Followers

Thursday, June 2, 2011

Pemuda Pas dikritik gagal laksana tugas tawan Putrajaya


Perwakilan DPPK Jerai, Kedah, Muhammad Ismail mengkritik sikap kepimpinan pemuda yang gagal menghadiri program yang dianjurkan parti.

Laporan Muktamar Pemuda PAS ke-52

SHAH ALAM: Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP) menerima kritikan daripada para perwakilan hari ini apabila didakwa gagal menjalankan tugas sejajar dengan hasrat parti itu untuk menawan Putrajaya daripada kerajaan Barisan Nasional (BN).
Perwakilan Dewan Pemuda PAS Kawasan (DPPK) Jerai, Kedah, Muhammad Ismail mengkritik sikap kepimpinan pemuda yang gagal menghadiri program yang dianjurkan parti sambil menyifatkan ia salah satu punca kegagalan PAS untuk menawan Putrajaya.
Menurut Muhammad, selain kegagalan itu, pemuda PAS juga dikatakan gagal dalam memberikan idea baru sebagai persediaan menghadapi pilihan raya umum kelak.
“Kita asyik bercakap tentang nak tawan Putrajaya, malah kain rentang dalam dewan ini pun masjid Putra…..sebagai simbolik nak tawan Putrajaya.
“Namun kepimpinan pemuda sendiri gagal untuk melawat negeri dan kawasan. Jadi bagaimana kita nak tawan kerajaan kalau negeri pun gagal untuk dipantau?,” soal beliau ketika membahaskan laporan tahunan DPPP 2010-2011 pada Muktamar DPPP di Dewan MBSA, di sini hari ini.
Beliau berkata, Pemuda PAS lebih menonjol dari segi memberikan kenyataan media bagi setiap isu semasa yang berlaku atau menghantar memorandum.
“Jika perkara ini berterusan Putrajaya pun gagal untuk kita takluki,” katanya.
Wakil DPPK Jerantut, Abdul Rahman Abdul Malik juga mengkritik tentang kehadiran pimpinan pemuda apabila merujuk kepada buku laporan yang diedarkan kepada perwakilan dan menyifatkannya sebagai memberi gambaran negatif terhadap parti.
“Buku laporan menunjukkan kehadiran pimpinan pemuda PAS negeri kurang memuaskan. Ini menunjukkan mereka tidak hadir dalam mesyuarat yang dijalankan,” katanya.
Sementara itu, DPPK Batu Abu Bakar Abdul Rahman turut mempersoalkan status majlis ekonomi pemuda yang tidak dimuatkan dalam buku laporan tersebut.
“Saya suka mencadangkan agar PAS Pusat menganjurkan program latihan sebagai input kepada anak muda untuk menceburkan diri dalam perniagaan francais,” katanya.

Tags: Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP), Dewan Pemuda PAS Kawasan (DPPK)
Jerai, Kedah, Muhammad Ismail.

sumber... free malaysia today