Followers

Saturday, June 18, 2011

NGO Syiah saman Utusan, Jais dan Khusrin

Tindakan diambil setelah ketiga-tiga pihak tidak mengakui penah mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah pada malam serbuan di Hauzah Ar-Ridha, Gombak pada 15 Disember 2010.

PETALING JAYA: Pengarah Ar-Ridha, sebuah NGO pengikut mazhab Syiah, Mohd Kamilzuhairi Abdul Aziz, telah memfailkan saman terhadap Utusan Melayu (Malaysia) Berhad, Datuk Muhammad Khusrin Munawi dan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam.

Tindakan diambil setelah ketiga-tiga pihak tidak mengakui pernah mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah pada malam serbuan di Hauzah Ar-Ridha, Gombak pada 15 Disember 2010, kata kenyataan NGO itu hari ini.

Defenden kedua, Muhammad Khusrin sebagai Pengarah Jais (pada waktu itu) telah mengeluarkan kata-kata fitnah pada sidang media selepas serbuan 15 Disember dan diterbit serta dicetak oleh akhbar Utusan Malaysia pada 16 Disember 2010, antaranya :

“Beliau berkata, ajaran Syiah jika dibiarkan berkembang boleh mengancam keselamatan negara kerana pengikut yang fanatik menganggap umat Islam mazhab lain sebagai kafir.

“Bagi mereka, darah pengikut fahaman lain adalah halal dan ia bermakna penganut Ahli Sunnah Wal Jamaah boleh dibunuh.

“Ajaran Syiah lebih bahaya berbanding ajaran sesat seperti Al-Arqam. Pengikut Syiah di Iran dan India misalnya bergaduh sesama Islam semata-mata kerana berbeza fahaman. Inilah yang ingin dielakkan berlaku di negara ini dan tujuan ia disekat”.

Muhammed Khusrin berkata, mengikut Enakmen Pentadbiran Perundangan Islam 989, fahaman dan ajaran Syiah adalah menyeleweng daripada pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah kerana wujud beberapa percanggahan dari sudut akidah dan syariah.

Sahabat Rasulullah saw

Katanya, antaranya para pengikut Syiah menyanjung sahabat Rasulullah, Saidina Ali bin Abi Talib secara keterlaluan, menghalalkan nikah muta’ah, menolak hadis yang diriwayatkan oleh Ahli Sunnah Wal Jamaah sekalipun hadis mutawatir dan mengkafirkan para sahabat Rasulullah.

Penyelewengan dari sudut syariah pula adalah menolak ijmak ulama, qias, dan mengamalkan nikah muta’ah. Pengikut Syiah juga terlibat dalam pelbagai penyelewengan umum seperti percaya ganjaran syurga jika menziarahi kubur Saidina Husin bin Ali.

Selain itu menyiksa diri memukul badan menggunakan rantai sehingga berdarah pada 10 Muharram, mengharuskan sembahyang jamak dalam semua keadaan dan tidak mewajibkan haji.

Ar-Ridha turut menafikan sekeras-kerasnya akan tohmahan yang dilemparkan oleh pihak terbabit terhadap Syiah. Tohmahan yang tidak berasas ini telah memberikan impak negatif terhadap pengikut-pengikut Syiah di Malaysia dan seluruh dunia yang ketika ini berjumlah hampir 600 juta orang.

Walaupun begitu, permohonan maaf secara terbuka tetap diminta oleh Ar-Ridha bagi menyelesaikan perkara ini dengan baik dalam tempoh masa yang ditetapkan di dalam writ saman tersebut.

sumber...free malaysia today