejabat parti di Tropicana, Damansara dengan berkemeja lengan pendek warna kuning kira-kira jam 1.45 petang untuk menghadiri satu mesyuarat bersama Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) KEADILAN.

Hasrat untuk memakai pakaian kuning dinyatakan Anwar sejak semalam pada paparan twitternya ketika membalas satu tweet seorang pengikut (follower) yang memaklumkan pelakuan polis menangkap ramai rakyat berpakaian kuning.

Anwar dalam twiter itu ada menyebut, ia sebagai protes terhadap tindakan keras terhadap rakyat.

“MPP Keadilan esok: Saya akan pakai baju kuning – tanda protes ke atas tangkapan anak2 muda. Umno kian terdesak dan tambah zalim,” tulis Ketua Pembangkang itu, semalam.

Sejak beberapa hari lalu, ramai rakyat khususnya penyokong Pakatan Rakyat ditahan polis semata-mata kerana memakai t-shirt kuning baik yang ada logo Bersih 2.0 ataupun tidak. Situasi itu berlarutan hingga hari ini.

Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=15977