Followers

Wednesday, June 15, 2011

Penyamun kantoi ketika minum

500 ringgit masih ada dalam poket seluarnya

KUANTAN- Keasyikan seorang lelaki menikmati minuman di sebuah gerai di Jalan Wong Ah Jang di sini terganggu apabila dia didatangi beberapa anggota polis dari cawangan Risikan Jenayah (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang untuk pemeriksaan kerana disyaki terlibat dalam kes samun membabitkan pasangan kekasih di kawasan sama, awal pagi kelmarin.

Penemuan wang tunai RM500 dalam poket seluar yang dipakai lelaki berusia 27 tahun dari Kubang Buaya di sini membongkar kegiatan jenayahnya apabila dia mengaku terlibat dalam kejadian itu bersama seorang rakan yang masih bebas.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri (Risikan dan Operasi) Superintendan Nordin Mustapha berkata, hasil soal siasat ke atasnya, suspek membawa anggota polis ke sebuah kereta milik individu lain dan menjumpai sebatang besi serta sebilah parang disyaki digunakan untuk kegiatan jenayah.

Menurutnya, lelaki terbabit kemudiannya ditahan untuk siasatan lanjut manakala rakannya berusia dalam lingkungan 20-an sedang dijejaki.

“Hasil soal siasat yang dijalankan juga, suspek mengaku turut terlibat dalam beberapa kes samun yang lain bersama dua rakannya bagaimanapun siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti kes tersebut,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini, semalam.

Nordin berkata, penahanan suspek itu hasil laporan polis yang dibuat mangsa, seorang peniaga berusia 37 tahun apabila dia mendakwa disamun dua lelaki bermotosikal ketika berjalan bersama pasangannya di sebuah lorong, Jalan Wong Ah Jang kira-kira jam 8.30 malam hari sebelumnya.

“Dalam kejadian itu, mangsa mendakwa, salah seorang suspek mengacukan sebilah pisau ke arahnya sebelum mengarahkan dia dan teman wanitanya yang berusia dalam lingkungan 30an menyerahkan dompet, beg dan telefon bimbit.

“Bimbang dicederakan, mangsa terpaksa menyerahkan beg duit mengandungi wang tunai RM500 dan telefon bimbit kepada suspek,” katanya.

Beliau berkata, selepas mendapatkan habuannya, suspek terus melarikan diri manakala mangsa membuat laporan polis di Balai Polis Kuantan kira-kira jam 12.30 pagi hari berikutnya.

“Susulan laporan yang dibuat, polis berjaya mengesan suspek dan bertindak menahannya untuk siasatan lanjut bagaimanapun hasil semakan rekod lelaki itu tidak mempunyai sebarang rekod kesalahan jenayah sebelum ini.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan,” katanya.